Anda di sini

20 usahawan Sabah terima pembiayaan bernilai RM7.92 juta

Advertisement
 Ewon tiba di majlis berkenaan dengan sambutan meriah.
MERIAH: Ewon tiba di majlis berkenaan dengan sambutan meriah.


TAMPARULI: Seramai 20 usahawan dan koperasi di Sabah menerima pembiayaan bernilai RM7.92 juta daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pembiayaan tersebut adalah daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). 

Kesemua pembiayaan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pada Program Karnival Usahawan dan Koperasi Madani, di sini semalam.

Selain itu, turut disampaikan dua sijil pendaftaran koperasi daripada SKM dan surat tawaran program daripada SME Bank Berhad kepada tiga penerima geran bagi Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) berjumlah RM143,000, satu penerima geran bagi Business Export Program (BEP) berjumlah RM200,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM343,000. 

Ewon juga menyampaikan agihan dividen 2022 kepada KOOP Sahabat Negeri Sabah berjumlah RM462,000 daripada AIM Sabah. 

Beliau berkata, penganjuran Program Usahawan dan Koperasi Madani Bersempena Pesta Kaamatan bertujuan menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan keusahawanan dan koperasi melalui sesi taklimat, pameran agensi-agensi di bawah KUSKOP kepada usahawan, koperasi serta komuniti setempat. 

Program yang diadakan selama dua hari iaitu 6 dan 7 Mei ini turut membuka ruang, peluang kepada usahawan dan koperasi tempatan membuka reruai bagi menjual pelbagai jenis makanan, minuman serta produk Perusahan Mikro, Kecil Sederhana (PMKS).

Selain itu, selaras dengan usaha menyahut seruan kerajaan dalam menyelami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, KUSKOP menerusi SKM mengadakan Jualan Madani Koperasi yang menawarkan barangan keperluan asas seperti gula, tepung, minyak masak, produk-produk koperasi serta barangan keperluan yang lain dengan kadar penjimatan sekitar 10 sehingga 15 peratus daripada harga pasaran. 

Turut diadakan adalah persembahan Rumah Tradisi Etnik yang mengetengahkan elemen kebudayaan dan warisan dalam menyemai semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum, bersempena meraikan Pesta Kaamatan yang bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian baik sepanjang tahun di Sabah.

“KUSKOP berharap dengan pelaksanaan program kali ini dapat merancakkan semula aktiviti keusahawanan dan koperasi khususnya di Sabah seterusnya meningkatkan daya saing usahawan tempatan. 

“Ini adalah selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia Madani dibawah tonggak 'kesejahteraan' yang membawa makna keseimbangan atau lebih tepat lagi kehidupan serta segala sisinya yang terangkum dalam keseimbangan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa maju, sejahtera,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement