Anda di sini

Rugi bersih suku pertama Pos Malaysia berkurangan kepada RM27.66 juta

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Pos Malaysia Bhd berkurangan kepada RM27.66 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM30.37 juta pada suku sama tahun lepas.

Menurut penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara itu, prestasi yang lebih baik antaranya disumbangkan oleh tawaran perkhidmatannya yang meneraju pasaran dan pengurusan kos berkesan yang berterusan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pos Malaysia berkata perolehannya turun kepada RM482.27 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 daripada RM484.35 juta sebelum ini berikutan perolehan perniagaan pos yang menyusut 13 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan perniagaan kurier yang merosot.

“(Keadaan ini disebabkan) pengurangan dalam keseluruhan jumlah bungkusan susulan peningkatan sumber dalaman oleh pemain pasaran e-dagang, peralihan permintaan daripada membeli-belah dalam talian kepada pembelian secara fizikal dan persaingan yang meningkat daripada pemain kurier lain,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Charles Brewer berkata prestasi Pos Malaysia adalah lebih baik dalam seluruh aspek berbanding pada suku pertama tahun kewangan 2022.

“Penambahbaikan itu boleh dikaitkan dengan langkah kawalan kos yang teguh dan produktiviti yang semakin baik, malah turut menggambarkan keuntungan bahagian pasaran dan program peningkatan hasil yang berterusan dalam sektor kurier,” katanya.

Brewer berkata di sebalik cabaran berkenaan, kumpulan kekal optimis namun berhati-hati untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada 2023. - BERNAMA
 

Advertisement