
Oleh: Dilah Tuah
MEMBACA puisi merupakan suatu pengalaman yang menarik dan menyenangkan. Sejak sekian lama, puisi berperanan sebagai alat ekspresi diri dan penyembuhan, serta menjadi wadah untuk berhubung dengan orang lain pada tahap yang lebih mendalam. Ketika membaca puisi, kita sebenarnya membuka diri kepada pengalaman dan perasaan baharu serta meluaskan pemahaman diri tentang dunia sekeliling. Justeru tidak hairanlah, puisi mengandungi mesej yang kuat serta boleh memberi inspirasi dan motivasi kepada khalayak. Terdapat beberapa sebab mengapa khalayak perlu membaca dan menikmati puisi. Antaranya, puisi mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan mendorong seseorang ke arah sesuatu yang lebih besar dan baik. Membaca puisi cinta misalnya, akan memberi inspirasi kepada orang lain yang sedang bergelut dengan kesunyian atau kesedihan; puisi persahabatan dapat memotivasikan sikap yang lebih baik kepada orang sekeliling; puisi ketuhanan akan mendekatkan khalayak dengan Tuhan Yang Maha Kuasa dan puisi sejarah mengajar pentingnya masa lalu agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Oleh itu, penulisan ini akan membicarakan karya terbaharu Kumpulan Puisi Gelita Tak Berdaya Melenyapkan Cinta (terbitan Nusa Centre, 2022) hasil ukiran kata terbaharu Abizai. Terdapat 55 buah puisi terhimpun di dalamnya yang mengangkat tema kemanusiaan, ketuhanan dan alam serta sarat dengan ciptaan metafora yang segar. Tiga tema ini sememangnya sinonim dengan gaya dan alur pengucapan Abizai yang teliti dalam merenung, memerhati dan mengubah peristiwa menjadi himpunan kata-kata yang indah dan bernyawa.
Dalam puisi “Gelita Tak Berdaya Melenyapkan Cinta”, Abizai menggunakan unsur imejan atau perlambangan bagi kata ‘gelita’ yang merujuk kepada sikap manusia yang gemar memburuk-burukkan orang lain. Dalam bahasa kamus, ‘gelita’ membawa erti kegelapan namun dalam puisi ini ‘gelita’ merujuk kepada hati yang gelap, iaitu penuh dengan kedengkian dan prasangka terhadap orang lain. Justeru, frasa “gelita yang melata” merujuk kepada keburukan yang sengaja disebarkan sehingga menutupi kebaikan (“kelopak jelita”) pada pandangan mata manusia. Walaupun begitu cabarannya, Abizai tetap yakin bahawa ‘gelita’ hanya mampu menutupi keindahan wajah dan perilaku, namun keikhlasan jiwa (“haruman mawar”) akan mengisyaratkan benih cinta yang sebenar. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kebaikan tidak akan berjaya dikalahkan oleh keburukan atau kedengkian manusia.
Gelita Tak Berdaya Melenyapkan Cinta
Gelita
telah turun melata
menyorokkan kelopak jelita
dari pandangan mata
tapi tidak berdaya
melenyapkan haruman mawar
yang mengisyaratkan cinta
sentiasa bernyawa.
Puisi “Akal Tak Berupaya Menghadapi Cinta” membentangkan sebuah perbandingan makna antara akal dan cinta. Jika dibaca dengan pemahaman biasa, pasti khalayak akan gagal membezakan antara akal dan cinta. Insan yang berakal belum tentu mengenali Tuhan kerana akal sering kali “memburu laba”, “derhaka” dan “mencari sebab” semasa berada di dunia. Namun kecintaan seorang hamba kepada pencipta-Nya akan melahirkan insan yang menjaga tingkah laku dan perbuatan (“menjaga rasa”), sabar (“mengeram setia”) walaupun diuji cabar, insaf (“menyerap akibat”) atas perbuatan yang berlaku dan mengenal Tuhan dalam iman yang kental. Justeru, dalam puisi ini Abizai mendidik jiwa khalayak agar lebih mencintai Tuhan daripada memahami kewujudan-Nya secara logika semata.
Akal Tak Berupaya Menghadapi Cinta
Akal tak berdaya
di hadapan ungkapan cinta
- Rumi.
Akal tak berupaya
menghadapi cinta
dalam pertarungan setara.
Aku selalu memburu laba
cinta sentiasa menjaga rasa.
Akal mudah menetas derhaka
cinta lama mengeram setia.
Akal pasti mencari sebab
cinta reda menyerap akibat.
Akal terhad kepada segi empat logika
cinta menembusi kabus luar biasa.
Akal tidak berdaya
mengenali Dia,
hanya cinta.
Dalam puisi “Mengenal Laut”, Abizai menggunakan simbol anak penyu sebagai gambaran bahawa asal manusia dari syurga dan pantai ibarat dunia tempat kita dilahirkan. Perkara ini dapat diperhatikan pada frasa “tempat leluhur wujud” yang merujuk kepada syurga. Namun kecintaan manusia kepada dunia yang dimetaforakan sebagai “jelita daratan”, telah menyebabkan manusia kecundang digoda oleh bisikan iblis yang menyesatkan. Justeru, untuk kembali ke tempat leluhur, manusia harus berhati-hati merintis jalan kehidupan yang penuh uji dan cabar agar selamat sampai ke iaitu syurga yang kekal abadi.
Mengenal Laut
Cuma sedikit anak penyu
sempat mengenal laut
tempat leluhur wujud
kerana terleka oleh jelita daratan
sehingga kecundang kaku
dicengkam kuku burung
dan taring anjing
yang lama mengintai
di rusuk pantai.
Hanya yang tajam
menghidu asin laut
dan mengukur pasang surut
akan sampai ke dasar hidup.
Pengucapan puisi bercitra Islamik atau ketuhanan sememangnya semakin menebal dalam jiwa Abizai. Rasa kehambaan dan kekerdilan diri mendorong penghasilan puisi-puisi yang mengesakan dan membesarkan Allah SWT. Dalam puisi “Tiada Tanpa Dia”, Abizai mengesakan kewujudan Allah SWT. Kesemua fenomena alam yang berlaku di atas muka bumi ini adalah atas kehendak dan izin-Nya. Misalnya, “cahaya sampai ke lantai dunia”; “embun menitik jernih”; “buah menjelma tanpa Dia di putik bunga” dan “gelita berhenti tanpa Dia menyalakan matahari”. Hal ini bermaksud tanpa “Dia”, iaitu Allah SWT, semua kejadian alam ini tidak akan terjadi. Di sinilah kita dapat melihat betapa halusnya pemerhatian Abizai terhadap setiap kejadian alam yang diciptakan oleh Allah SWT.
Tiada Tanpa Dia
Tiada cahaya
sampai ke lantai dunia
kecuali kunampak Dia
ada bersama.
Tiada embun
menitik jernih
melainkan kupandang Dia
ada di dalamnya.
Tiada buah menjelma
tanpa Dia di putik bunga.
Tiada gelita berhenti
tanpa Dia menyalakan matahari.
Dia ada
di pangkal mula
Dia kekal
di hujung segala.
Selain itu, puisi “Pemabuk Nan Terkutuk” membawa makna yang cukup berbeza daripada tanggapan makna biasa. Pembaca yang hanya membaca tajuk atau tidak mendalami makna di sebalik diksi puisi ini, pasti tidak dapat menemui falsafah dan pemikiran besar yang terkandung di dalamnya. Puisi ini bukan berkisar tentang pemabuk minuman keras atau pil khayal seperti yang dinyatakan pada rangkap kedua. ‘Pemabuk’ dalam puisi ini dirujuk sebagai insan yang ‘asyik’ atau ‘kasih’ kepada pencipta-Nya. Hamba yang merindui pencipta-Nya, sanggup dikutuk sebagai pemabuk atau orang tidak waras, asalkan dia sentiasa dekat dalam mengingati Allah SWT. Pada sisi yang lain, Abizai secara sinis menyindir insan yang berakal waras, namun mudah melupakan nikmat (“manfaat dan bekas”) yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.
Pemabuk Nan Terkutuk
Aku renyuk dikutuk
kerana menjadi pemabuk
asyik memuja Yang Terelok
dalam bersuluh atau gelap
dalam riuh atau senyap.
Mengapakah pula
tidak kaurejamkan kecam
pada si penelan arak masam
dan pil khayal di kelab malam?
Tetap relaku dikutuk
sebagai pemabuk
asalkan sentiasa mengenang
Yang Tersayang
daripada ditandakan waras
tetapi melupakan pemberi tunggal
manfaat dan bekas.
Puisi “Terima Kasih” tampak mudah dan ringkas. Walaupun begitu, makna yang terbina di dalamnya membawa erti dan nilai yang cukup besar. Penyair menyarankan kita berterima kasih kepada peminta sedekah. Mengapa begitu? Kerana peminta sedekahlah yang mendekatkan kita dengan nilai pemurah yang mungkin tidak ditemui dalam kehidupan kita yang mewah. Manakala berterima kasih kepada sang kurang ajar, mengajarkan kita erti kesabaran dalam berdepan dengan sikap dan perlakuan manusia yang pelbagai. Penekanan kepada nilai pemurah dan sabar merupakan asas utama yang menunjangi puisi ini. Beginilah cara penyair mendidik jiwa nurani khalayak, agar menilai sesuatu yang berlaku dari sudut pandang mata burung dan bukannya mata tempurung.
Terima kasih
Terima kasih
si peminta sedekah
tanpa rayuanmu nan menganga
tak kutemui mutiara pemurah.
Terima kasih
sang kurang ajar
tanpa kocak tingkahmu yang liar
tidak kujejaki dasar sabar.
Puisi seterusnya berjudul “Di Luar Istana”, hadir dalam empat rangkap yang diakhiri dengan rima yang sama. Bentuk sebegini meninggalkan suatu penyampaian susunan kata yang sedap dan lunak. Namun di sebalik kelunakan alunan irama puisi ini, ia membawa makna yang cukup besar dalam memahami hakikat manusia yang berada di luar istana. Sebagai seorang hamba (“manusia”) yang ingin menemui Raja, (“Pencipta”) perlu menjaga segala lisan dan perbuatan. Kesombongan dan keangkuhan yang bertakhta di hati, akan menjauhkan kita daripada Allah SWT. Justeru, jadilah hamba yang sentiasa merendah diri dan perlakuan, sekiranya ingin menjejakkan kaki di “kamar Raja” (syurga) yang dihajati.
Di Luar Istana
Ketika masih di kawasan pagar
celupar bicaramu mulai liar.
Belum pun sampai di hadapan pintu
ujubmu menetas di sarang kalbu.
Tiada kaubawa resam hamba
fakir dan hina mengharap cinta.
Tidak mungkin kautemui kamar Raja
di luar istana, hasratmu sia-sia berbunga.
Dalam puisi “Hujan dan Penyair”, Abizai berkongsi pengalaman peribadinya dalam menghasilkan puisi. Benar, penyair seperti Abizai tidak banyak bicara, namun kata-katanya menjalar membuahkan makna. Dalam puisi tersebut, Abizai menegaskan betapa pentingnya puisi kepada kehidupan manusiawi. Perhatikan pada bait-bait “Penyair/yang membiak kata-kata/tiada pernah menyangka/diksinya menjadi seperti hujan/di kalbu kontang seorang insan/mereda dahaga rasa/pada keindahan bahasa dan makna/kerana kehalusan puisi/meresap secara misteri”. Daripada susunan kata-kata di atas, jelas bahawa puisi mengandungi mesej yang boleh memberi inspirasi dan motivasi kepada khalayak pembaca.
Hujan dan Penyair
Hujan
tak mengenal bentuk pohon
nan berdaun kuning
dan beranting kering
tetap ia menjirus tulus
menghapus rakus haus
kerana kejernihan cinta
tidak memandang nama dan rupa.
Penyair
yang membiak kata-kata
tiada pernah menyangka
diksinya menjadi seperti hujan
di kalbu kontang seorang insan
mereda dahaga rasa
pada keindahan bahasa dan makna
kerana kehausan puisi
meresap secara misteri.
Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa kumpulan puisi ke-11 Abizai ini memberikan pengalaman dan pengetahuan berharga kepada khalayak pembaca. Keindahan bait-bait katanya memberikan kepuasan estetika serta menanjak tingkat keintelektualan minda. Manakala nilai-nilai kemanusiaan yang diangkat dalam puisi ini, berupaya menyuntik kesedaran yang bermanfaat. Pembaca juga pasti menemui titik-titik keinsafan dan pengukuhan keimanan ketika membaca puisi-puisi ketuhanan yang menggunakan unsur alam sebagai perlambangan. Begitulah hebatnya takat kepengarangan Abizai dalam usahanya menenun kata menjadi diksi yang sarat erti.

