Anda di sini

Pendengaran rayuan Peguam Diraja Laidlaw pada 10 Ogos

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Ogos untuk pendengaran rayuan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw yang berpangkalan di United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam bagi mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  dalam perbicaraan kes jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan  Suhaila Haron, Khamis lepas.

Peguam  Wan Mohammad Arfan Wan Othman yang mewakili Laidlaw dalam pengurusan kes itu dan peguam Badan Peguam Malaysia Annemarie Pravina Vendargon ketika dihubungi Bernama mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Vendargon berkata Mahkamah Persekutuan juga pada hari yang sama akan mendengar permohonan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia dan  Jawatankuasa Peguam  Kuala Lumpur untuk membatalkan rayuan Laidlaw dan permohonon Pendakwa Raya untuk mencelah.  

Pendakwa Raya yang tidak dinamakan sebagai responden dalam rayuan Laidlaw, telah memfailkan pemohonan sebagai pencelah untuk dimasukkan sebagai responden keempat dalam rayuannya kerana ia merupakan satu pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi tetapi telah digugurkan secara unilateral dalam rayuan itu. 

Sementara itu, Wan Mohammad Arfan berkata setakat ini proses rayuan itu masih lagi berjalan.

Masih belum dapat dipastikan mengapa Laidlaw mahu meneruskan rayuan itu apabila Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac tahun ini menolak permohonan semakan semula Najib ke atas sabitan, hukuman penjara dan denda kerana kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.  

Sebelum ini, peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Laidlaw akan mewakili bekas Perdana Menteri itu jika ada pendengaran semula rayuan mengenai kesnya berkaitan SRC di Mahkamah Persekutuan. 

Pada 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman beliau telah ditolak Mahkamah Rayuan pada 2021. 

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan, hukuman dan denda terhadapnya pada 23 Ogos tahun lepas. - BERNAMA
 

Advertisement