Anda di sini

Dari Jalan Tangsi ke Jalan Tun HS Lee dan Jenaka SN

Advertisement
 

Oleh: Roslan Jomel

Satu aspek fenomena globalisasi terhadap karya yang saya kagumi adalah mengambil kira akan betapa pentingnya faktor tidak hilang kewujudan diri pengkarya serta karyanya yang diglobalisasikan itu – walaupun mengambil, menumpang, meminjam, atau mencuri anasir-anasir lain.” – U-Wei Haji Shaari, dipetik daripada buku kumpulan esei beliau, yang diberi tajuk Dot Dot Dot.

            Dahulu, mungkin dalam 30 tahun yang lampau, ketika masih naif dalam bidang kesusasteraan, laungan untuk mengantarabangsakan naskhah-naskhah tempatan ke peringkat antarabangsa, kedengarannya begitu hebat dan bercita-cita tinggi. Kemudian laungan penuh dahsyat itu digemakan lagi semasa seminar atau diskusi sastera sedang berlangsung oleh para pembesar dan termasuk oleh sekumpulan pengarang. Namun setelah sekian lama mendengar impian dan harapan itu dikumandangkan dalam pelbagai acara dan majlis sastera, telinga saya bagai digaru-garu dengan hujung mata pisau. Jelas, nadanya sudah basi dan menjengkelkan. Apakah pentingnya saranan demikian? Karya-karya seperti apa yang melepasi syarat untuk memancing selera pembaca negara luar? Mengapakah sehingga kini masyarakat antarabangsa (mungkin ada) belum lagi tertarik untuk mengikuti sastera tempatan?

            Kita memiliki penyair yang bernuansa canggih, sofistikated dan tidak kalah gaya pengucapannya dengan penyair di luar negara. Bahkan kita memiliki novelis dan cerpenis yang berkeupayaan menggabungkan teknik dan tema cerita dengan pendekatan terkini, kontemporari serta digarap dengan pertukangan yang mantap. Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh dan SN Anwar Ridhwan sebagai contoh, bukan calang-calang sasterawan. Kedua-duanya mempunyai kehebatan dalam pelbagai genre penulisan. Lalu apa yang kurangnya jika naskhah sastera tempatan tidak dipandang oleh pemerhati luar? Apakah kerana kurangnya usaha penterjemahan? Atau sememangnya naskhah sastera kita masih statik, kurang lincah dan belum memiliki sengat untuk memukau selera pembaca di negara luar yang lebih kuat tradisi kesusasteraannya?

            Sekarang, saya tidak percaya lagi dengan laungan-laungan sebegitu. Apakah sastera kita mengalami kemunduran? Apakah sastera kita mengulangi apa yang sudah dilakukan oleh sasterawan terdahulu? Apakah sastera kita mendekati nafas pengucapan sastera antarabangsa? Bagaimanakah kaedahnya untuk diterapkan dalam teks? Apakah dianjurkan untuk mengarang dengan meniru gaya penulisan Cesar Aira, Etgar Keret, Juan Pablo Villalobos dan Sharon Olds, barulah naskhah sastera tempatan disamakan dengan kualiti sastera antarabangsa? Apakah dengan kejayaan sasterawan (misalnya Tan Twan Eng) menembusi dan memenangi anugerah antarabangsa yang berprestij, perkembangan dan kemajuan sastera dalam negara akan menerima kesannya? Saya belum melihat sebarang perubahan drastik. Malahan masih begitu-begitu juga. Tahun demi tahun berlalu. Lantai sastera kita tetap juga ditaburi hujan konfeti sebelum tirai pentas kecilnya ditutup.

