
Oleh: Mohidin Haji Malek
TANGGAL 2 Zulkaedah. Pak Mat mengalih pandangannya daripada kalendar yang tergantung di dinding ruang tamu. Betapa pantas masa dan hari beredar. Pak Mat menarik nafas panjang. Dihembusnya. Terdengar luahan seakan-akan keluhan namun bukan dirinya mengeluh disebabkan peredaran waktu dan hari yang terasa semakin cepat. Tidak. Tidak sama sekali dia mengeluh. Hal sedemikian itu bukan amalannya. Bagi Pak Mat, mengeluh berupa gambaran kebuntuan akal fikir, di samping menyerah kalah. Tidak sama sekali buntu fikirannya dan tidak semudah itu dia menyerah kalah.
Segala yang berlaku atas ketentuan-Nya. Sebagai insan kerdil, kita harus reda dan terbuka menerima apa-apa ketentuan yang ditakdirkan. Seperti halnya dengan pemergian Tipah, isteri kesayangannya ke alam abadi. Tipah sihat. Tipah cergas. Tipah ceria sentiasa. Namun, akibat bencana jangkitan virus Covid-19 tiga tahun lalu, Tipah tewas, walaupun Tipah telah mendapat suntikan vaksin sepenuhnya. Namun, bagi Pak Mat, Allah lebih menyayanginya. Cuma dirinya berasa kesedihan yang teramat apabila tidak dapat menyambut jenazah isteri tersayang semasa diturunkan ke dalam liang lahad. Malah, dirinya hanya dibenarkan melihat dari jarak jauh. Arahan prosedur standard yang ditetapkan kerajaan menetapkan demikian dan dirinya harus akur dan pasrah.
Selepas pemergiannya, tiga tahun dia sendirian menempuh sisa-sisa kehidupannya. Bukannya tidak ada anak dan cucu. Namun, larangan pergerakan rentas daerah yang diisytiharkan oleh kerajaan menghalang mereka untuk balik kampung menziarahinya dan malah beraya bersama-samanya. Jamilah, anak tunggalnya terpaksa mengikut suaminya, Usop, yang diarahkan untuk berpindah ke Bintulu kerana kenaikan pangkat. Walaupun berat hatinya, namun dia tetap reda. Apatah lagi untuk berpisah dengan satu-satu cucunya, Iqmal, ketika itu. Waktu itu Iqmal baru bersekolah. Terpaksalah Usop turun naik pejabat Jabatan Pendidikan untuk menguruskan perpindahan penempatan persekolahan Iqmal.
Pak Mat memejamkan matanya. Seketika cuma.
“Mal, maafkan atuk.” Terluah kata-kata itu secara tiba-tiba. Marahkah Usop? Berkecil hatikah Faridah? Menerjah persoalan itu. Salahkah jika dia menegur Iqmal? Mungkin cara dirinya menegur Iqmal ketika itu yang membuatkan Usop dan Faridah berkecil hati. Kembali dipejamkan matanya.
Terimbau kembali saat ketika Faridah menelefonnya untuk memaklumkan bahawa mereka sekeluarga akan balik beraya. Gembira amat dirinya. Pantas dia membuat persiapan. Diupahnya Si Saman untuk membersihkan persekitaran rumah. Digajikannya Si Dol untuk mengecat dinding luar rumah serta menggantikan lampu hiasan ‘kelap-kelip’ yang baharu. Langsir pintu dan tingkap diganti. Begitu juga sarung kusyen kerusi, tugasan itu diberikan kepada Si Midah, anak saudaranya. Dia sendiri memantau kerja-kerja. Dia mahu semuanya sempurna. Tidak mengapa berbelanja lebih untuk menyambut kepulangan menantu, anak dan cucunya. Pak Mat mahu Iqmal berasa seronok.
Siang-siang telah dititipkan pesanan kepada Midah untuk memberitahu ibunya, Salbiah, untuk membuat ketupat, kelupis, rendang dan kari ayam. Hidangan untuk pagi raya. Tidak lupa juga ditempahnya beberapa jenis kek lapis dan biskut daripada Som. Tidak mahu dia Faridah bersusah-susah untuk memasak dan membuat kuih pada malam menjelangnya Hari Raya. Dahulu, semasa arwah isterinya masih ada, mereka berdualah yang menyediakan semua itu.
Pak Mat membuka matanya. Melingas suasana sekeliling.
Sepi.
Seakan-akan baru semalam terasa suasana kemeriahan mengisi ruang rumah berkenaan. Pak Mat mencapai cawan di atas meja. Isinya yang tinggal separuh dihirup. Cawan diletakkan kembali. Pandangannya dilontarkan melepasi pintu hadapan, ke halaman rumah.
“Mal berkecil hatikah?” luahnya. Namun, soalan itu tidak berjawab. Iqmal tiada di hadapannya.
Kembali terimbau ingatannya pada ketika kereta Usop perlahan-lahan membelok dari jalan utama ke rumah. Dua hari menjelang Syawal. Bingkas dia dari bangku di hadapan rumah. Melebar senyumannya. Sebaik sahaja kereta berhenti, pintu belakang kereta terbuka. Iqmal keluar dan pantas berlari ke arahnya sambil mendepangkan tangannya.
“Atuuuk!” jeritnya. Satu pelukan erat singgah ke tubuhnya.
Dibalasnya pelukan itu. Terbebas rasa rindu yang terpenjara sekian lama.
“Wah, Iqmal dah semakin tinggi membesar. Puasa?” Iqmal mengangguk.
“Alhamdulillah. Itu baru cucu atuk,” ujarnya tersenyum lebar.
Waktu berbuka hari itu terasa istimewa bagi Pak Mat. Selepas berbuka, mereka solat Maghrib berjemaah. Kemudian solat terawih di surau yang tidak jauh jaraknya. Kembali dari surau, mereka duduk bersembang panjang. Iqmal yang banyak berbicara. Sesekali dia merakam gambar melalui telefon bimbitnya. Katanya untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan sekembali ke Bintulu nanti. Pak Mat membiarkannya. Hal sedemikian itu menjadi amalan anak-anak zaman kini. Biarlah dia merakamkan suasana beraya di kampung.

Malam menjelang raya, suasana halaman rumah Pak Mat meriah. Iqmal berlari-lari bermain bunga api sambil diawasi Usop. Pak Man tersenyum lebar. Setelah sekian lama beraya sendirian, kehadiran anak, menantu dan cucunya amat bermakna dan meninggalkan kesan yang amat mendalam. Pada masa yang sama, terasa kerinduannya akan keberadaan Tipah ketika itu. Pasti isterinya itu akan turut sama-sama berasa gembira.
Pagi Syawal, selepas solat subuh, Pak Mat bergegas ke dapur. Faridah sedang sibuk menyiapkan hidangan yang telah dihantar oleh Midah petang semalam.
“Mal dah bangun?” soalnya.
“Tengah mandi,” ringkas jawapannya.
“Usop?”
“Rasanya tengah salin pakaian dalam bilik tu,” ujarnya sambil memuncungkan mulutnya ke arah bilik yang dahulunya bilik mereka. Dan sejak berpindah, bilik itu tidak dihuni sesiapa akan tetapi dibersihkan selalu. “Banyak juga abah pesan juadah ni.”
“Bukan untuk kita sahaja. Untuk sanak saudara yang bakal berziarah nanti. Dengar sahaja engkau sekeluarga datang beraya, mereka pun nak datang berjumpa. Maklumlah, dah tiga tahun engkau orang tak balik beraya,” jelas Pak Mat. Faridah mengangguk sambil senyum.
Pak Mat bergegas ke bilik. Dari almari pakaian, dikeluarkannya baju Teluk Belanga dan samping songket. Pakaian yang sama dipakainya dua tahun lepas. Tidak timbul keinginannya untuk membeli pakaian baharu. Tambahan pula, pakaian itu hanya dipakai dua kali setahun. Semasa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Selepas daripada itu, tersimpanlah pakaian berkenaan dalam almari.
Pak Mat, Usop dan Iqmal sama-sama ke surau untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Sepanjang perjalanan ke surau, Iqmal beberapa kali berhenti untuk merakam gambar. Pak Mat hanya tersengih. Semasa di dalam surau, Iqmal turut merakamkan gambar sekeliling. Sesekali merakamkan selfie.
“Semasa solat dan khutbah, Mal matikan telefon, okey?” pesannya.
Iqmal mengangguk. Sampai waktu solat, Iqmal cepat-cepat mematikan telefon bimbitnya. Dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Pak Mat melirik ke arahnya sambil senyum dan mengenyit matanya. Iqmal tersengih.
Kembali di rumah, juadah telah terhidang di atas meja makan. Mereka menjamu selera bersama-sama. Pak Mat lihat Usop dan Iqmal berselera sekali. Pak Mat berasa puas. Berbaloi rasanya dia menempah masakan berkenaan.
Pak Mat bingkas. Bergerak dia ke arah pintu. Anak tangga dituruni satu persatu. Menapak dia ke arah bangku kayu di hadapan rumah. Duduk dia. Hembusan angin petang itu terasa nyaman sekali. Mendamaikan. Dipejamkannya mata. Bertandang wajah Iqmal.
“Pagi esok kita ke kawasan perkuburan,” ujar Pak Mat. Faridah dan Usop mengangguk.
“Ziarah kubur nenek?” soal Iqmal. Pak Mat angguk.
