Anda di sini

MBKS lancarkan inisiatif program ‘Kuching Car Free Morning’

Advertisement
Dr Sim menyaksikan Wee (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Sunway Education Group (SEG) Sdn Bhd pada pelancaran program Kuching Car Free Morning hari ini. -Gambar Roystein Emmor
Dr Sim menyaksikan Wee (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Sunway Education Group (SEG) Sdn Bhd pada pelancaran program Kuching Car Free Morning hari ini. -Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) melancarkan inisiatif program ‘Kuching Car Free Morning’ hari ini.

Program itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat dan membantu mengurangkan pelepasan karbondioksida.

Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, acara ini berfungsi sebagai inisiatif hijau untuk menggalakkan kehidupan sihat, mengekalkan kemesraan terhadap alam dan mengukuhkan ikatan keluarga.

“Ia (Kuching Car Free Morning) membuka peluang kepada masyarakat bandar untuk menyedari betapa banyak pencemaran mempengaruhi kehidupan kita. Pelepasan asap kenderaan adalah salah satu punca utama pencemaran udara terutama di bandar.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pencemaran udara sahaja telah menyebabkan kira-kira 4.2 juta kematian pramatang pada 2019,” katanya pada program itu di sini, hari ini.

Terdahulu, program Kuching Car Free Morning disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Wee menegaskan bahawa inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan bilangan kenderaan di jalanan sambil menggalakkan orang ramai menggunakan basikal, pengangkutan awam atau berjalan kaki.

Beliau berkata, ini menandakan langkah pertama MBKS menggalakkan penduduk dalam bidang kuasanya untuk bersama-sama memulakan sesuatu bagi mengurangkan pelepasan karbon.

“Dengan memilih untuk berjalan kaki, menggunakan basikal atau menaiki pengangkutan awam, kita boleh meningkatkan kesihatan, menjimatkan wang dan mengurangkan jejak karbon.

“Untuk memastikan bandar yang mampan, kita mesti mengambil langkah untuk beralih daripada kebergantungan yang berlebihan pada kereta,” katanya.

Beberapa aktiviti seperti Leo Club Run oleh UCSI Kuching, ‘fun walk’, senamrobik dan pameran telah diadakan sempena pelancaran tersebut.

Selain itu, MBKS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sunway Education Group (SEG) Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam mewujudkan Kuching yang lebih baik untuk semua.

Menurutnya, MoU itu bermanfaat dari segi perkongsian pengetahuan, perkhidmatan perundingan oleh SEG, program latihan, penglibatan komuniti, pemindahan pengetahuan, kemudahan dan peralatan makmal.
 

Advertisement