Anda di sini

Pembuat sigar, pakaian tradisi etnik Sabah disaran tubuh koperasi

Advertisement
 Ewon merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta yang mengikuti kursus yang diadakan di Kg Buayan.
ALBUM: Ewon merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta yang mengikuti kursus yang diadakan di Kg Buayan.



PENAMPANG: Sigar atau pakaian tradisional masyarakat momogun Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) boleh dijadikan produk usahawan luar bandar untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Sehubungan itu Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang mengalu-alukan pembuat sigar atau pakaian tradisional etnik Sabah menubuhkan koperasi.


“Saya melihat produk inovasi Sigar boleh dijadikan sebahagian daripada aktiviti keusahawanan penduduk tempatan.

 
“Oleh itu saya mengalu-alukan penduduk Kampung Buayan atau kampung-kampung lain yang mengusahakan inovasi sigar atau pakaian tradisi menubuhkan koperasi pakaian tradisional bukan hanya KDM tetapi etnik-etnik lain di Sabah, kerana ia mendapat sambutan amat menggalakkan terutamanya pada bulan Mei setiap tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Membuat Sigar Inovasi anjuran Program Bahasa Kadazandusun, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Kg Buayan, di sini, semalam.


Ewon berharap pembuat sigar dan baju tradisi etnik-etnik Sabah dapat menyahut cabaran menubuhkan koperasi bagi memudahkan kementerian menyalurkan pembiayaan yang bersesuaian.


Sementara itu Pengarah Program yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI Dr Rosliah Kiting berkata, kursus itu bertujuan membantu melestarikan khazanah pembuatan sigar sebagai warisan bangsa.


Selain itu katanya, ia juga membantu memperkaya penghasilan kraftangan dalam kalangan penduduk yang boleh dijadikan sebagai produk keusahawanan.


“Sigar merupakan salah satu pelengkap pakaian tradisi beberapa etnik Sabah untuk kaum lelaki, namun budaya ini semakin luntur kerana kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan pelengkap pakaian ini semakin luntur.


“Selain itu, harga untuk satu sigar mencapai ratusan ringgit juga antara sebab ramai individu tidak mampu memiliki sigar,” katanya.
Rosliah berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakannya di 37 buah kampung di Tuaran, hanya 11 kampung mempunyai penduduk memiliki sigar.


“Oleh itu timbul idea saya untuk menganjurkan kursus seumpama ini. Sehingga kini kita telah melatih lebih 2,000 pembuat sigar di seluruh Sabah.


“Kita juga mendapati pemilikan sigar dalam kalangan etnik Sabah kurang daripada sepuluh peratus. Sehubungan itu kursus ini amat penting untuk membimbing masyarakat membuat sigar dengan kos yang murah dan mampu dimiliki semua lapisan masyarakat,” katanya sambil memberitahu kursus yang diadakan itu disertai kira-kira 45 orang peserta.

  • oleh
  • Advertisement