Anda di sini

Tugu Peringatan Kampung Jangkar tapak warisan bersejarah

Advertisement

Bakal diwarta kerana di tugu itulah berlaku pertempuran antara ATM dan komunis pada 26 Mac 1972

Abdul Karim pada Majlis Perasmian Tugu Peringatan Kampung Jangkar di Jalan Biawak-Lundu hari ini.
Abdul Karim pada Majlis Perasmian Tugu Peringatan Kampung Jangkar di Jalan Biawak-Lundu hari ini.

“Di sinilah berlakunya sejarah sedih di mana 15 anggota tentera kita kehilangan nyawa dalam satu serang hendap yang berlaku 51 tahun lalu.” 

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Tugu Peringatan Kampung Jangkar di daerah Lundu bakal diwartakan sebagai tapak warisan bersejarah negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Menurutnya, ia amat signifikan kerana di tempat tugu peringatan itulah berlaku satu pertempuran antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komunis pada 26 Mac 1972.

“Di sinilah berlakunya sejarah sedih di mana 15 anggota tentera kita kehilangan nyawa dalam satu serang hendap yang berlaku 51 tahun lalu.

“Satu-satunya insiden yang melibatkan jumlah kematian yang agak besar melibatkan angkatan tentera kita. 

“Mereka telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis sekitar jam 3.30 petang ketika  dalam perjalanan balik dari Kem Biawak untuk pergi ke Kem Titiakar.

“Ekoran daripada serangan hendap itu, angkatan tentera kita telah dapat menghapuskan 15 anggota komunis (11 dibunuh, dua ditawan dan dua menyerah diri),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Tugu Peringatan Kampung Jangkar di Jalan Biawak-Lundu hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pengelola Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw serta tetamu kehormat lain.

Abdul Karim menambah, insiden itu perlu diketahui oleh rakyat Sarawak dan Malaysia terutama mereka yang lahir kemudian bagaimana peritnya mereka hendak menjaga ketenteraman dan memastikan negara kita merdeka.

“Hari ini kita melihat (Malaysia) semuanya aman, bagus tapi untuk kita sampai ke peringkat yang apa yang kita dapat lihat hari ini, banyak  darah telah mengalir dan banyak pengorbanan daripada angkatan  tentera. 

“Sebab itulah anak-anak muda dan warga Malaysia pada masa ini perlu menghayati perjuangan dan pengorbanan angkatan tentera dalam memastikan kemananan berlaku sehingga hari ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata beliau akan mengaturkan di bawah Jabatan Muzium Sarawak agar tugu tersebut diwartakan sebagai tapak sejarah.

“Memandangkan hal sedemikian juga di bawah penguasaan saya, kita akan memastikan Tugu Peringatan Kampung Jangkar diwartakan sebagaimana tugu-tugu peringatan lain,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan pihak Majlis Daerah Lundu (MDL) agar menjaga tempat tersebut dengan sebaik mungkin serta memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti vandalisme. 

Untuk rekod, Batalion Ke-7 Rejimen Renjer yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah telah diaturgerakan ke Lundu pada akhir 1971 untuk membanteras ancaman pengganas komunis (PGK) dari Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) yang semakin meningkat di bahagian pertama dan kedua Sarawak. 

Pada 26 Mac 1972, semasa pasukan sedang menjalankan operasi menentang insurgensi di Padawan, Markas 7 Renjer di Lundu telah diarahkan untuk memberi perlindungan kepada Tim Penyelenggaraan ke Pos Gabungan Sempadan Biawak.

Satu konvoi yang terdiri daripada sebuah kenderaan jenis Land Rover dan dua trak tiga tan membawa 20 anggota yang diketuai Sarjan Basha Sulaiman telah ditugaskan untuk memberi perlindungan kepada pasukan tersebut. 

Semasa dalam perjalanan balik dari Biawak, lebih kurang jam 3.30 petang, konvoi telah diserang hendap oleh sekumpulan PGK yang berkekuatan 60 ke 80 orang. 

Land Rover yang mendahului konvoi terlepas daripada serang hendap tersebut dan terus memecut ke Kem Titiakar untuk mendapatkan bantuan manakala dua buah trak tiga tan terperangkap di kawasan serangan. 

Seramai 15 anggota tujuh renjer terbunuh dan empat lagi cedera dalam serang hendap itu. 

Seterusnya Operasi BELLA telah dilancarkan dan tujuh renjer telah berjaya menghapuskan seramai 15 anggota PGK (11 dibunuh, 2 ditawan dan 2 menyerah diri) sebelum pasukan balik ke Sungai Petani pada Disember 1972.

Selain daripada memperingati anggota yang terkorban, tugu itu menjadi simbol kepada sokongan dan kerjasama penduduk tempatan terhadap pasukan keselamatan dan agensi-agensi kerajaan sehingga membawa kepada pembanterasan PGK di kawasan itu.

Advertisement