Anda di sini

Petronas santuni 550 keluarga di Sarawak sempena Gawai Dayak

Advertisement
(Dari lima kiri) Anuar dan Juan bersama pegawai Petronas yang lain dan enam daripada penerima yang menerima sumbangan sebagai simbolik penyerahan bantuan Gawai 2023 di Miri hari ini.
(Dari lima kiri) Anuar dan Juan bersama pegawai Petronas yang lain dan enam daripada penerima yang menerima sumbangan sebagai simbolik penyerahan bantuan Gawai 2023 di Miri hari ini.

MIRI: Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali) - Sarawak Asset dengan kerjasama Yayasan Petronas dan Petronas Sarawak hari ini menghulurkan bantuan kepada 550 keluarga di Sarawak sempena perayaan Hari Gawai Dayak tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali - Sarawak Asset Anuar Ismail memberitahu, ia merupakan salah satu program kemasyarakatan yang diadakan di bawah Program Memacu Kehidupan pada musim perayaan. 

"Ia juga merupakan program tahunan yang dianjurkan di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat dengan tujuan memberi bantuan makanan asas kepada masyarakat yang memerlukan bagi membantu dalam persediaan menyambut perayaan dalam suasana yang meriah dan ceria. 
"Untuk perayaan Gawai pada tahun ini, Petronas menyumbang bantuan kepada 550 keluarga di Sarawak.

"Harapan kami semoga sumbangan makanan asas serta hamper biskut bertemakan perayaan ini dapat membawa lebih keceriaan semasa sambutan Gawai kelak," katanya semasa berucap sempena Program Petronas Memacu Kehidupan - Gawai 2023 yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

"Selain daripada sumbangan makanan, pihak kami dengan sokongan Yayasan Petronas dan Petronas Dagangan Bhd (PDB) turut menyumbangkan 'gift card' Mesra kepada penerima bantuan, di mana para penerima boleh menggunakannya untuk menebus keperluan yang diperlukan sama ada dalam bentuk petrol mahupun barang keperluan dari kedai Mesra di stesen stesen Petronas yang berhampiran," jelas Anuar.

Tambahnya, program itu juga dijayakan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan sumbangan dapat diberi kepada para penerima yang layak dan lebih memerlukan. 

Anuar menambah, semasa tragedi kebakaran yang menjejaskan 80 mangsa kebakaran di Miri baru-baru ini, Petronas sebagai syarikat yang prihatin turut sama menyantuni dan membantu mangsa dengan menyumbang keperluan asasi harian mereka. 

"Selain daripada itu, pihak kami juga telah membantu hampir 550 individu yang memerlukan di kawasan Miri dan Bintulu dalam persiapan mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang lepas. 

"Ini merupakan salah satu cara kecil kami untuk terus membantu komuniti yang memerlukan demi meringankan sedikit beban dan menceriakan lagi suasana perayaan," tambahnya, sambil menasihati orang ramai yang pulang ke kampung halaman dengan memandu kenderaan sendiri, supaya sentiasa berwaspada di jalan raya dan mematuhi peraturan demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan yang lain. 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof dan pegawai-pegawai kanan Petronas. 
 

  • oleh
  • Advertisement