Tragedi di stadium bola sepak turut menyaksikan ratusan lagi cedera

SAN SALVADOR: El Salvador kelmarin dikejutkan dengan 12 kematian manakala beratus-ratus orang lagi tercedera dalam kejadian rempuhan di stadium bola sepak, ketika presiden menjanjikan satu siasatan.
Pihak berkuasa menyatakan laporan awal merujuk kepada rempuhan peminat yang mahu memasuki Stadium Cuscatlan dengan 35,000 tempat duduk di bandar utama San Salvador di negara Amerika Tengah itu untuk menyaksikan perlawanan di antara dua pasukan tempatan, Alianza dan FAS.
Perlawanan ditangguhkan ketika kakitangan kecemasan mengeluarkan orang ramai dari stadium, di mana beratus-ratus anggota polis dan tentera berkumpul sementara kedengaran bunyi siren ambulans.
Carlos Fuentes, jurucakap kumpuln perkhidmatan kecemasan Comandos de Salvamento, menyatakan mereka sedang merawat lebih 500 orang atas pelbagai jenis kecederaan, sementara pihak berkuasa perlindungan awam menyatakan 88 orang secara keseluruhan telah dimasukkan ke hospital.
Kejadian rempuhan itu dikatakan bermula selepas sebuah pagar stadium tumbang, menyebabkan orang ramai berasak-asak, kata Fuentes.
Fredy Alexander Ruiz, 28, salah seorang mangsa terselamat, menyatakan dia trauma setelah melihat orang ramai yang terjatuh mati dengan kesan lebam, dengan bahagian muka mereka dipijak.
Rempuhan bermula 10 minit ketika dalam permainan dan selepas ia ditangguhkan malah para pemain turut serta dalam usaha menyelamat.
“Saya ditindih lima orang yang menyebabkan saya mengalami sesak nafas.
“Syukur kepada Tuhan, saya berjaya memegang kaki seorang anggota polis, lantas dia bersama seorang rakan saya menarik saya keluar,” tambah Ruiz.
Presiden El Salvador Nayib Bukele menyatakan pihak berkuasa akan menyiasat insiden berkenaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum.
“Semua orang akan disiasat termasuk pasukan, pengurus, stadium, pejabat pengurusan, liga, persekutuan,” Bukele menyatakan menerusi Twitter.
Beliau memberikan amaran bahawa pelaku tersebut tidak akan terlepas daripada hukuman.
Seorang mangsa yang terselamat Sandra Guzman menceritakan keadaan huru-hara di stadium beberapa saat ketika rempuhan bermula.
“Sekumpulan orang ramai jatuh menimpa saya. Saya tidak dapat bernafas, mereka melemaskan saya,” Guzman, 40, memberitahu AFP awal kelmarin ketika meninggalkan Hospital Kebangsaan Rosales.
"Ketika berada di hadapan pintu pagar stadium yang tumbang, orang ramai menolak saya untuk masuk ke dalam.
"Mereka tidak memberikan saya peluang untuk patah balik,” tambahnya.
"Saya panik apabila orang terjatuh menimpa saya.
"Saya pengsan dan setelah tersedar saya telah berada di hospital," jelas Guzman.
Persatuan Bola Sepak Salvador (FESFUT)menyatakan dalam satu kenyataan ia berasa amat kesal atas kejadian yang berlaku di stadium dan menyatakan solidaritinya dengan keluarga mangsa yang terjejas dan terkorban.
"FESFUT akan segera memohon laporan kejadian dan akan berhubung menerusi maklumat yang relevan secepat mungkin,” jelasnya.
Disebabkan insiden itu, persatuan menyatakan semua perlawanan bola sepak di peringkat nasional ditangguhkan kelmarin.
Ketua badan bola sepak dunia FIFA menyampaikan ucapan takziahnya selepas kejadian tragik tersebut.
Tragedi itu berlaku tujuh bulan selepas 135 orang, termasuk lebih 40 kanak-kanak, terkorban dalam kejadian rempuhan selepas perlawanan bola sepak di Malang, Indonesia. - AFP