Anda di sini

Maxis mulakan tahun 2023 dengan prestasi suku pertama yang kukuh

Advertisement

KUCHING: Maxis Berhad (Maxis) memulakan 2023 dengan prestasi suku pertama yang kukuh, dengan hasil perkhidmatan meningkat 4.0 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM2.1 bilion.

Sementara itu,  Pendapatan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) meningkat 3.4 peratus YoY kepada RM541 juta, walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar. 

"Didorong oleh pelaksanaan strategi telco bersepadunya yang kukuh, syarikat menyampaikan pertumbuhan dalam perkhidmatan teras sambungan mudah alih dan talian tetap merentas perniagaan pengguna dan perusahaannya, dan peningkatan margin keuntungan berikutan kos operasi yang lebih rendah. 

"Keuntungan selepas cukai meningkat 7.4 peratus YoY kepada RM320 juta. Maxis mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen bersih sesaham untuk suku pertama," kata kenyataan akhbarnya hari ini.

Memandangkan rakyat Malaysia semakin bergantung pada kesalinghubungan yang sentiasa aktif dan pengalaman digital yang lancar di rumah, ataupun di tempat kerja dan semasa dalam perjalanan, tawaran mudah alih dan talian tetap Maxis terus menarik pelanggan, mengakibatkan pertumbuhan hasil bagi segmen ini. 

Inisiatif untuk mengoptimumkan pengalaman kesalinghubungan kediaman pelanggan menyumbang kepada pertumbuhan dua angka dalam hasil fiber mudah alih. 

Perniagaan perusahaan Maxis terus memberikan pertumbuhan hasil yang stabil, ia dipertingkatkan lagi dengan penawaran penyelesaian ICTnya.

Dengan perniagaan-perniagaan mengekalkan minat untuk melabur dalam pelbagai tahap transformasi digital, Maxis berhasrat untuk mengembangkan dan menuai potensi penuh portfolio penawaran perusahaannya, dengan memanfaatkan kekuatan kesalinghubungan terasnya.

Dengan lebih ramai pengguna dan perniagaan yang berhubung dibawah rangkaiannya, Maxis kekal komited untuk menyediakan pengalaman kesalinghubungan yang terbaik. 

Pada suku pertama, Maxis memaklumkan bahawa RM130 juta telah dilaburkan di dalam perbelanjaan modal (capex) untuk mengekalkan kualiti rangkaian bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dan untuk memenuhi permintaan jalur lebar yang semakin meningkat dalam persekitaran yang semakin digital.

Maxis mengakui faedah ekonomi yang Malaysia bakal nikmati dengan pelaksanaan 5G dan akan memanfaatkan sepenuhnya sumber, kemahiran dan infrastrukturnya untuk membina rangkaian 5G dengan kualiti dan kebolehpercayaan yang tertinggi. 

Ia berharap untuk melancarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G secara komersial bagi para pelanggannya pada masa terdekat, dengan tumpuan pada penggunaan dan harga yang berpatutan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng (gambar), berkata  pihaknya gembira dengan permulaan tahun ini yang kukuh. 

"Di samping menguatkan kedudukan kami sebagai pemain bersepadu, kami akan menumpukan pada pertumbuhan yang mampan dan boleh dijangka serta pelaksanaan menyeluruh yang kukuh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami," katanya.
 

Advertisement