Anda di sini

Pertandingan Sape Junior berpotensi jadi acara ikonik Sarawak suatu hari nanti

Advertisement
Nasrul Hakim (dua kanan depan) dan Nasir (dua kiri depan) diapit Saiful (kanan depan) dan Nadia (kiri depan) bergambar bersama para finalis Pertandingan Sape Junior 2023 (dari kiri belakang) Darren, Ernest, Martinus, Aeron, Stanford dan Ferderick.
Nasrul Hakim (dua kanan depan) dan Nasir (dua kiri depan) diapit Saiful (kanan depan) dan Nadia (kiri depan) bergambar bersama para finalis Pertandingan Sape Junior 2023 (dari kiri belakang) Darren, Ernest, Martinus, Aeron, Stanford dan Ferderick.

KUCHING: Pertandingan Sape Junior berpotensi menjadi salah satu acara ikonik Sarawak suatu hari nanti kata Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Nasir Lariwoo.

Katanya kementerian menyokong usaha Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk memartabatkan permainan alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu itu, namun ia masih perlu dipertimbangkan kerajaan.

"Di pihak kementerian yang menggubal dasar, jadi ia memerlukan sedikit masa untuk menilai, mengkaji dan mengambil pendapat daripada pihak berkepentingan serta agensi yang berkaitan.

"Ini adalah proses sebelum kita bersetuju, menyokong, mengiktiraf dan memperakui program berkenaan perlu digunakan atau diketengahkan," katanya ketika ditanya pemberita pada sidang media Pertandingan Sape Junior 2023 hari ini. 

Ujar beliau perkara itu hampir menjadi realiti kini, mengambil contoh acara ikonik seperti RWMF yang dahulunya dilaksanakan dalam skala kecil tetapi sekarang seperti tidak perlu dipromosikan lagi dan sering ditunggu-tunggu setiap tahun.

Bagaimanapun, pertandingan tersebut boleh dimulakan di peringkat serantau ASEAN melibatkan negara-negara Nusantara seperti Kalimantan, Indonesia, Brunei dan seterusnya menjalankan secara jemputan bagi negara lainnya.

Pertandingan tersebut membariskan enam peserta yang berjaya melayakkan diri untuk berentap merebut gelaran Juara Pertandingan Sape Junior 2023 pada 13 Mei di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching jam 9 malam. 

Mereka adalah Martinus Njok Sebi, Ferderick Maldini, Darren Mengga Larry Mengga dari Kuching diikuti peserta dari Sibu Stanford Rayan Sidi, Aeron Junior Ibas dan Ernest Vaneman Amut Leonard dari Miri.

Keenam-enam peserta wajib mempersembahkan sebuah lagu sape tradisional secara solo pada pusingan pertama tidak lebih daripada tiga minit. 

Seterusnya untuk pusingan kedua, peserta dikehendaki membawa lagu kontemporari yang akan diiringi Kombo D'Aspriasi RTM Kuching dengan durasi maksimum lima minit.

Kehebatan serta kemahiran mereka dalam bermain alat muzik sape itu akan dinilai para juri profesional terdiri daripada pemain sape dan ahli muzik profesional.

Program itu juga boleh ditonton secara langsung menerusi saluran TV2, aplikasi RTM Klik dan disiarkan menerusi Facebook RTM Sarawak.

Pada masa yang sama, Pengarah Penyiaran Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak Nasrul Hakim Md Noh turut menyuarakan rasa gembira menjadi platform penganjuran pertandingan itu buat julung kalinya.

"RTM harus bantu mengangkat budaya dan tahap industri kreatif di Sarawak dengan menyediakan platform seperti ini," tegasnya.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Seksyen TV RTM Sarawak Saiful Arini dan Penerbit Program Sape Junior 2023 Nadia Fadila Ali.
 

  • oleh
  • Advertisement