Anda di sini

Pemuda cederakan jiran dengan pisau dipenjara tujuh bulan

Advertisement
 

KUCHING: Padah mencederakan jiran menggunakan sebilah pisau, seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Haniffah Abdullah, 28, untuk dikuat kuasakan mulai tarikh dia ditangkap.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua seksaan tersebut, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa iaitu pengadu lelaki berusia 38 tahun dengan menggunakan sebilah pisau dalam satu kejadian pada 7 April lalu, sekitar jam 9.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Telaga Air, di sini.

Fakta kes mendedahkan tertuduh yang membawa sebilah pisau kecil menghampiri dan cuba menyerang mangsa pada hari kejadian.

Mangsa berupaya mempertahankan dirinya daripada diserang tertuduh, namun berlaku pergelutan antara mereka. 

Susulan itu, mangsa mengalami sedikit kecederaan di bahagian siku dengan tangan kanan serta leher sebelah kiri calar, selain luka di bahagian kaki kiri dan ibu jari kaki kanan.

Kejadian tersebut turut disaksikan oleh kakak ipar mangsa. Mangsa juga tidak pasti akan punca tertuduh bertindak sedemikian namun mangsa mengesyaki tertuduh berada di bawah pengaruh bahan terlarang. 

Laporan polis dibuat dan mangsa ditangkap pada 9 April lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
 

  • oleh
  • Advertisement