            Di ruang legar Stesen Light Rapid Transit (LRT) Masjid Jamek beberapa bulan lalu, sekitar jam 1:30 petang, hari Khamis, saya terserempak dengan U-Wei Haji Shaari yang rupa-rupanya ingin bertanya ke mana arah laluan untuk menaiki LRT menuju ke Stesen LRT Kuala Lumpur City Center (KLCC). Kebetulan saya sendiri baru balik dari KLCC dengan membawa pulang buku In the Land of the Cyclops, karya terbaharu (esei) Karl Ove Knausgaard. Dia tampaknya kebingungan, sebagaimana orang yang baru menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, untuk memilih arah jalan menuju ke destinasi. Setelah membantu beliau dengan menunjukkan laluan yang perlu diikuti, saya mengambil kesempatan untuk bertanya tentang buku terbaharu beliau yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang lalu. Beliau sendiri sukar untuk menjawab, apakah buku itu sudah terjual di pasaran. Segan pula rasanya untuk bertanya, apakah drama Duit lakonan Noor Nikman Dadameah dan Sheila Lama serta Faizal Hussein yang tersiar dalam slot Cerekarama di TV3 suatu ketika dahulu mendapat inspirasi daripada filem The Women in the Window (1944) arahan Fritz Lang? Namun umum mengetahui, filem Buai Laju-laju diinspirasikan daripada filem The Postman Always Rings Twice (1946).

            Beliau contoh seniman tempatan yang menuntut ilmu perfileman sehingga ke negara luar, tetapi menyampaikan cerita yang berkisar tentang masalah-masalah setempat tanpa perlu meletupkan puluhan kereta untuk dianggap bertaraf Hollywood. Beliau tidak perlu melaung-laungkan dirinya sebagai seniman bertaraf antarabangsa. Malahan, lebih kampungan naratif penceritaan, lebih global sifatnya. Itulah identiti dan keyakinan seorang seniman merdeka. Filem terbaiknya, Kaki Bakar, ditayangkan untuk Festival Filem Cannes pada tahun 1995 dan memenangi anugerah filem terbaik pada Festival Filem Bebas Brussel ke-17. Dalam salah satu sesi temu bual, U-Wei Haji Shaari tersenyum sinis ketika memberi respons kepada pihak tertentu yang merangsang pengarang-pengarah filem tempatan memenangi anugerah Academy Awards. Bahkan diberikan tempoh terdekat. Bukan main lagi semangat kemahuannya mahukan perakuan antarabangsa. Sementara kita di sini, hakikatnya, masih jahil untuk mengapresiasi seni tetapi haloba dengan pengiktirafan itu dan ini.

            Pada 18 Mac yang lalu, saya berkesempatan singgah ke Rumah Tangsi. Sebuah rumah agam yang cantik tinggalan bekas ahli perniagaan Kuala Lumpur bernama Loke Chow Kit dengan seni bina gaya Eropah dan mula dibina pada tahun 1909. Rumah disapu cat kuning bak kek keju itu kini menjadi warisan dan menjadi lokasi paling menarik untuk diadakan pelbagai acara berorientasi kesenian kerana latar belakangnya yang artistik dan klasik. Sementelah pula anak muda sekarang begitu taasub dengan fesyen retro dan Rumah Tangsi juga amat serasi untuk rakaman filem dan fotografi. Bayangkan jika premis-premis usang tinggalan kolonial dahulu turut diubah suai dan dijadikan hab seni untuk golongan karyawan di Sarawak melangsungkan aktiviti mereka. Aktiviti kesenian, kebahasaan, kesusasteraan dan diskusi/jualan buku, percetakan baju mahupun seminar pemikiran, tidak semestinya wajib diadakan dan dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. Kemajuan sastera dan kesuburannya bukan ditentukan oleh banyaknya persatuan penulis. Bahkan kejayaan seseorang penulis dalam bidang yang diceburinya tiada kena-mengena dengan persatuan penulis sedia ada.

            Menyentuh tentang persatuan penulis, saya teringat dengan salah sebuah esei SN Shahnon Ahmad, Penyakit dalam Karya Sastera, (terhimpun dalam buku Sastera Pengalaman Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya). Beliau menyatakan dengan nada tegas, “Di tanah air kita ini, salah satu penyakit kesusasteraan ialah penyakit gila berpersatuan sastera sehingga makna dan teras kesusasteraan dikatakan berpaksikan persatuan; bukan berpaksikan karya sastera. Orang tidak perlu menghasilkan karya sastera asalkan mereka berpersatuan sastera dengan gigihnya. Akibatnya, lahirlah beratus-ratus orang penulis yang masing-masing sibuk dengan persatuan masing-masing dan melupakan tugas utama penulis, iaitu berkarya sastera. Ada juga penulis berkarya, tetapi disebabkan dia sibuk dengan tetek-bengek persatuan didapati mutu karyanya tidak pernah meningkat kerana tidak ada masa untuk meningkatkan daya kreatif. Mereka lebih sibuk dengan persatuan. Akhirnya daya kreatif yang ada, terpendam dan tenggelam begitu sahajalah.” Namun, untuk berlaku adil, kenyataan itu tidak sepenuhnya tepat. Saya mengenali beberapa orang penulis yang aktif dalam persatuan, tetapi masih sahaja prolifik dan semakin dalam pula renungan mereka dalam penulisan.

