Anda di sini

Bahan api lestari sudah terbukti

Advertisement
Abang Johari melihat model penghasilan SAF semasa pameran tersebut. - Gambar Roystein Emmor.
Abang Johari melihat model penghasilan SAF semasa pameran tersebut. -Gambar Roystein Emmor.
  • Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara individu terawal di Sarawak menaiki pesawat guna bahan api lestari berasaskan lumut semalam

Oleh Hamkar Sarbinee

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara individu terawal di Sarawak menaiki pesawat yang menggunakan bahan api lestari (SAF) berasaskan lumut (alga) di sini, hari ini.

Penerbangan pesawat AirBaltic A220-300 yang dinaikan Abang Johari itu berlepas kira-kira jam 1.45 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023.

"Hari ini (Isnin) saya diberi peluang untuk menaiki kapal terbang yang pertama menggunakan minyak (SAF) ini.

"Saya berharap pesawat (menggunakan SAF) ini baik-baik sahaja," katanya pada sidang media selepas pameran pengisian SAF pada pesawat AirBaltic di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.

Beliau berkata, dari sudut pengeluaran minyak ini, Sarawak mempunyai keadaan yang sesuai untuk penghasilan bahan bakar tersebut.

"Cahaya matahari mesti cukup, karbon dioksida selain keadaan iklim di negeri ini juga sesuai untuk menghasilkannya (SAF)," jelasnya.

Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu itu berkata, anggaran keluasan penanaman alga iaitu seluas 1,000 hektar dan menerusi teknologi yang digunakan, ia bakal menghasilkan kira-kira 500,000 tan minyak alga mentah.

"Ini bermakna, satu hari boleh menghasilkan 10,000 tong minyak dan kos semasa untuk satu tong sekitar AS$50.

"Dan sekiranya Sarawak menjualnya kepada kilang penapisan, harganya adalah kira-kira AS$110 satu tong, setakat ini," kata Abang Johari.

Beliau menjelaskan, orang ramai semakin beralih kepada tenaga mampan dan diperbaharui kerana kebimbangan terhadap perubahan iklim.

Ini bermakna tambahnya, tenaga diperbaharui akhirnya akan menggantikan bahan api fosil.

"Sebab itu Sarawak berada di barisan hadapan dalam teknologi ini dan saya bercakap tentang Sarawak bergerak ke hadapan," tegasnya. 

Dalam pada itu, Abang Johari mengiktiraf Petronas dan SEDC Energy sebagai rakan kongsi yang penting dalam mencari teknologi baharu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan kenamaan lain.
 

Advertisement