Anda di sini

Orang Kampung Kami

Advertisement
 

Oleh: Abang Patdeli Abang Muhi

SEBERMULA, aku pun orang kampung. Dulu-dulu, dalam tahun-tahun 70-an, orang-orang kampung seperti kami dipanggil orang laut. Ada juga yang memanggil kami orang pesisir. Baik orang laut mahupun orang pesisir, nada suara mereka sinis sekali. Orang laut atau orang pesisir, konotasinya mundur. Ketinggalan zaman. Kolot! Mundur bererti serba-serbinya daif - jalan raya berasfalt tidak ada, bekalan elektrik dan air bersih juga tidak ada. Malah, orang laut atau orang pesisir itu, apabila bercakap, tutur kata dan sebutan mereka pun dianggap tidak standard, berbanding dengan sebutan orang Kuching - jebong menurut mereka. Mungkin ada yang tidak tahu, sama ada dalam kalangan anak muda atau orang dewasa sekarang, akan maksud perkataan jebong. Bukan jebong sahaja yang sudah kian lenyap daripada perbendaharaan kata orang Melayu Sarawak, bahkan banyak lagi. Juga dikatakan bahasa Melayu Sarawak itu, dan bahkan bahasa Iban dan sebagainya sudah banyak sirna keasliannya disebabkan sistem pendidikan kebangsaan berbahasa pengantar bahasa Melayu. Dari satu segi ada benarnya juga tanggapan itu, kerana banyak masa anak-anak berada di sekolah. Hal sebegini juga bisa terjadi disebabkan pengaruh televisyen kerana program-program hampir kesemua dalam bahasa Melayu. Ada juga yang menyalahkan sesetengah ibu bapa yang menyumbang kepada gejala distorsi bahasa dalam kalangan anak-anak muda ini. Menurut mereka, ibu bapa tidak menggunakan bahasa Melayu Sarawak dengan anak-anak mereka - maknanya anak-anak tidak dibiasakan dengan penggunaan kosa kata tertentu, lalu menyebabkan perkataan biasa dan dipakai hari-hari seperti jebong, cangkir, tapak (pinggan), ngando (lewat bangun tidur), empungas (mencuci muka selepas bangun tidur), bungas (suci dan lain-lain), dan banyak lagi. Kata jebong misalnya, hanyalah variasi sebutan yang biasa dalam mana-mana bahasa. Bahasa Melayu Sarawak pun begitu. Sekadar variasi sebutan di daerah-daerah tertentu. Selalunya, perkataan yang berakhir dengan fonem /a/ seperti “gila” dan “nya” diujarkan sebagai “gilo” dan “nyo”, bunyi /o/ di akhir kata itulah yang dikatakan jebong. Begitu jugalah apabila perkataan seperti “ajal” dan “tebal” dilafazkan “ajai” dan “tebai”.  Bukan sesuatu yang jarang-jarang terjadi, apabila yang jebong percakapannya itu, diborah atau diajuk, dan acap kali juga menjadi bahan ejekan dan sendaan. Ada yang menganggap gejala emborah atau mengajuk itu, perkara biasa sahaja, dan jangan terkejut jika ada berasa sangat tersinggung apabila diborah tutur katanya, kerana menganggapnya sebagai suatu penghinaan. Orang kampung kami pula, ada yang jebong dan ada yang tidak, namun yang jebong masih menebal. Sengaja aku bercerita perihal jebong ini, untuk menyatakan betapa suatu waktu dulu, dalam kalangan orang Sarawak sendiri pun, ada yang berpandangan negatif sesama mereka. Seakan-akan wujud dikotomi, dan jurang perbezaan status sosial antara mereka. Alkisah, orang kampung kami pula, hendak dikatakan maju, tidak juga. Kalau masih mundur dalam beberapa aspek, mungkin juga. Mana tidaknya, di kampung kami, bekalan air bersih, masih lagi berupa masalah kemudahan asas yang entah bila akan berakhir keperitan hidup orang kampung kami itu. Mungkin di kampung orang lain juga, masalahnya pun sama. Maka, aku dan orang-orang sekampung aku yang lain, menjadi tawar hati hendak pulang ke kampung. Mana tidaknya, kami (orang bandar apatah lagi) yang sudah biasa dengan kehidupan bandar yang serba-serbi lengkap kemudahan asasnya, apabila pulang ke kampung, air tidak ada, walaupun paip airnya ada. Tangki biru yang disumbangkan oleh parti-parti politik dulu memang banyak kelihatan di kampung kami. Pun begitu, jangan pula kita lupa, tangki air tidak ada hujan atau terjadinya kemarau - bukan tidak pernah tiada hujan selama tiga, empat bulan -bayangkanlah betapa sengsara kehidupan orang kampung, seperti orang kampung kami. Ironinya, jika kita lalu di jalan besar dekat kampung kami itu, tersergam gah tangki air gergasi, dan aku kira sudah lima, enam tahun berada di situ. Aku nampak semua itu. Sakit mata dan hati melihatnya setiap kali aku pulang kampung. Aku tidak mengada-adakan cerita (kerana aku sejak kecil tidak pernah gagal untuk pulang beraya di kampung halaman aku, kecuali dalam tahun 2022, sewaktu aku belajar di London, dan tahun 2020, ketika pandemik). Sudah beberapa kali raya, kampung kami masih lagi dibelenggu masalah air. Yang peliknya, orang kampung kami tidak banyak bicara dan kerenah.  Mereka menerima apa adanya kehidupan mereka. Mereka pasrah tegar. Mungkin kerana mereka tidak ada pilihan - ada air atau tidak, hidup mati mereka di kampung itulah. Lengkap atau tidak lengkap kemudahan asasnya orang kampung kami tidak ambil peduli sangat, kendatipun mengikut logik akal, kampung kami dan kampung-kampung orang lain juga, sepatutnya sudah jauh lebih maju. Taraf hidup mereka sepatutnya dalam zaman digital ini sudah jauh lebih baik - kemudahan asasnya lengkap, ekonominya mampan. Sebabnya, negeri kita sudah lama merdeka. Negeri kita juga kaya, dan luar biasa hasil mahsulnya. Itu bukan aku mengatakannya. Itu kata-kata para pembesar kita - kita serba-serbinya terbaik, dan sering juga kita mendabik dada, bahawa kita adalah termaju. Paradoksnya, kita masih belum maju sebenarnya. Yang peliknya, kita selalu menyalahkan orang lain atas kemunduran, dan bahkan kedaifan kita. Orang luar yang mengaut kekayaan kita. Orang luar yang merampas hak kita. Orang luar yang menjajah, sekali gus menindas kita - dan, gara-gara ketidakadilan dan hegemoni orang luar itulah, maka kita tidak maju, dan malah terus terpinggir. Entah kenapa, sesetengah orang kita bertanggapan liar dan bias begitu. Dan, orang kita suka pula menyalahkan orang lain atau takdir atau sebab-musabab lain atas kegagalan kita, dan kemunduran kita. Seolah-olah payah benar, kita hendak merenung ke dalam diri kita, atau bermuhasabah diri, dan kemudian menerima hakikat bahawa maju atau mundur orang kita, kampung kita, malah ibu pertiwi kita, semuanya terletak di tangan dan pundak kita sendiri, khususnya pemimpin-pemimpin kita. Begitu juga untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik, semuanya bergantung pada diri kita, dan kaum kita sendiri. Bukankah Tuhan telah menyebut dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang membawa maksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka.” Hatta, dalam hidup ini atau untuk berubah mahupun menentukan nasib kita bergantung pada tiga perkara, yakni tindakan, komitmen dan prinsip. Malangnya, orang kita, tidak terkecuali orang kampung kami, terlalu liat untuk berubah. Dan tidak hairanlah orang kampung kami masih naif dan polos, lalu dibelenggu oleh salah tafsir tentang falsafah rezeki secupak tidak menjadi segantang, dan harta tidak dibawa mati. Memang benar harta tidak dibawa mati, bagaimanapun untuk membina kehidupan yang lebih sempurna, harta dan kekayaan perlu dicari. Perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehnya, tetapi, bukan sehingga lalai untuk mengerjakan ibadah fardu yang lain. Orang kita seharusnya tidak menganggap enteng tujuan kehidupan ini. Kadang-kadang aku berasa terkilan, kerana sudah banyak kali diingatkan, orang kampung kami, rata-ratanya menerima kedaifan kampung mereka. Mungkin kerana sudah terbiasa hidup begitu, dan bagi mereka, asalkan cukup makan, cukup pakai, syukurlah - kemudian menjalani rutin harian kehidupan mereka seadanya dan seperti biasa - makan, tidur, bangun, solat, dan duduk berbual-bual kosong. Dalam bab solat pula, orang kampung kami, maaf cakap, liat hendak ke surau, apalagi ke masjid - solat Jumaat pun susah payah hendak mencukupkan makmum, sedangkan masjid kampung kami, sangat cantik. Sedangkan jika semua kaum lelaki yang akil baligh turun ke masjid, makmum solat Jumaat jauh daripada mencukupi. Malangnya kecantikan masjid yang baru yang memakan masa terlalu lama untuk siap dibina itu tidak bisa mendorong orang kampung kami untuk mengimarahkannya. Namun, jika solat Aidilfitri, masjid kami, melimpah-ruah makmumnya - barangkali, ini berpunca daripada ramai orang kampung kami di perantauan pulang berhari raya atau mungkin juga ada orang kampung kami, hanya solat sekali atau dua kali setahun sahaja, sewaktu Aidilfitri atau Aidiladha. Entahlah, wallahualam. Aku pun tidak pernah hendak membuat usul periksa. Tapi, sepanjang pemerhatian aku, yang sesekali solat Jumaat, dan saban tahun solat Aidilfitri di masjid kampung kami, begitulah gambarannya, makanya aku berani membuat generalisasi itu. Aku bukannya, mereka-reka cerita. Apabila aku fikir-fikirkan, pelik juga orang kampung kami - jika dalam bab beramal ibadat yang tidak begitu diambil berat oleh mereka, dalam bab bersosialisasi dan beriadah, lain pula komitmen yang dipamerkan oleh orang kampung kami. Anak-anak muda dan belia begitu cergas dan cerdas mengadakan pertandingan bola sepak antara kampung. Ini diadakan oleh mereka, mulai hari raya ketiga, dan selalunya inilah yang memeriahkan kampung kami. Hendak dijadikan cerita, pertandingan bola sepak dalam bulan Syawal ini, semacam suatu tradisi kampung kami. Kata orang, tak sah raya di kampung kami, jika tidak dimeriahkan dengan pertandingan bola sepak, dan sejak akhir-akhir pertandingan karaoke sudah menjadi suatu kegilaan baharu orang kampung kami, dan kalau aku tidak salah dengar, kampung-kampung lain pun berlaku gejala hedonisme ini; hiburan yang melalaikan itu. Boleh sahaja berhibur, tetapi bersederhanalah. Alkisah, sejak zaman aku kanak-kanak hinggalah meniti usia senja ini, kampung kami menjadi terkenal kerana pertandingan bola sepak yang aku sebut tadilah. Kampung-kampung di sepanjang Batang Sadong akan menghantar pasukan masing-masing, dan dalam zaman yang lebih maju kerana adanya jalan darat, lebih banyak pasukan di luar Batang Sadong yang turut serta. Dulu-dulu turut diadakan pertunjukan pentas yang berbayar - adalah kumpulan orkes dari Kampung Sejaie, Kampung Nanas dan Kuching yang diundang untuk membuat persembahan pada waktu malam. Dipendekkan cerita, meriahlah malam-malam sepanjang pesta bola sepak itu berlangsung. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan lalu sahaja. Hanya orang-orang yang seusia senja seperti aku sahaja yang ada nostalgia itu. Orang kampung kami sekarang, sudah tidak minat dengan orkes-orkes ini (mungkin juga disebabkan kumpulan sedemikian sudah pupus). Mereka, jika hendak berhibur, akan memecut kereta masing-masing ke Kuching - Kuching melimpah dengan pusat hiburan. Maklum sahajalah, ada dua bandar raya, Kuching Utara dan Kuching Selatan. Dulu-dulu, Aidilfitri di kampung kami amat menyeronokkan - kami sewaktu zaman kanak-kanak amat kreatif - kami cari buluh, dan buat bedil atau meriam sendiri. Esok hendak raya, kami memukul beduk dengan irama tertentu dari selepas Isyak hingga sebelum Subuh. Selepas solat raya sebelum Zuhur pula, ada jamuan di masjid yang disediakan oleh orang-orang kampung. Aku dan kawan-kawan memang tidak melepaskan peluang itu. Bukan apa, waktu rayalah, adanya peluang untuk makan ayam - zaman kanak-kanak aku tidaklah semewah sekarang.