            Tujuan peribadi saya berkunjung ke Rumah Tangsi, untuk mendapatkan buku Melayu Mahawangsa, Tanah Air, Sejarah, Kerajaan dan Peradabannya yang diterbitkan oleh penerbit Universiti Sains Malaysia. Md. Salleh Yaapar dan Nasha Rodziadi Khaw menjadi editor bersama-sama untuk buku yang menghimpunkan sembilan buah esei berkaitan sejarah bangsa Melayu dan kehebatan khusus mereka namun jarang diketahui secara akademik. Selain Ahmad Murad Merican, tulisan Azmi Ariffin juga kian merangsang saya untuk mengetahui kebenaran dan fakta sejarah yang selama ini ditutupi oleh naratif arus utama. Sangat beruntung saya pada hari itu, kerana ada gerai yang menjual buku Dot Dot Dot karangan U-Wei Haji Shaari di situ. Sungguhlah jarang golongan selebriti (dalam industri hiburan) dikaitkan dengan buku. Namun U-Wei Haji Shaari adalah salah seorang daripada golongan yang sangat sedikit itu, meminati buku sejak dahulu, malahan menghayatinya dengan penuh apresiasi melebihi sebahagian sasterawan. Hal ini saya fikir, kerana pengarah filem itu sedar hubungan simbiosis antara teks sastera yang baik bakal menjana penghasilan filem berisi.

            Selama mengikuti tulisan-tulisan U-Wei Haji Shaari, saya berasa betapa kerdilnya diri berbanding dengan lingkaran pengetahuan dan sumber bacaan yang ditekuni tokoh seniman kebangsaan itu. Seni Menulis Opini tulisan novelis tersohor Indonesia, Okky Madasari juga dijual. Sebagaimana novel-novel kemasyarakatannya, esei-esei ringkas tulisan Okky Madasari tetap menyerlahkan kebijaksanaan dan ketajaman khas dalam mengemukakan sebarang isu yang berlegar-legar dalam hubungan dan krisis rakyat dan pemerintah. Bahasa tajam dan tepat. Dalam beberapa kes sampingan, pembaca di sini, begitu akrab dengan sasterawan dan karya Indonesia. Buku-buku Indonesia dijual di sini (terlalu banyak nama pengarangnya untuk saya deretkan di sini) dan, ternyata mendapat sambutan luar biasa. Sebaliknya, bagaimanakah pula sambutan komuniti sastera Indonesia ke atas pengarang-pengarang tempatan? Hal itu mengingatkan saya tentang pengakuan Eka Kurniawan yang hanya mengenali karya Keris Mas. Menyedihkan. Itu baru Indonesia, negara serumpun.

            Dari 17 hingga 18 Mac, berlangsung acara Festival Falsafah Malaysia 2023. Yang saya maklum, acara seumpama Festival Falsafah Malaysia yang diisi aktiviti-aktiviti seperti jualan buku, persembahan muzik serta bacaan sajak dan dialog ilmiah itu bukan kali pertama diadakan. Bahkan pernah diadakan pada tahun 2018 yang bertempat di Gerak Budaya. Alangkah bertuahnya mereka yang berada dalam radius pusat bandar raya Kuala Lumpur, kerana pelbagai program berkaitan dengan buku, filem dan wacana keilmuan (termasuk pesta makanan dan jualan pakaian terpakai) kerap dilangsungkan dan tetap sahaja dikunjungi oleh mereka yang mempunyai keghairahan untuk menambah pengetahuan dan gagasan baharu dalam karier. Barangkali hadirin yang berkunjung, orang-orang yang familiar dalam bidang masing-masing, namun ia sudah memadai untuk memeriahkan acara-acara kesenian dan keilmuan agar bandar raya ibu negara (sekadar mengulang apa yang sering diperkatakan oleh beberapa tokoh) tidak kekeringan dari sudut kejiwaan.

 

            Tidak banyak yang saya ingin carikan di Rumah Tangsi. Buku-buku yang dipamerkan, sebahagiannya sudah berada di rak bacaan peribadi. Walaupun saya berminat untuk mendengar sesi perbincangan daripada tokoh-tokoh seperti Fathi Aris Omar (buku Patah Balek tulisannya, salah satu antara buku yang mempengaruhi penulisan esei saya), Zamir Mohyedin, genius muda berusia 29 tahun yang berpendidikan dalam bidang fizik (buku-bukunya seperti Biologi dan The Human’s Complex wajar dibaca oleh sesiapa pun juga) dan Jomo Kwame Sundaram, seorang ahli ekonomi terkenal (selain sudah tentu Madeline Berma dan Muhammed Abdul Khalid) yang sering diundang untuk mengupas isu-isu ekonomi negara, tetapi saya ingin segera berada di Kedai Buku Riwayat yang terletak di tepi Jalan Tun HS Lee. Secara fizikalnya, kedai buku itu menyelit pada deretan lot kedai lama yang juga menempatkan kedai kopi LOKL. Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh menjadi tetamu kehormat dalam majlis pelancaran buku sajak Paul Celan (penyair kelahiran Romania) pada pukul 3:00 petang, selain Eddin Khoo dan Pauline Fan (selaku penterjemah sajak-sajak Paul Celan, dari bahasa Jerman ke bahasa Melayu). Pada kali ini, apakah lawak spontan beliau yang bakal menghiburkan audiens?

            Seindah mana pun kedengarannya bahasa asing dituturkan, merdulah lagi bahasa kebangsaan kita yang sesungguhnya kaya dengan sejarah dan sofistikated pula lapisan maknanya buat pujangga. Bahasa yang pernah menjadi lingua franca pada era keemasannya dahulu itu sentiasa diperbaharui seiring dengan perubahan dan kehendak zaman. Pihak dan individu yang menganggap bahasa Melayu sebagai kolot, statik dan tidak mampu untuk menampung ilmu-ilmu kritikal seperti sains dan teknologi itu, sebenarnya mereka sendiri telah gagal untuk menyumbang kemajuan bahasa ibunda itu. Maka itulah sebabnya dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan oleh mereka yang terlebih perasaan sebagai anglophile di bumi tempatan. Hanya manusia yang hilang jati diri dan tiada maruah sahaja yang lebih mengutamakan bahasa asing dalam urusan seharian semata-mata demi meninggikan imej, superior dan prestij masing-masing. Walaupun sudah 65 tahun negara kita merdeka, alangkah payahnya untuk menyatukan rakyat Malaysia dalam bahasa kebangsaan. Hal ini kerana tiada kesungguhan daripada rakyatnya sendiri yang terdiri dari pelbagai kaum biarpun teguran demi slogan dilaksanakan. Maka, dalam bidang sastera kebangsaan, kita dipisahkan oleh sastera berbahasa Melayu, India, Inggeris dan lain-lainnya. Jika terus berlanjutan, sastera kita akan terkurung selamanya dengan keterbatasan audiens masing-masing.

            Tidak terbayang bagaimana sukarnya untuk melakukan pertimbangan semasa memindahkan bahasa arkaik Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Kerja terjemahan bukan lapangan yang mudah dan boleh disudahi dalam tempoh terdekat. Ia pekerjaan serius kerana perlu menguasai pelbagai disiplin ilmu sebelum layak untuk memulakan kerja terjemahan yang bukan sekadar mengalihkan bahasa ke sebuah bahasa asing. Pauline Fan sendiri mengaku telah mengambil masa selama 10 tahun untuk menterjemahkan 50 buah sajak Paul Celan ke dalam bahasa Melayu. Pengetahuan dalam bahasa asing hanya satu syarat sahaja di samping kemahiran dan disiplin lain yang menjadi asas dalam urusan penterjemahan. Aspek-aspek seperti budaya, adat resam, kepercayaan dan falsafah wajar juga diambil kira dalam menterjemah sesebuah karya dari negara asing. Ia bukan kerja enteng atau mengaut wang sahaja.

