Anda di sini

Usahawan Sabah diminta sertai program KUSKOP

Advertisement
 Ewon (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta program tersebut.
PENGHARGAAN: Ewon (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta program tersebut.

TAMPARULI: Usahawan di Sabah diminta supaya mengambil peluang menyertai program yang disediakan oleh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ketika ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, banyak program termasuk pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu usahawan di negara ini.

“Program seperti Tunas Usahwan Bumiputera (TUBE), Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Pembiayaan BRTani (BRTani) antara inisiatif KUSKOP yang perlu direbut oleh usahawan di negeri ini.

“Saya percaya dengan adanya program-program sebegini pastinya akan memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan, bakal usahawan serta koperasi di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian ketika melancarkan Program Usahawan dan Koperasi Madani bersempena Pesta Kaamatan, di sini hari ini.

Katanya, program yang dianjurkan ini adalah salah satu inisiatif bagi membantu usahawan, disamping merayakan sambutan bulan Pesta Kaamatan.

Ia juga bagi menyahut hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan kesejahteraan di bawah kerangka visi Malaysia MADANI.

“Program yang berkonsepkan karnival ini dijangka akan menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung terdiri komuniti usahawan, koperasi serta masyarakat tempatan pelbagai latar belakang agama dan budaya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang dua hari penganjurannya, KUSKOP turut menyediakan reruai pameran pelbagai agensi yang berkaitan.

“Ia bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan latihan, bimbingan, pembiayaan, pemasaran serta pelbagai lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi berkaitan.

“Selain itu, reruai jualan usahawan dan koperasi tempatan turut disediakan bagi memeriahkan lagi program ini,” katanya.

Ewon berkata, sebanyak 10 siri latihan TUBE berjaya dilaksanakan dengan melibatkan seramai 7,183 belia bumiputera dan 97 peratus daripada mereka dapat memulakan operasi perniagaan.

Sehingga kini, seramai 1,196 belia di negeri ini sudah dilatih menerusi TUBE dengan nilai geran disalurkan berjumlah RM16.31 juta.

“Ini membuktikan bahawa belia di Sabah amat berminat dalam bidang keusahawan dan berpotensi menjana pendapatan kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.

  • oleh
  • Advertisement