 

Satu lagi, jika hendak makan mewah, semasa kenduri kahwin, dan di kampung kami, selalunya ada orang kahwin pada hari raya keempat dan seterusnya. Kenapa begitu jadinya? Sebabnya, anak-anak muda kampung kami kerja belok atau kerja kayu (bekerja menebang kayu balak dan seumpamanya di serata negeri), dan selepas enam atau tujuh bulan bekerja, masing-masing akan pulang ke kampung. Maka, dalam tempoh itulah sahaja masa yang sesuai untuk mengadakan majlis perkahwinan. Lagi pula, sewaktu hari rayalah, ramai ahli keluarga dan sanak-saudara berada di kampung.  Dulu, rata-rata orang kampung kami, hidup susah, termasuk keluarga aku. Ayam, apatah lagi lembu, ialah makanan orang berduit. Lagi pula, kedua-duanya sukar untuk didapati, kerana dulu, orang kampung kami membela ayam kampung, dan tidak ada ayam proses yang dijual pada zaman itu. Duit pun susah juga dalam zaman itu. Ramai yang sebaya aku yang tidak bersekolah menengah - bukan kerana kesedaran terhadap kepentingan pendidikan mereka rendah, tetapi disebabkan kemiskinan, ramai kawan aku yang terkandas hingga darjah enam sahaja. Malah, ada sudah berhenti sekolah sebelum habis darjah enam pun - ada yang berhenti kerana berkahwin, dan ada yang berhenti atau diberhentikan ibu bapa mereka sendiri, kerana mereka bekerja untuk membantu menyara keluarga masing-masing. Keluarga aku pun bukannya kaya, tetapi lebih bernasib baik daripada keluarga kawan-kawan aku yang lain. Mujurlah bapa aku pernah menjadi ketua kampung, penghulu dan Ahli Majlis Daerah, yang walaupun gaji dan elaunnya tidak seberapa, tetapi, kehidupan kami lebih baik berbanding orang-orang lain di kampung kami kerana kami ada pendapatan tetap setiap bulan. Kata gemulah bapa aku, “Kami lebih senang daripada yang tidak senang.” Maksudnya, ada orang lain yang lebih susah daripada kami. Justeru, menurut arwah bapa, kami adik-beradik sepatutnya bersyukur. Hasil titik peluh kedua-dua orang tua kami itu, kami adik-beradik disekolahkan, dan benarlah kata orang-orang bijak pandai, bahawa pendidikan boleh menyelamatkan seseorang daripada kejahilan dan kekufuran. Keluarga kami dikira bernasib baik, juga disebabkan kami ada kebun kelapa, sumber pendapatan yang relatif lumayan pada waktu itu. Kemudian kami ada mengusahakan sawah padi; walaupun menanam padi sekali setahun, hasilnya boleh dimakan selama setahun, selain dijadikan benih, dan dijual untuk menampung perbelanjaan.  Mungkin kehidupan yang susah itulah yang menjadikan aku begitu sensitif dan kritis - apa-apa sahaja bentuk ketidakadilan, kezaliman, kedaifan dan kefakiran yang tidak dipedulikan oleh para penguasa dan orang yang berada, sukar untuk aku membutakan mata, memekakkan telinga dan membisu seribu bahasa - aku harus ambil peduli. Aku mesti menyuarakannya, dengan pena yang tajam, ataupun secara terus terang lewat pelbagai wahana yang ada. Orang hendak kata aku penyibuk, biarkanlah mereka mengatakannya atau apa-apa yang mereka mahu katakan tentang aku. Aku tidak kisah pun. Yang aku tahu, aku melaksanakan tanggungjawab moral dan sosial aku menyatakan yang benar, dan aku tidak mahu bersubahat yang tidak berbuat apa-apa untuk menyatakan yang hak. Aku tahu, ramai yang tidak suka dengan pendirian dan prinsip aku. Malah, orang kampung kami, ada yang tidak begitu suka akan aku - terutamanya mereka yang rapat dengan orang-orang besar dan berkuasa politik - mereka itu pun ramai yang tidak jujur dan ikhlas, dan ada yang memang kaki kipas pun. Yang tidak jujur, dan suka mengampu inilah yang menjadi duri dalam daging, dan selalunya menyebabkan orang atasannya atau pemimpinnya, jatuh serta hilang kuasa dan harga diri. Aku, kendatipun, dianggap kontroversial, tetapi aku masih