            Kadang-kadang saya dikecewakan oleh mutu terjemahan yang dilakukan dalam kalangan anak muda di Malaysia, misalnya dalam karya sastera dan ilmiah. Tatabahasa berterabur dan kasar pula dirasakan tekstur terjemahannya. Seakan-akan dilakukan dengan tergesa-gesa dan semberono. Usaha penterjemahan juga tidak seharusnya berlandaskan impian (sekali lagi hal ini saya nyatakan dengan kesal) untuk mengantarabangsakan karya anak tempatan ke persada dunia semata-mata. Malah, tampaknya, lebih bersifat perniagaan dan komersial. Namun ia perlu juga dinilai daripada kualiti dan kecemerlangannya sebagai sebuah karya yang memiliki gagasan dan keaslian pengucapannya daripada warga tempatan. Jangan bertumpu kepada individu-individu tertentu sahaja disebabkan kedudukan dan pengaruhnya. Sebagaimana kata Anna Rusconi, kata-kata mengembara ke seluruh dunia. Dan para penterjemahnya ialah orang yang bertindak sebagai pemandu.

            Selesai pelancaran dan diskusi sastera dalam kedai buku Riwayat, saya menyerahkan buku kumpulan sajak sulung Empigit kepada SN Muhammad Haji Salleh. Saya fikir ini kali kedua, pengakuan dibuat di depan tokoh sasterawan itu, bahawa saya terjerlus masuk ke dalam genre penulisan sajak setelah membaca sajak Decoud karangannya. Sajak itu bernada pengasingan, kekesalan dan pelbagai emosi kompleks yang membelenggu watak utamanya di tepi pantai. Segala-gala yang berada dan dipandang watak utama itu seperti ingin memecah tubuh dan perasaannya pada ketika itu. Alam yang indah dan jauh daripada manusia itu seakan-akan menjadi lokasi yang lebih menyakitkan nalurinya. Sajak sedemikian sudah terlalu payah untuk ditemui pada masa kini. Mulai sekarang, barulah saya sedar, sajak yang baik dan berkesan, bukan terletak pada gaya yang pelik-pelik dan kononnya membawa ekspresi pembaharuan. Saya sudah tidak kagum dan terpesona oleh percubaan-percubaan yang memesongkan dan memulaskan bahasa dalam sesebuah sajak. Ketara, itu hanya menyerlahkan ketidakupayaan seseorang penyajak itu dalam menyampaikan maksudnya.

            Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh seorang tokoh intelektual yang fleksibel. Masyarakat mengenali sosoknya dengan perspektif serius dan akademik. Beliau mampu menghidupkan suasana dengan ucapan-ucapan yang menggelikan hati para audiens secara natural. Wajahnya memang tampak serius dan tegas. Walhal, beliau sebenarnya sangat mesra dengan penulis generasi baharu dan senang untuk diajak berlawak, bahkan isi jenakanya sangat terkini. Sebelum saya melangkah keluar dari kedai buku Riwayat, SN Muhammad Haji Salleh sempat memberikan saran kepada saya agar banyak membaca, belajar hal-hal baru (dalam pengucapan kesusasteraan) dan jika berkelapangan (semoga dimurahkan rezeki), mengembaralah serta berjalanlah ke luar negara. Usia tokoh sastera itu bakal mencecah 81 tahun pada tahun ini. Beliau menulis sajak di merata tempat di kota dunia yang dilawatinya. Saya bersyukur kerana diberikan kesempatan dan ruang untuk menulis, biarpun karya-karya yang dihasilkan masih sederhana dan dituliskan di beberapa buah lokasi sekitar Kuching dan Kuala Lumpur.

            Jarak perjalanan dari Jalan Tangsi ke Jalan Tun HS Lee, tidaklah sejauh mana. Malahan seseorang itu boleh sahaja berjalan kaki jika ingin menjimatkan kos untuk tambang Grab yang kadar harganya tidak menentu, bergantung pada masa kemuncak dan keadaan trafik jalan raya. Sambil berjalan di pinggir jalan menuju ke Stesen LRT Jalan Sultan Ismail, telinga saya bagai terdengar irama Free Jazz Ornette Coleman (Dancing in Your Head, 1977) mengiring setiap langkah. Benarlah kata bijak pandai, idea dan inspirasi selalunya tiba secara tiba-tiba ketika berada di jalanan.

 
 
Advertisement