Anda di sini

Golongan muda dalam dunia kreatif harus sahut cabaran hasilkan lukisan cat minyak

Advertisement
Bong (kanan) membawa Ting (kiri) melihat lukisan cat minyak siri harmoni yang bernilai RM27,680.
Bong (kanan) membawa Ting (kiri) melihat lukisan cat minyak siri harmoni yang bernilai RM27,680.

KUCHING: Golongan muda dalam dunia kreatif harus menyahut cabaran untuk menghasilkan lukisan cat minyak sebelum ia pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Demikian kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting kepada peminat seni lukisan di Sarawak.

"Lukisan ini amat susah untuk dihasilkan dan dalam 20 tahun akan datang kita tidak akan lagi menemui mereka yang dapat menghasilkan lukisan cat minyak.

“Oleh itu, anak muda harus menyahut cabaran ini dan sudah tentu kementerian menyokong mereka untuk mencuba lukisan cat minyak dan jangan biarkan ia pupus begitu sahaja," katanya ketika ditemui media hari ini.

Ting sebelum itu melancarkan Pameran Bong Choo Chew: ‘Masterful Oil Paint Show’ di Hoan Gallery, Menara HSL, Kuching-Samarahan Expressway, di sini.

Bong yang berusia 70 tahun dan berasal dari Lundu mempertontonkan sebanyak 50 lukisan cat minyak bertajuk 'Dialogue With Our Nature' kepada orang ramai hasil kerja tangannya untuk bertahun lamanya.

"Saya menggesa semua orang untuk tidak mencemarkan alam semula jadi dan membuang sampah di merata tempat termasuk di sungai dan laut untuk memelihara flora dan fauna di negeri kita.

"Banyak pencemaran yang berlaku terhadap alam sekitar kita, sebagai seorang manusia kita patut mencintai dunia ini dan melihat generasi seterusnya hidup dalam dunia yang lebih bersih dan baik," tambahnya.

“Lukisan cat minyak amat berbau dan toksik kepada pelukis dan saya nasihati orang muda yang sedang berjinak untuk membuat lukisan ini untuk tidak duduk di dalam bilik berhawa dingin.

“Lagipun, hari ini ramai anak muda lebih suka membuat lukisan akrilik berbanding lukisan cat minyak. Oleh sebab itu hasil lukisan cat minyak amat sukar dibuat oleh mereka,” ujarnya menegaskan.

Setiap lukisan beliau dihasilkan di rumah dan lukisan yang dipertontonkan di galeri dijual antara RM3,000 sehingga RM30,000.

Bong turut berikrar 70 peratus hasil jualan akan didermakan kepada tujuh rumah kebajikan di Lundu, Sri Aman, Samarahan dan Kuching sempena sambutan hari lahirnya tahun ini.

Ia juga sempena memperingati jasa Tan Sri Datuk Amar Tan Wee Boon Ping yang pernah menaja beliau melanjutkan pelajaran berkaitan seni di Nanyang Academy of Fine Art, Singapura.

Pameran di Hoan Gallery adalah percuma dan dibuka kepada orang ramai bermula 13 Mei hingga 31 Mei ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari lapromenademall.com.my, hoangallery.com.
 

  • oleh
  • Advertisement