Anda di sini

AirAsia tawar tambang tetap untuk Pesta Kaamatan, Gawai

Advertisement
 

KUCHING: AirAsia berbangga menyokong inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk menawarkan penerbangan pada tambang tetap sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di antara 27 dan 31 Mei ini.

Menurut kenyataan Airasia hari ini, terbang dari Semenanjung Malaysia ke Sabah pada tambang tetap RM352 termasuk semua sehala antara 27 dan 29 Mei.

Manakala ke Sarawak pada tambang tetap RM346 termasuk semua sehala antara 29 dan 31 Mei. 

"Semua tambang penerbangan tersebut termasuk cukai, caj berkaitan, surcaj bahan api serta bagasi 20kg yang tertera 'bagasi percuma' untuk dipilih semasa membuat tempahan. 

"Tambang tetap ini tersedia untuk tempahan bermula 20 hingga 31 Mei 2023," katanya.

AirAsia juga telah bekerjasama dengan BigPay untuk menawarkan pengguna BigPay diskaun lima peratus untuk semua penerbangan AirAsia selama setahun dengan menggunakan kod promosi 'BIGPAY5.'

Untuk maklumat lanjut bagi promosi eksklusif ini, layari: https://bigpay.link/bigpayxAA5.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, sebagai syarikat penerbangan yang telah memastikan ketersediaan tambang tetap secara konsisten semasa beberapa musim perayaan lalu, pihaknya berbesar hati untuk menyokong inisiatif ini sekali lagi melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia.

"Selain menyokong inisiatif ini, kami juga akan menambah penerbangan komersial dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Sibu untuk menambah kapasiti bagi kedua-dua destinasi tersebut dalam tempoh perayaan ini," jelasnya.

Syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X yang mengendalikan pesawat berbadan lebar yang lebih besar juga akan mengendalikan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk memastikan tambahan kapasiti tersedia bagi memenuhi peningkatan permintaan.

"Kami memuji inisiatif kerajaan untuk menyediakan subsidi bagi 5,534 tempat duduk AirAsia dan AirAsia X supaya kami boleh menawarkannya pada tambang tetap untuk musim perayaan akan datang dan sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami akan terus menyokong inisiatif sedemikian pada masa hadapan," katanya.

Advertisement