Kemeterian Utiliti dan Telekomunikasi kemuka siling RM5.9b laksana projek bekalan air seperti dirancang
"Memandangkan jumlah peruntukan bagi pelaksanaan projek bekalan air sangat tinggi, saya memohon kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi dan tidak hanya bergantung kepada peruntukan Kerajaan Sarawak bagi mengatasi isu bekalan air di Sarawak."
Datuk Julaihi Narawi
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi
Laporan oleh
Patricia Gari
Agnes Tugong
Marlinda Mardzuki
Hafizah Abdul Hamid
KUCHING: Sarawak memerlukan peruntukan RM19.2 bilion bagi melaksanakan keseluruhan projek bekalan air untuk memenuhi permintaan bekalan air jangka masa panjang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, bagi tujuan itu kementeriannya telah mengemukakan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bernilai RM5.9 bilion bagi meneruskan pelaksanaan projek bekalan air seperti dirancang di Sarawak.
"Memandangkan jumlah peruntukan bagi pelaksanaan projek bekalan air sangat tinggi, saya memohon kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi dan tidak hanya bergantung kepada peruntukan Kerajaan Sarawak bagi mengatasi isu bekalan air di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulung bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Julaihi berkata, jumlah permintaan air semasa di negeri ini adalah 2,000 MLD (juta liter air sehari) dan unjuran permintaan air pada 2030 sebanyak 2.400 MLD.
Oleh itu katanya, beberapa projek utama kritikal perlu dilaksanakan segera bagi memenuhi permintaan air yang dijangka terus meningkat.
Pada masa sama katanya, Sarawak mesti mempunyai rizab margin air yang mencukupi pada kadar sekurang-kurangnya 20 peratus (daripada kapasiti loji rawatan air).
Beliau memberitahu, antara projek kritikal tersebut ialah sistem bekalan air baharu di Landeh (Kuching) dan Mukah, loji rawatan air baharu atau naik taraf di Engkilili (Sri Aman), Kaki Wong (Saratok), Salim dan Kanowit (Sibu), Song dan Kapit, Beluru (Miri), Lawas dan sistem sumber air mentah Nyabau (Bintulu).
"Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, rizab margin Loji Rawatan Air Salim di Sibu setakat ini hanya mempunyai tiga peratus, Loji Rawatan Air Batu Kitang di Kuching lima peratus dan Loji Rawatan Air Kaki Wong Di Betong satu peratus sahaja," katanya.
Mengenai prestasi semasa liputan bekalan air di negeri ini, Julaihi berkata setakat suku pertama tahun ini adalah 84.1 peratus di mana 67.8 pratus bagi kawasan luar bandar manakala 99 peratus di bandar.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi katanya, akan terus komited dan menggandakan usaha meneruskan pelaksanaan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi mencapai sasaran liputan penuh menjelang tahun 2030 berdasarkan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
Beliau memberitahu, untuk jangka pendek, di bawah Pelan Induk Bekalan Air, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4 bilion bagi melaksanakan Sarawak Water Supply Grid Programme for Stressed Areas melibatkan 298 projek termasuk Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
"Sehingga kini, 229 projek atau 76.8 peratus daripada jumlah keseluruhan projek tersebut telah disiapkan.
“Manakala 52 projek dijangka siap pada tahun ini dan 12 lagi dijangka siap pada tahun 2024.
"Baki lima projek lagi dalam peringkat tender di mana pembinaan dijangka bermula pada tahun ini," jelasnya.
Menurutnya program Sarawak Water Supply Grid Programme for Stressed Areas telah memberi impak ketara dalam menangani masalah bekalan air yang serius serta masalah tekanan air terutama di kawasan luar bandar Sarawak.
Program ini katanya, melibatkan skop utama antaranya 15 loji rawatan air yang dinaik taraf, 42 stesen pam penggalak serta 58 tangki air aras tinggi baharu dan saluran paip sepanjang 1,969 kilometer.
Selain itu, 14 pakej SAWAS dalam fasa dua di bawah program ini telah siap manakala baki lapan pakej lagi masih dalam pelaknsaan yang akan memberi manfaat kepada 1,548 isi rumah, tambahnya.