Anda di sini

YBR bantu 60 sekolah di Sabah

Advertisement
 Syaiful (kiri), Raduwan (dua kiri), Philip (tiga kiri) dan Setiausaha Politik Menteri KUSKOP Carl V. Moosom (kanan) ketika menyampaikan kerusi roda kepada seorang penerima.
PRIHATIN: Syaiful (kiri), Raduwan (dua kiri), Philip (tiga kiri) dan Setiausaha Politik Menteri KUSKOP Carl V. Moosom (kanan) ketika menyampaikan kerusi roda kepada seorang penerima.

PENAMPANG: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada 60 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah bagi membantu sesi persekolahan yang telah pun bermula sejak Mac 2023.

Ia melibatkan 52 Sekolah Kebangsaan (SK) dan lapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan sekolah-sekolah ini menerima bantuan ini melalui Program Bantuan Persekolahan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Bantuan persekolahan ini melibatkan kumpulan pelajar dari kalangan Asnaf dan keluarga B40, berobjektif bagi membantu meningkatkan akademik pelajar-pelajar dari sekolah tersebut untuk sesi persekolahan tahun 2023.

Penyerahan bantuan kepada sekolah-sekolah ini telah disempurnakan oleh Menteri KUSKOP  Datuk Ewon Benedick di Dewan SM St. Michael, Penampang.

Turut hadir dalam sesi penyampaian ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan Jannie Lasimbang; Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR merangkap Ahli lembaga Pengarah Bank Rakyat, Professor Dr. Haji Raduwan Idar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Sektor Perancangan, Marcella Sikijip.

Sementara itu, Ewon berkata, bantuan itu diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid-murid melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang baharu.

"Saya juga amat berterima kasih dan menyokong inisiatif YBR dan berharap lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain, dapat turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini, tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit bagi memartabatkan pendidikan. 

"Syarikat-syarikat korporat serta NGO perlu sama mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan," katanya.

 Ewon (kiri), Philip (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama seorang penerima kerusi roda.
KENANGAN: Ewon (kiri), Philip (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama seorang penerima kerusi roda.

Sementara itu, Philip berkata pemberian bantuan itu dipecahkan kepada dua lokasi yang telah dikenal pasti, iaitu di sekitar Penampang dan seterusnya di Kadamaian dalam dua majlis penyerahan yang berasingan.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pihak sekolah untuk membantu murid-murid serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu komuniti setempat.

Katanya, usaha itu juga menjadi salah satu strategi dalam membantu masyarakat terutamanya di dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan sosio ekonomi rakyat terutamanya di Sabah.

Sementara itu, dalam majlis yang berasingan, 31 warga emas di sekitar Penampang dan Kota Belud terharu apabila menerima bantuan kerusi roda serta katil yang turut diserahkan sendiri oleh Ewon.

Ewon berharap dengan bantuan itu, sedikit sebanyak ia dapat melancarkan lagi aktiviti harian serta menjadikan kehidupan mereka yang terjejas menjadi lebih produktif.

Salah seorang penerima bantuan, Bibiana Amandus Madani mengakui bantuan ini sangat bermakna kepada dirinya dan juga orang-orang sepertinya. 

Bibiana yang mengalami angin ahmar (strok) terpaksa bergantung kerusi roda untuk melakukan sebarang pergerakan seharian akibat penyakit yang dihidapinya.

Untuk rekod, bagi tahun 2022, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 87 lokasi.

Hampir RM900,000 digunakan bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. 


 

  • oleh
  • Advertisement