Anda di sini

MPI terima sumbangan RM775,000 bagi penganjuran MWM 2023

Advertisement
 Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas,  Datin Anita Azrina Abdul Aziz, menyerah kepada Chamil cek sumbangan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2022
SUMBANGAN: Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, menyerah kepada Chamil cek sumbangan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2022

KUALA LUMPUR: Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima sumbangan dan tajaan berjumlah RM775,000 bagi penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM 2023) yang dijadualkan berlangsung pada 9 Jun ini.

Sumbangan tersebut diterima daripada 45 organisasi korporat, agensi kerajaan, kerajaan negeri, menteri organisasi media serta wang tunai daripada Petronas bernilai RM300,000 untuk pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI Petronas 2022. 

Ketua Pegawai Eksekutif MPI yang juga Pengerusi MWM 2023 Datuk Dr Chamil Wariya semalam menerima replika cek daripada 36 wakil pelbagai organisasi dan agensi kerajaan sebagai simbolik sumbangan pada majlis Meraikan Para Penyumbang MWM 2023.

Beliau berkata MWM 2023 yang akan berlangsung di Hotel The Majestic Kuala Lumpur, turut menerima sumbangan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kerajaan Negeri Sabah, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan New Sarawak Tribune.

Menurutnya Petronas yang memasuki tahun ke-30 sebagai penaja, kekal menjadi penaja tunggal HKM dengan kuantum tajaan sebanyak RM300,000 sejak 2009 sekali gus membolehkan pemenang bagi 17 kategori HKM menerima ganjaran lumayan.

“Lima organisasi media turut tampil menjadi penaja, selain tujuh organisasi korporat dan sebuah yayasan yang buat pertama kali memberi sumbangan dan tajaan bagi menjayakan MWM 2023. 

“Semua kutipan tersebut, seperti tahun-tahun sebelumnya akan digunakan untuk menjayakan majlis yang bertujuan mengiktiraf kerja-kerja terbaik dalam dunia kewartawanan sama ada di alam nyata dan di alam maya sesuai dengan landskap baharu media di negara ini,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan di sini.

Bagi HKM 2022 ini, Chamil berkata terdapat pertambahan 33 penyertaan berbanding tahun sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan 386 penyertaan.

“Sebanyak 17 kategori dipertandingkan dan pemenang akan diumumkan pada MWM 2023. Kategori Infografik Terbaik terdapat pertambahan 19 penyertaan menjadikan jumlah keseluruhan 31 penyertaan.

“Bagi kategori Rencana Cemerlang terdapat peningkatan 12 penyertaan menjadi kesemuanya 50 penyertaan, manakala kategori Wartawan Muda A. Samad Ismail peningkatan 11 penyertaan iaitu kepada 31 penyertaan,” katanya.

Beliau berkata 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiah-hadiah utama HKM 2022 iaitu Hadiah Kajai bernilai RM30,000 serta hadiah emas RM10,000 bagi 15 kategori. 

“Ditawarkan juga hadiah perak bernilai RM1,500 dan hadiah gangsa RM1,000. The New Straits Times Press (NSTP) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan dua pertubuhan berita yang agresif menghantar penyertaan iaitu masing-masing  61 penyertaan dan 58 penyertaan,” katanya.-- Bernama.

Advertisement