dihormati, disegani dan digemari oleh rata-rata orang kampung kami, yang tua mahupun yang muda. Setiap kali aku balik kampung, aku sentiasa disapa mesra. Dan, kalau singgah minum di Warung Haji Deris, aku dan kawan-kawan sekolah aku dulu, malah orang yang lebih tua, kami akan berbual panjang tanpa rasa kekok. Kejujuran dan keikhlasan dalam setiap kalimat yang kami tuturkan jelas terasa, dan terpancar melalui wajah yang ceria, senyum yang manis, suara yang lembut, dan disulami tawa kecil. Dalam bual-bual kosong penuh mesra itu, ada juga yang berkata (aku tidak pasti, sama ada itu ikhlas atau tidak): “Awak memang bagus, Mar. Tak sombong. Masih macam dulu juga, walaupun berpangkat besar.” Dan, selalu diulang oleh mereka, “Arwah bapa awak dulu, tak ada penghulu sekarang ini yang dapat melawannya, jujur dan amanah.” Kedua-dua ucapan itu, amat menyentuh perasaan dan mengusik hati, dan bagi aku, jujur atau tidak kata-kata mereka itu, aku tidak kisah sangat - bagi aku, yang penting mereka mengucapkannya, dan bahkan bukan hanya sekali diucapkan oleh mereka kata-kata manis itu, tetapi setiap kali aku balik kampung, dan berkesempatan bertemu mereka. Dalam pada itu, ada juga ketikanya mereka berkata, “Cuba beritahu dengan YB kita, susah benar kampung kita ini. Selalu tak ada air. Sudah bertahun-tahun masalah ini.” Dengan nada bergurau, dan jujur aku biasanya menjawab, “Bukan aku yang  mengundinya.” Mendengar kata-kata itu, kami akan ketawa berdekah-dekah - masing-masing mengerti itu hanya lelucon yang tajam, dan dalam maksudnya. Sengaja hendak panjangkan cerita ini, satu lagi keistimewaan orang kampung kami ialah mereka sangat suka berdebat (menurut pemerhatian aku, mereka bukannya berdebat, tetapi lebih kepada bertengkar kerana idea dan hujah tidak tersusun). Asal ada isu baharu yang timbul, isu politik biasanya, sehari suntuk mereka akan bertengkar di Warung Haji Deris - bukan sahaja isu dalam negara, malah, isu-isu politik dan sosial dunia pun dibahaskan oleh mereka, dan Warung Haji Deris seakan-akan “parlimen mini” tanpa Speaker Dewan. Yang paling menonjol dalam “perbahasan” itu ialah Hassan dan Hussin - kedua-duanya ialah pesara guru, dan masing-masingnya pernah menjadi imam dan bilal kampung kami, tetapi digantikan dengan orang lain yang lebih berilmu dalam agama. Mereka berdua memang terkenal sebagai kaki bangkang; gelaran yang diberikan oleh orang kampung kami kerana mereka tidak pernah memihak kepada parti pemerintah, dan mereka berdua memang memilih untuk berbeza daripada orang kampung kami yang lain - prinsip yang menjadi pegangan perjuangan mereka ialah berani kerana benar, dan walaupun beralih duduk, tetapi tetap di tikar yang sama. Terbaharu mereka berbahas panjang tentang Malaysia Madani, walaupun mereka tidak arif tentang konsep dan falsafah sebenar berkaitan gagasan siasah itu. Isu tarikh Hari Raya Aidilfitri pun hangat dibincangkan oleh mereka, tetapi mujurlah orang kampung kami yang gemar berbahas itu, faham tentang kaedah penetapan tarikh mula berpuasa, dan 1 Syawal yang didasarkan kepada kaedah hisab dan rukyatulhilal. Yang bagusnya tentang orang kampung kami, meskipun berbeza pandangan dan parti politik serta digelar penengkar tegar oleh YB Ikram dan juak-juaknya, kami tetap memelihara silaturahim dan ukhuwah sesama kami. Rukun madani sudah lama kami amalkan dalam kehidupan berkampung kami.

Glosari 
bungas    suci dan lain-lain
diborah    diajuk
emborah    mengajuk
empungas    mencuci muka selepas bangun tidur
jebong    variasi sebutan yang biasa dalam mana-mana bahasa
kerja belok / kerja kayu    bekerja menebang kayu balak dan seumpamanya 
ngando    lewat bangun tidur
tapak    pinggan

       

 
 
Advertisement