Anda di sini

Saman fitnah: Mahkamah minta Santiago mohon maaf kepada Zakir Naik

Advertisement
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Anthony Santiago membuat permohonan maaf kepada pendakwah bebas Dr Zakir Naik (gambar) berhubung kenyataanmya yang dikaitkan dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) pada 2019.

Hakim Datuk Akhtar Tahir mengarahkan Santiago memohon maaf selepas mendapati beliau bertanggunjawab memfitnah Zakir.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar memutuskan kenyataan kedua yang dibuat oleh Santiago dalam ceramah bertajuk Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) pada 25 Nov 2019, yang Zakir mendakwa kenyataan Santiago itu telah memfitnahnya, adalah serampang dua mata, walaupun ia dikaitkan dengan Zakir.

“Satu ditujukan kepada polis Malaysia dan kerajaan dan satu lagi ditujukan kepada plaintif. 

“Implikasi daripada kenyataan terhadap plaintif itu ialah plaintif mempunyai pengaruh terhadap polis dan kerajaan dalam penahanan dua ahli DAP berkenaan,” katanya.

Hakim memutuskan walaupun mahkamah mendapati kenyataan itu adalah berdasarkan pendapat Santiago, bagaimanapun, ia bersifat spekulatif dan didapati berunsur fitnah terhadap Zakir.

“Mahkamah juga mengambil maklum bahawa kenyataan itu bukannya mencemarkan imej dan reputasi plaintif, sebenarnya telah meningkatkan reputasi plaintif sebagai seorang yang berpengaruh di Malaysia.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa plaintif tidak berhak terhadap sebarang ganti rugi, tetapi oleh kerana kenyataan kedua adalah fitnah, mahkamah mengarahkan defendan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang dibuat mengaitkan plaintif dengan penahanan kedua-dua ahli DAP itu,” kata hakim.

Sementara itu mengenai kenyataan pertama Santiago yang dibuat secara terbuka terhadap Zakir untuk ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos 2019, hakim memutuskan ia tidak memfitnah dan tidak mencemarkan nama baik Zakir.

Zakir dalam ceramah itu, menyampaikan kenyataan sensitif yang menyentuh kaum Cina dan India Malaysia.

Santiago, pada 13 Ogos 2019 mengeluarkan kenyataan sebagai respons kepada ceramah Zakir di Kota Bharu, Kelantan bertajuk, Misconception of Islam by the non-Muslim, dengan menyatakan bahawa ceramah itu berpotensi menyebabkan rusuhan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hakim Akhtar memutuskan bahawa kenyataan media yang dibuat oleh Santiago dalam domain awam memang ditujukan kepada plaintif (Zakir).

Hakim berkata mendengar ceramah plaintif, plaintif juga telah membuat kenyataan yang tidak perlu mengenai orang Cina Malaysia iaitu apabila menyatakan orang Cina Malaysia juga harus diminta meninggalkan negara ini.

“Mahkamah bersetuju dengan kenyataan akhbar defendan (Santiago) bahawa kenyataan plaintif boleh menyebabkan ancaman kepada Malaysia yang berbilang kaum. Malah, mahkamah menyatakan kenyataan plaintif ini telah mendapat teguran daripada Perdana Menteri Malaysia dan ramai ahli politik lain.

“Oleh itu keputusan mahkamah dalam kes ini bahawa kenyataan pertama defendan adalah tidak memfitnah dan sebenarnya satu kenyataan yang berasas dan kenyataan yang adil,” kata hakim itu. - BERNAMA
 

Advertisement