Anda di sini

Peluang artisan kraf Sarawak ketengah ciptaan 

Advertisement

Penganjuran Minggu Kraf London bolehkan pemimpin dunia lihat hasil tangan artisan negara ini

Abdul Karim melihat penenun Shirley Vilin membuat tenunan yang bakal dipamerkan di Minggu Kraf London.- Gambar UKAS
Abdul Karim melihat penenun Shirley Vilin membuat tenunan yang bakal dipamerkan di Minggu Kraf London.- Gambar UKAS

"Minggu Kraf London bertepatan dengan pertabalan Raja Charles III, artisan kraf Malaysia sedang mengumpul peluang hebat untuk warisan kemahiran dan kraf mereka dilihat di platform antarabangsa dan oleh para pemimpin di seluruh dunia."

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 

KUCHING: Penganjuran Minggu Kraf London memberi peluang hebat kepada artisan kraf Sarawak khasnya mengetengahkan hasil ciptaan mereka di platform antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebagai berkata, penganjuran itu juga membolehkan pemimpin dunia melihat hasil tangan artisan dari negara ini.

"Minggu Kraf London bertepatan dengan pertabalan Raja Charles III, artisan kraf Malaysia sedang mengumpul peluang hebat untuk warisan kemahiran dan kraf mereka dilihat di platform antarabangsa dan oleh para pemimpin di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak pameran Minggu Kraf London di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom menjelang acara yang akan berlangsung dari 6 hingga 14 Mei ini.

Dalam pada itu, lebih 100 pemimpin dunia berkumpul di London, menandakan ini sebagai acara yang sangat bermakna bagi artisan kraf Malaysia kerana mereka berpeluang mempamerkan kemahiran dan kraf mereka kepada dunia.

UKAS menambah, Sarawak akan mempamerkan kraf yang kaya dengan tradisi dan warisan di bawah naungan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Sehubungan itu, empat artisan kraf Sarawak melakukan demonstrasi langsung sulaman keringkam, tenunan pua kumbu, anyaman bakul dan manik seramik. 

Acara itu dijangka menarik lebih 3,000 pelawat antarabangsa yang akan berpeluang mempelajari sejarah dan kepentingan setiap kraf terhadap keunikan kumpulan etnik Sarawak.  

Difahamkan, 700 artis keseluruhannya menyertai Minggu Kraf London dan mengadakan pembentangan di kedutaan di seluruh London.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dijangka melakukan lawatan rasmi ke Minggu Kraf London bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 
 

Advertisement