Anda di sini

Lelaki miliki 197.9 gram kanabis dipenjara tujuh tahun, 10 sebatan

Advertisement
Tertuduh (berbaju putih) keluar dari kamar mahkamah sambil diiring polis selesai dijatuhi hukuman hari ini.
Tertuduh (berbaju putih) keluar dari kamar mahkamah sambil diiring polis selesai dijatuhi hukuman hari ini.

KUCHING: Padah memiliki 197.9 gram kanabis,  seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff terhadap Mohd Nurazrul Muntil selepas dia mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama. 

Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun dan boleh disebat dengan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 2 Februari lalu, sekitar jam 6.50 petang di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di Galacity di sini.

Fakta kes mendedahkan tertuduh ditahan oleh sepasukan polis pada hari kejadian kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.

Pemeriksaan tubuh dilakukan dan pihak polis menjumpai satu balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat kasar 30 gram dari poket hadapan kanan seluar yang dipakai tertuduh.

Pihak polis juga melakukan pemeriksaan di atas lantai penumpang hadapan kereta dengan disaksikan oleh tertuduh. 

Hasilnya, polis menjumpai satu kotak kertas segi empat bertutup, di dalamnya mengandungi satu balutan plastik berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat kasar 236 gram. 

Tertuduh ditahan dan kemudiannya dibawa balik ke pejabat untuk tindakan lanjut. 

Laporan kimia seterusnya mengesahkan bahawa barang kes yang dirampas mengandungi 197.9 gram kanabis. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement