Anda di sini

TIE hab pembuatan Bahagian Serian, bakal dipromosi tarik pelaburan asing dan domestik

Advertisement
 

KUCHING: Kawasan Perindustrian Tebedu (TIE) dikenal pasti sebagai hab pembuatan Bahagian Serian dan akan dipromosikan bagi menarik pelaburan asing dan domestik.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh (gambar) berkata TIE akan memanfaatkan ladang besar pokok getah di wilayah jiran dan aktiviti pemprosesan getah hiliran. 

“Kajian Pelan Induk Serian 2020-2030 menjangkakan TIE akan dibangunkan untuk memproses kedua-dua produk berasaskan getah dan kayu getah untuk pembuatan perabot. 

“Industri ini akan mewujudkan faedah sinergistik dengan Kalimantan Barat dan kerajaan akan terus mempromosikan TIE untuk menarik lebih banyak syarikat pembuatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini. 

Terdahulu Mussen berkata Kerajaan Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengadakan Pembangunan Sempadan Bersama di kawasan Tebedu-Entikong. 

Susulan itu katanya, Kerajaan Persekutuan meluluskan RM100 juta untuk membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu yang baharu yang mana kini dalam peringkat reka bentuk. 

Apabila ICQS baharu ini siap kelak katanya, ia akan meningkatkan lagi perdagangan sempadan yang berpotensi besar untuk dibangunkan. 

Kerajaan Sarawak katanya juga akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Indonesia untuk menormalisasikan perdagangan sempadan antara kedua-dua negara ini serta mengkaji semula Perjanjian Melintasi Sempadan (BCA) 1967 dan Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) 1970. 

“Satu lagi pusingan mesyuarat antara menteri kedua-dua negara dijadualkan berlangsung pada Mei 2023 dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia akan mendapatkan penjelasan Indonesia mengenai perkara itu kerana Entikong diwartakan sebagai pelaburan kering antarbangsa. 

“Dengan jangkaan bahawa kedua-dua BCA dan BTA boleh ditandatangani tahun ini, adalah diharapkan ini akan merangsang lebih banyak impak ekonomi yang positif kepada kedua-dua pihak dan menarik lebih ramai pelabur ke TIE,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement