Anda di sini

Dua lelaki Indonesia kendali mesin judi dalam talian didenda RM15,000

Advertisement
 

KUCHING: Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman denda RM15,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mengendalikan mesin perjudian dalam talian.

Joni Iskandar, 23, dan Tommy, 31, membuat pengakuan tersebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah yang bersidang sebagai Majistret Kelas Satu Sandy Yvette Freddy sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam prosiding berasingan hari ini. 

Sandy juga mengarahkan Joni dan Tommy dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas membayar denda atau selesai menjalani hukuman penjara. 

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 untuk setiap mesin judi dirampas dan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun. 

Bagi kes Joni, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 16 Mei lalu, sekitar jam 1.15 petang di sebuah gerai berhampiran Tabuan Jaya Shopping Centre di sini. 

Sementara itu Tommy didakwa melakukan kesalahan sama sekitar jam 12.05 tengah hari pada 17 Mei lalu, di sebuah kedai terletak di Lorong Ban Hock di sini.

Berdasarkan fakta bagi kedua-dua kes, Joni dan Tommy masing-masing ditahan oleh pihak polis pada hari kejadian kerana disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian. 

Turut dirampas daripada Joni adalah sebuah telefon pintar dan wang tunai RM154.

Manakala polis merampas kertas ID dan kata laluan, wang tunai RM90 serta sebuah telefon pintar daripada Tommy.  

Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh menjalankan aktiviti tambah nilai permainan judi dalam talian menggunakan telefon pintar mereka.  

Malah pakar judi turut mengesahkan telefon-telefon pintar yang dirampas daripada Joni dan Tommy sebagai mesin judi.  

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

  • oleh
  • Advertisement