
SIRI 2
Program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membuka tirai hari pertama dengan membawa para peserta melawat pusat pelancongan Gamuda Cove Discovery Park di Banting Selangor.
Lebih 20 pengamal media dari pelbagai agensi begitu teruja dan tidak sabar untuk memulakan kembara kali ini terutama mereka yang pertama kali menyertai Kembara Media JAPEN.
Di Gamuda Cove, para peserta dibawa untuk menjelajah di empat pusat tarikan pelancongan termasuk Paya Indah Discovery Wetlands, Goosebumps Rope Course, Cove Aerobar, dan Taman Tema Air SplashMania.
Lawatan ke Paya Indah Discovery Wetlands disambut dengan kemunculan dua ekor badak air yang diberi gelaran Cendana dan Indah yang membuatkan para peserta begitu teruja.
Selain badak air, kawasan perlindungan biodiversiti tanah lembap semula jadi itu turut menjadi habitat kepada pelbagai hidupan liar lain antaranya buaya, ular, kura-kura, memerang, dan lebih 200 spesis burung.
Kawasan berkenaan turut menjadi hab eko pelancongan di Lembah Klang dengan fasiliti yang semakin ditambah baik oleh pihak Gamuda Land.
Selain Cendana dan Indah, terdapat dua ekor lagi badak air di pusat berkenaan yang ditempatkan sejak 2001 lagi manakala, di kawasan tasik pula, terdapat kira-kira 66 ekor buaya yang ditangkap dari seluruh Semenanjung.

Selepas meneroka di kawasan tanah lembap Paya Indah, peserta Kembara Media diberi peluang untuk mengikuti aktiviti mencabar ketahanan fizikal dan mental semasa lawatan ke taman aktiviti ekstrem iaitu 'Goosebumps Rope Course'.
Dari struktur platform setinggi 15 meter, pelbagai elemen aktiviti memanjat boleh dilakukan di taman yang mendapat pengakuan dari 'Malaysia Book of Records'.
Sepanjang para peserta menjalani aktiviti yang disediakan, kakitangan Gamuda Cove sentiasa menjaga dan membuat pemantauan bagi memastikan tahap keselamatan setiap peserta sentiasa terkawal dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Di Gamuda Cove juga, para peserta berkesempatan menaiki Cove Aerobar setinggi 35 meter dan berpeluang menyaksikan pemandangan keseluruhan pusat pelancongan itu.

Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching turut meluangkan masa semasa Sesi Ramah Mesra bersama peserta Kembara Media 2023 di Gamuda Cove dan diberi taklimat mengenai Bandar Pintar oleh Pengarah Eksekutif Gamuda Land Ngan Chee Meng.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata, Gamuda Discovery Park mempunyai pelbagai tarikan baharu dan menjadi kebanggaan negeri Selangor untuk menerima peningkatan para pelancong domestik dan antarabangsa kini dan masa akan datang.
Katanya, Selangor merekodkan kedatangan pelancong seramai 2.5 juta orang pada 2022 dan jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 209.7 peratus kemasukan pelancong antarabangsa dan peningkatan sebanyak 149.5 peratus kemasukan pelancong domestik ke negeri itu.
Sehubungan itu, pihaknya menyasarkan sebanyak 3.5 juta kedatangan pelancong tahun ini.
"Kami percaya bahawa pendekatan menyeluruh melalui saluran media arus perdana dan platform media digital akan memainkan peranan penting dalam mencapai Pelancongan 4.0," katanya.

Peluang melawat Gamuda Cove tidak mungkin dilepaskan tanpa mengunjungi Taman Tema Air SplashMania yang mempunyai pelbagai aktiviti menarik termasuk sebanyak 24 gelongsor dan 15 tarikan utama.
Antara aktiviti yang menjadi tarikan utama pengunjung di SplashMania termasuklah 'The Shaka Waka', 'The Wild Rush' dan 'The Atlantis VR'.

Memasuki hari kedua Kembara Media, sekali lagi tahap kekuatan fizikal kesemua peserta diuji semasa lawatan ke Taman Ekstrem Gua Damai di Gombak Selangor.
Para peserta bukan sahaja dibawa merentas hutan yang kaya dengan tumbuhan semula jadi, malah berpeluang meneroka ke dalam Gua Damai sekali gus menyaksikan aktiviti terjun payung memandangkan Taman Ekstrem Gua Damai adalah pusat terjunan yang terkenal di seluruh dunia.

Pengasas Taman Ekstrem Gua Damai Mustapha Al-Bakri berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung terutama mereka yang menggemari aktiviti lasak dan ekstrem.
Katanya, sejak 26 tahun beroperasi, pelbagai penambahbaikan dibuat untuk memastikan taman rekreasi awam itu terus menerima kunjungan pelawat termasuk pelancong dari luar negara.
Menurutnya, paling ramai pengunjung datang apabila Karnival Sukan Ekstrem anjuran Kerajaan Negeri Selangor diadakan di taman itu.
Sepanjang aktiviti di Gua Damai, ada dalam kalangan peserta Kembara Media yang terpaksa dibantu bagi menamatkan misi pengembaraan di taman berkenaan.
Biarpun penat dan hampir berputus asa, namun pengalaman menarik dan bermakna ini bukan selalu dapat dinikmati oleh pengamal media yang selalunya terikat dengan komitmen jadual tugasan harian.

Wartawan Suara Sarawak Mohd Zahid Ahmad Zaki berkata, pengalaman menyertai aktiviti rentas hutan dan jelajah gua sememangnya memenatkan.
Namun katanya, ia membuahkan hasil apabila para peserta dapat menyaksikan keindahan sepanjang perjalanan, di samping mencipta memori yang indah bersama peserta Kembara Media.
Selain itu jelasnya, aktiviti yang berkaitan dengan ketinggian termasuk 'Goosebumps Rope Course' dan 'Aerobar agak mencabar.
"Ini kerana saya takut dengan ketinggian. Bagaimanapun, pengalaman itu memberi peluang untuk saya mengatasi ketakutan sekali gus menjadikan ia sebagai satu pengalaman hidup yang tidak akan dapat dilupakan," katanya.

Bagi wartawan Gaya Travel Magazine Ameen Nur Hadee Ishak, aktiviti rentas hutan dan mendaki Gua Damai memang sangat mencabar dan tidak dijangka trek laluan sangat licin.
"Ini antara laluan mendaki yang paling susah saya pernah buat tetapi sangat menyeronokkan selain banyak jenis tumbuhan yang saya jumpa.
"Saya juga terpegun semasa masuk ke dalam Gua Damai yang memiliki 'stalagmit' dan 'stalagtit' yang sangat cantik," katanya.

Pada masa sama, beliau juga berkongsi pengalaman menarik di SplashMania walaupun ini kali kedua mengunjungi taman tema air itu.
Menurutnya, kali ini lebih banyak gelongsor air dibuka dan antara aktiviti paling seronok dan mencabar adalah 'The Plunge'.