Anda di sini

Remaja lelaki mengaku tidak bersalah bantu urus tempat judi

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Juvana menetapkan 21 Jun depan untuk pengurusan kes seorang remaja lelaki yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan membantu menguruskan tempat judi.
    
Manakala remaja terbabit yang merupakan pesalah juvana diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta ibunya sebagai penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.
    
Juvana terbabit, 17, dari Lutong Baru di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang dari RM5,000 serta tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebagai tambahan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap mesin/perkakas perjudian yang dirampas.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh membantu menguruskan sebuah tempat perjudian dengan mengendalikan satu unit telefon bimbit.
    
Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 18 Mei lalu di sebuah lot di Permyjaya Technology Park, Jalan Tudan di sini.
    
Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.
    
Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi, manakala juvana terbabit tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement