Anda di sini

Seniman veteran 'Wahid Satay' meninggal dunia pada usia 93 tahun di Singapura 

Advertisement
 

SINGAPURA: Seniman veteran Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ‘Wahid Satay’, 93, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 8.15 pagi tadi di rumah cucu beliau di sini hari ini.

Menurut anak kedua beliau Hafizah Abdul Wahid, 67, kesihatan bapanya mula merosot sejak dua minggu lalu selepas keluar dari Hospital Changi bagi menerima rawatan berkaitan sakit kencing manisnya.

“Arwah masih riang dan boleh bercakap sebelum ini. Beliau mula terlantar di katil sejak dua minggu lalu. Arwah turut menghidap sakit darah tinggi dan jantung,” kata Hafizah ketika dihubungi Bernama.

Abdul Wahid yang mula aktif dalam dunia lakonan sejak 1957 dan membintangi lebih 30 filem meninggalkan enam orang anak.

Isteri beliau telah meninggal dunia pada 1995. 

“Saya hanya mengharapkan doa dari seluruh peminat bapa di Malaysia agar roh bapa dicucuri rahmat Allah SWT, ditempatkan dalam Jannah dan ditempatkan dalam kalangan roh para solihin,” kata Hafizah dalam nada sebak.

Beliau menyatakan terasa “amat kehilangan” kerana sentiasa bersama bapanya untuk ke mana-mana sahaja termasuklah ke Malaysia.

Menurut Hafizah jenazah bapanya akan yang disemadikan di Pusara Aman di sini selepas solat zohor nanti.

Ketika ini jenazah masih berada di rumah anak beliau Mahirah Mohd Yasin di Blok 57, Teban Gardens Road, #14-469, Teban View.

Allahyarham pernah memenangi Anugerah Oskar Black Gold bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Pesta Filem Asia, Manila pada 1963, Pelawak Terbaik dalam Pesta Filem Asia di Taiwan pada 1966 dan Anugerah Perdana Emas oleh MediaCorp dalam acara Pesta Perdana pada 2007. 

Kali terakhir Allahyarham membuat kemunculan di khalayak ramai adalah semasa persembahan di majlis koktel sempena Festival Filem Malaysia ke-32 di Encore Melaka pada Disember 2022.

Allahyarham yang sentiasa membawa watak komedi merupakan antara seniman terkenal filem Melayu era Jalan Ampas.

Gelaran 'Wahid Satay' tercetus daripada filem ‘Pontianak’, di mana beliau bekerja sebagai penjual sate yang diganggu mahluk itu.

Dilaporkan filem Pontianak lakonan bersama Maria Menado dapat bertahan selama tiga bulan di Panggung Cathay dan memberikan saingan kepada filem Hollywood, Samson and Delilah.

Filem lakonan Allahyarham yang masih mendapat tempat dan terus diingati termasuklah ‘Badang’, ‘Satay’ dan ‘Seri Mersing’.

Sementara itu, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata seluruh kepimpinan tertinggi dan barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga dan semoga tabah hadapi ujian Ini.

"Segala maklumat lanjut akan Seniman maklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini. - BERNAMA
 

Advertisement