Anda di sini

Projek ART di Kuching berjalan ikut perancangan

Advertisement

Kemajuan sebenar keseluruhan projek untuk Fasa 1 ialah 8.25 peratus berbanding kemajuan dijadualkan 8.33 peratus

Lee menunjukkan teks ucapan penggulungannya pada Persidangan DUN hari ini. -Gambar Roystein Emmor
Lee menunjukkan teks ucapan penggulungannya pada Persidangan DUN hari ini. -Gambar Roystein Emmor

“Fasa 1 projek itu melibatkan reka bentuk, pembinaan dan pentauliahan tiga laluan ART iaitu Garis Biru dari Rembus ke Hikmah Exchange (27.6 kilometer), Garis Merah dari Kuching Sentral ke Pending (12.3 kilometer) dan Garis Hijau dari Pending ke Damai Central (30 kilometer) dengan jarak keseluruhan adalah sepanjang 69.9 kilometer.” 

Dato Seri Lee Kim Shin
Menteri Pengangkutan Sarawak 

Laporan oleh 
Patricia Gari 
Agnes Tugong 
Marlinda Mardzuki
Hafizah Abdul Hamid 


KUCHING: Projek Transit Aliran Automosi (ART) di sini sedang berjalan mengikut perancangan dengan ketelusan dan amalan tadbir urus yang baik.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Seri Lee Kim Shin berkata, sehingga suku pertama 2023, kemajuan sebenar keseluruhan projek untuk Fasa 1 ialah 8.25 peratus berbanding kemajuan yang dijadualkan sebanyak 8.33 peratus.

Manakala katanya, jumlah perbelanjaan untuk projek itu sehingga Disember 2022 ialah RM63.5 juta.

“Fasa 1 projek itu melibatkan reka bentuk, pembinaan dan pentauliahan tiga laluan ART iaitu Garis Biru dari Rembus ke Hikmah Exchange (27.6 kilometer), Garis Merah dari Kuching Sentral ke Pending (12.3 kilometer) dan Garis Hijau dari Pending ke Damai Central (30 kilometer) dengan jarak keseluruhan adalah sepanjang 69.9 kilometer.

“Garis Biru, Merah dan Hijau dijangka siap pada suku keempat (Q4) tahun 2025, Q4 2026 dan Q4 2027,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Lee berkata, pelancaran pembinaan Depoh Rembus pada Disember tahun lepas menandakan bermulanya Projek Fasa 1 ART.

“Depoh ini akan berfungsi sebagai hab pusat untuk operasi dan pentadbiran ART, bengkel mekanikal dan infrastruktur, kawasan pengilangan serta kemudahan mengisi minyak hidrogen,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa sehingga Mei tahun ini, Sarawak Metro telah menganugerahkan 16 kontrak untuk perkhidmatan perundingan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM179.67 juta.

“Pembinaan dimulakan dengan kerja-kerja awal untuk Depoh Rembus yang telah dianugerahkan kepada Hock Seng Lee Sdn Bhd pada Oktober tahun lepas dengan kos RM64.33 juta yang mana skop kerja termasuk pembersihan tapak, penempatan semula utiliti dan kerja tanah.

“Sementara itu, perolehan Pakej Sistem 1 dilakukan secara tender terbuka yang diiklankan di dalam serta di luar negara dan telah dianugerahkan kepada EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd pada Jun 2022 dengan kos RM1.425 bilion,” ujarnya.

Bagi Pakej Sistem 2 pula beliau berkata, ia juga diperoleh melalui tender terbuka yang mana kontrak telah diberikan kepada DOM-EEB JV Sdn Bhd dengan jumlah kontrak sebanyak RM448 juta.

Menjelas lanjut, Lee berkata, notis tender terbuka bagi Kontrak Pembinaan dan Penyiapan Pakej Depoh Rembus telah diiklankan pada 16 Mei tahun ini dan akan ditutup pada 12 Julai 2023.

Ujarnya, tender bagi Kontrak Penjajaran ART dan Pakej Kerja Stesen yang terdiri daripada kerja-kerja awam, infrastruktur, mekanikal dan elektrikal di sepanjang Blue Line dari Rembus ke Riveria dan Red Line dari Kuching Sentral ke Pending akan dipanggil secara tentatif antara suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Sebagai sebahagian daripada komponen projek, kita akan menggunakan bas hidrogen untuk menyediakan sambungan jarak pertama dan terakhir ke stesen ART.

“Dalam hal ini, tender untuk kontrak bas hidrogen dan Sistem Bersepadu Bas akan dipanggil secara tentatif pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Lee berkata, Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk membina sistem ART berbanding Transit Aliran Ringan (LRT) kerana ART lebih fleksibel, kos efektif dan mampan.

“Pembinaan ART adalah lebih murah berbanding LRT kerana ia boleh dibina di atas jalan sedia ada dan tidak memerlukan infrastruktur yang luas seperti yang dilakukan oleh LRT.

“Pada masa ini, anggaran kos di Kuching adalah kira-kira RM70 juta setiap kilometer berbanding RM270.27 juta setiap kilometer bagi LRT di Lembah Klang,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu bahawa sistem ini boleh diperkembangkan dan diubah suai dengan mudah untuk memenuhi keperluan pengangkutan yang berubah-ubah kerana kenderaan ART lebih fleksibel dan boleh ditambah atau dialih keluar daripada sistem rangkaian tanpa menjejaskan operasi keseluruhan.

Melalui latihan tersebut, Lee berharap, ia akan membantu menghilangkan keraguan dalam kalangan orang ramai mahupun anggota pembangkang mengenai kesungguhan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek ART di Kuching.
 

Advertisement