“Air dan bunga dah abah sediakan?” soal Faridah. “Kain lilit nisan?” Sambungnya.
“Dah,” pendek jawapannya.
Faridah tidak lagi bertanya. Iqmal merapatkan tubuhnya ke arah Pak Mat. Kepalanya direbahkan ke bahu atuknya. Usop dan Faridah hanya memerhati gelagat mereka.
Pagi berkenaan, kereta Usop perlahan-lahan bergerak ke destinasi yang ditujui. Tanah perkuburan yang terletak di hujung kampung. Sesampai di perkuburan, kereta diparkir di bawah sebatang pokok agar terlindung daripada sinaran terik matahari. Pak Mat pimpin tangan Iqmal melalui laluan kecil dicelah-celah pusara yang berderetan. Usop dan Faridah membuntuti tidak jauh di belakang. Sampai di pusara arwah isterinya, Pak Mat berdiri seketika, memerhati. Rumput keliling pusara dah mula meninggi walaupun baru sebulan lepas dipotongnya. Duduk dia mencangkung. Iqmal berdiri di sebelahnya. Usop dan Faridah berdiri di hujung pusara. Pak Mat memandang ke arah Faridah dan Usop. Seakan-akan mengerti, mereka duduk mencangkung.
“Mal sayang nenek?” Tiba-tiba soal itu diajukan kepada Iqmal.
“Sayang,” jawabnya ringkas.
“Atuk?”
“Sayang juga.”
“Kalau sayang, sedekahkan al-Fatihah buat roh nenek. Doakan agar nenek ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah,” anjur Pak Mat.
Iqmal angguk. Pak Mat lihat mulut Iqmal terkumat-kamit. Kemudian kedua-dua belah tangannya diangkat. Pak Mat senyum.
Selesai berdoa, Pak Mat siramkan air bunga ke pusara. Saat itulah menjadi titik hitam yang merenggut kemesraan antara Pak Mat dengan Usop dan Faridah. Ketika itu Iqmal mengeluarkan telefon bimbitnya. Hasratnya untuk merakam dirinya bersama-sama atuknya menyiram air bunga di pusara arwah neneknya.
“Tok, selfie,” ujarnya.
“Jangan, atuk tak benarkan!” bentaknya.
Tersentak Usop dan Faridah. Menikus Iqmal. Tidak pernah Pak Mat membentak seperti itu, baik kepada Faridah, mahupun Iqmal. Usop dan Faridah saling berpandangan. Iqmal masih terpacak di belakang Pak Mat.
“Jangan jadikan pusara nenek Iqmal sebagai bahan tontonan atau sebagai pernyataan kepada dunia bahawa Iqmal sayang nenek Iqmal,” Pak Mat menyambung bicara.
Sepi. Pak Mat bangun.
“Jom. Balik.”
Sepanjang perjalanan, tiada sepatah bicara terluah. Sesampai di rumah, Faridah pantas naik ke rumah. Usop mengekori perlahan. Pak Mat bergerak ke bangku di hadapan rumah. Duduk dia. Iqmal bergerak ke kaki tangga. Perlahan dia menaiki tangga dan menghilang daripada pandangan Pak Mat.
Malam itu, Faridah menyatakan hasrat untuk balik keesokan harinya. Lebih awal daripada yang dirancangnya. Pak Mat hanya membisu. Pak Mat tahu Faridah berkecil hati. Pak Mat maklum Usop turut terasa. Namun, baginya apa-apa yang diperkatakan di tanah perkuburan itu suatu kebenaran.
Sebelum bertolak keesokannya, Pak Mat sempat bersemuka dengan Iqmal. Terlukis sendu pada wajah cucunya.
“Bukan atuk marahkan Mal, tapi menasihati agar Mal jangan terikut-ikut dan terpengaruh dengan amalan masyarakat yang menyimpang. Tidak salah jika Iqmal rakam gambar pusara nenek sebagai ingatan dan kenangan. Tetapi untuk berswafoto atau selfie semata-mata untuk dipaparkan di media sosial sebagai pernyataan bahawa Iqmal sayang dan rindukan arwah nenek, hal itu tidak kena. Pernyataan sedemikian tiada unsur keikhlasan tetapi lebih kepada perbuatan menunjuk-nunjuk. Jangan. Jangan sesekali Mal amalkan.” Panjang bicaranya.
Iqmal mengangguk.
“Atuk sayangkan Mal dan disebabkan sayang itulah atuk tegur dan tegah Mal,” sambungnya. “Amalan selfie kini sudah terpesong sehingga manusia menjadi selfish.”
Pak Mat mengharapkan agar Iqmal akan mengerti, setidak-tidaknya suatu hari nanti.
“Maafkan abang, Pah.”

