Anda di sini

RTM Miri, NAIM anjur Program Berami Gawai 20 Mei ini

Advertisement
 

MIRI: Menjelang Gawai Dayak 1 Jun depan, RTM Miri dengan kerjasama Kumpulan Syarikat NAIM menganjurkan Program Berami Gawai pada 20 Mei ini di Permymall Miri.

Penerbit Berami Gawai Bana Jimbat berkata, ia diadakan bagi memeriahkan suasana ketibaan musim perayaan Hari Gawai Dayak 2023.

"Ia adalah satu program berbentuk hiburan dan Program Khas Musim Perayaan yang dianjurkan secara bersepadu dengan perkhidmatan Iban, Kayan dan Kenyah.

"Program radio di lokasi ini akan dirakam dan disiarkan pada 1 Jun 2023 di saluran Mirifm dan Waifm Kuching sempena Hari Gawai Dayak kelak," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas Mesyuarat Penerbitan Program Berami Gawai Mirifm bersama Kumpulan Syarikat NAIM di Auditorium RTM Miri hari ini.

Menurutnya, program Berami Gawai adalah untuk memeriahkan lagi suasana perayaan Gawai Dayak, selain memupuk dan mengeratkan semangat perpaduan, keharmonian dan bersatu padu dalam kepelbagaian budaya dan adat resam selaras dengan konteks Malaysia Madani.

Sementara itu, kunjungan hormat ke atas Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin Dato Sri Lee Kim Shin telah diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat SUPP Cawangan Senadin.

Rombongan diketuai Pengurus Stesen RTM Miri Lydia Paya Rinyud itu adalah untuk menjemput Lee sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan program itu kelak.

Orang ramai khususnya masyarakat di Miri diseru untuk turut hadir memeriahkan Program Berami Gawai 2023 mulai jam 6:30 petang.

Antara artis tempatan yang akan dijemput menghiburkan orang ramai pada program tersebut adalah Hairee Francis, Winnie Albert dan Rosiana Urai.

Advertisement