Anda di sini

Fahmi ucap takziah pemergian pelakon Ridzuan Hashim 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengucapkan takziah atas pemergian pelakon terkenal tanah air Ridzuan Hashim yang meninggal dunia kira-kira 2 petang tadi.

Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Fahmi menzahirkan perasaan sedih atas kehilangan pelakon yang memegang watak ‘King’ dalam filem KL Gangster itu.

“Innalillah. Sedih mendengar berita kehilangan pelakon terkenal tanah air, Ridzuan Hashim. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” katanya.

Sementara itu, khabar pemergian Allahyarham itu disahkan bekas isterinya yang juga pelakon Didie Alias menerusi hantaran video di Instagram. 

Menerusi video berdurasi 49 saat itu, beliau memaklumkan jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika ini.

“Saya mohon kepada semua sesiapa yang masih ada hutang bersama arwah boleh jumpa saya dan ampunkan, maafkan beliau,” katanya. 

Allahyarham Ridzuan menghembuskan nafas terakhir di HKL pada 1.57 tengah hari tadi, dipercayai akibat serangan jantung.

Anak saudara Allahyarham, Iman Zulkarnain, 32, ketika ditemui di HKL berkata bapa saudaranya yang berumur 62 tahun itu menghidap masalah jantung sejak tiga tahun lepas.

“Allahyarham rebah secara tiba-tiba semasa sedang bersarapan pagi. Usaha memberi CPR (bantuan pernafasan) juga telah dilakukan oleh anaknya ketika itu sebelum menghubungi ambulans.

“Arwah kemudiannya dikejarkan ke HKL sekitar 11 pagi tadi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah memaklumkan jenazah Allahyarham kini berada di HKL untuk urusan bedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Dusun Tua Batu 16, Hulu Langat. 

Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Hulu Langat selepas Maghrib. 

“Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga (Allahyarham) dan semoga tabah hadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan.

Ridzuan, yang dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di sini, mendirikan rumah tangga dengan pelakon Didie Alias pada 1991 dan dikurniakan lima orang anak, namun perkahwinan mereka berakhir pada 2002. 

Antara filem lakonan beliau adalah Antara Dua Hati yang ditayangkan pada 1988 iaitu filem pertamanya, Hati Bukan Kristal (1990), Lurah Dendam (1996), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Sri Dwi Malam (2001), Cinta 200 Ela (2002), SH3 (2004), Qaisy & Laila (2005), 1957: Hati Malaya (2007), Dunia Baru The Movie (2008), selain KL Gangster yang telah menonjolkan bakat lakonannya sebagai ‘King’

Ridzuan juga pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal. - BERNAMA
 

Advertisement