Anda di sini

Menelusuri Perjuangan Karyawan melalui Sejarah Persatuan Penulis di Sarawak 

Advertisement
 

Oleh: Mohamad Faizal bin Jamil

JIKA kita telusuri di negara-negara maju, bidang sastera merupakan komponen penting untuk mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai-nilai insaniah. Kehebatan dalam industri tidak sesekali meminggirkan kesusasteraan, malah diperhebat kerana inilah faktor yang menyuntik pertimbangan kemanusiaan. Kesusasteraan tidak pernah dipandang sebagai bidang kelas dua atau tiga kerana pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu membangunkan hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan. Lalu sastera mendapat tempat yang penting dalam laras pembangunan sesebuah masyarakat dan negara maju.
Di negara kita, golongan penulis bahasa dan sastera masih kurang diberi tumpuan. Sedangkan, kedudukan bahasa Melayu yang tinggi dengan sendirinya akan mengangkat kesusasteraan Melayu. Masalah yang dihadapi oleh golongan sasterawan dan penulis bukan sahaja dari segi kekangan peruntukan kewangan tetapi pendirian kerajaan dan masyarakat terhadap bahasa Melayu yang dilihat agak goyah. Pengajaran mata pelajaran sastera Melayu di sekolah-sekolah terus menjadi polemik dan sehingga kini masih tiada pelan tindakan yang benar-benar meyakinkan bagi membolehkan sastera Melayu benar-benar meresap di jiwa generasi baharu.
    Kesusasteraan Melayu di Sarawak mula bertapak apabila terbitnya Hikayat Panglima Nikosa karangan Ahmad Shawal Abdul Hamid pada tahun 1876. Karya ini membuktikan bahawa sejarah sastera sudah lama wujud di Sarawak. Di sebalik pembinaan dan pengembangan sastera di Sarawak, sebenarnya telah banyak usaha dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, terutamanya dengan tertubuhnya DBP Cawangan Sarawak (DBPSAR) pada 1 Januari 1977. Sejak ditubuhkan, DBPSAR banyak memainkan peranan yang penting, di samping kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada persatuan-persatuan sastera untuk menghidupkan dan memugar kembali bidang bahasa dan sastera di Sarawak. Dalam usaha DBPSAR untuk merealisasikan matlamat tersebut, peranan persatuan penulis amatlah diperlukan. Persatuan penulis bukan sahaja perlu memberi perhatian terhadap bidang penulisan kreatif yang dinaungi, bahkan turut bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dunia mereka dalam semua aspek. Selain itu, persatuan-persatuan penulis juga harus proaktif dalam usaha memasyarakatkan kesusasteraan dan penulisan. Setidak-tidaknya, memperjuangkan nasib golongan itu sendiri daripada kerenah dan penyakit dalam dunia sastera tempatan.
    Di Sarawak, kewujudan persatuan-persatuan penulis sebenarnya sudah bermula sejak tahun 1960-an lagi bagi memantapkan citra kesusasteraan di negeri ini. Kesedaran golongan penulis yang ingin membentuk sebuah organisasi kepengarangan di samping memperjuangkan bahasa Melayu telah membawa kepada penubuhan Angkatan Sasterawan Sarawak (ANSSAR) pada tahun 1962, ekoran daripada penubuhan Persatuan Penulis Nasional (PENA) di Semenanjung Malaysia pada tahun 1961. Ketika itu, ANSSAR yang dipelopori oleh Abdul Taib Mahmud, seorang peguam muda (sekarang TYT Negeri Sarawak) yang berminat dalam kegiatan seni (bangsawan) dan berpusat di Kuching telah melaksanakan kegiatan mereka melalui sebuah rancangan mingguan terbitan Radio Sarawak. Antara penulis Sarawak yang menganggotai ANSSAR ketika itu ialah Kaderi Wai, Hanis Mahli, Mortada Haji Daud dan Dayang Sabtuyah. Penubuhannya adalah ketika suasana semangat politik memuncak apabila timbul usaha untuk memerdekakan Sarawak melalui penubuhan Malaysia. Namun kewujudan ANSSAR amat singkat, malah telah terkubur sebelum sempat didaftarkan sebagai sebuah persatuan yang sah. Mungkin faktor kurangnya ahli yang berpengalaman dan berwibawa dalam bidang bahasa dan sastera menyebabkan ANSSAR berkubur.
    Selepas hampir sepuluh tahun terpadamnya obor ANSSAR, kebanyakan penulis Sarawak ketika itu seolah-olah hilang arah. Mereka tidak tahu hendak ke mana dan bagaimana bidang yang mereka ceburi itu dapat memberi sumbangan dalam mengisi erti kemerdekaan negeri mereka. Tema karya yang dihasilkan oleh penulis pada ketika itu terlalu ringan dan remeh. Namun mereka mendapat sekali lagi suntikan semangat apabila tertubuhnya Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) pada 23 Oktober 1970. Sebuah lagi persatuan penulis ditubuhkan, iaitu Persatuan Bahasa dan Sastera Malaysia Sarawak (PEBAS) bagi mengatur hala tuju penulis Sarawak yang sekian lama dahagakan sebuah persatuan yang diharapkan dapat menghidupkan kembali semangat bahasa dan sastera di Sarawak. Antara lain matlamat penubuhan PEBAS ialah membuat penyelidikan tentang bahasa dan sastera; menganjurkan kegiatan sastera; meningkatkan mutu bahasa dan sastera melalui penulisan; dan mengeratkan hubungan antara penulis di Sarawak. 
Pada masa yang sama timbul khabar angin untuk menubuhkan sebuah lagi persatuan bagi menyaingi PEBAS, iaitu Angkatan Sasterawan Sarawak (ASAS). Penubuhan ASAS yang bakal diterajui oleh Bung Basri Ismail, bekas editor mingguan Sinar Jakarta dan Harian Waspada Medan, sebenarnya usaha untuk menghidupkan semula ANSSAR yang telah terkubur pada tahun 1962. Mereka menganggap penubuhan PEBAS merupakan saingan terhadap perjuangan ANSSAR terdahulu. Penubuhan ASAS dikatakan akan lebih menekankan soal kualiti sesebuah karya daripada soal kuantiti. Sebagai menyahut cabaran, dengan penubuhan ASAS nanti, sebuah majalah yang dinamakan Pancanada telah dirancang penerbitannya bagi menggalakkan dan menjadi media untuk membimbing penulis-penulis Sarawak berkarya sehingga diterima ke peringkat nasional. Selepas mengutarakan rancangan tersebut, ternyata tiada tindakan yang diambil untuk menubuhkan ASAS seperti yang digembar-gemburkan sebelum itu. Sedangkan PEBAS dilihat lebih dominan dalam memperjuangkan bahasa dan sastera di Sarawak kerana telah diterima menjadi kerabat GAPENA sebagai wakil persatuan penulis dari Sarawak. Rentetan daripada cabaran ASAS, PEBAS telah berusaha melebarkan sayapnya dengan membuka beberapa cawangan di peringkat bahagian dan daerah. Hal ini sekali gus menggambarkan bahawa PEBAS bertanggungjawab secara langsung terhadap penentuan masa depan kesusasteraan di Sarawak ketika itu.
    Walau bagaimanapun, nasib PEBAS saban tahun semakin malap dengan bertukarnya beberapa pucuk pimpinan. PEBAS akhirnya ‘mendiamkan diri’ pada tahun 1975. Ramai ahlinya mula meninggalkan badan tersebut, bahkan ada segelintir yang cuba membentuk persatuan penulis baharu sesuai dengan suasana zaman ketika itu. Kegiatan kesusasteraan di Sarawak hampir kembali mengalami zaman gelapnya pada pertengahan tahun 1970-an. Walau apa pun pandangan umum tentang PEBAS, namun sejarah telah membuktikan bahawa badan tersebut merupakan pelopor yang memainkan peranan dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera di Sarawak. Banyak kegiatan bahasa dan sastera berjaya dianjurkan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
    Sekitar tahun 1980-an pula menyaksikan beberapa orang penulis bersama-sama Sazali Mohammad berusaha untuk menubuhkan sebuah kelab bagi menghidupkan kembali kegiatan bahasa dan sastera di Sarawak setelah terkuburnya PEBAS. Penubuhan kelab ini adalah untuk mendidik dan menyebarluaskan fahaman kesusasteraan dalam kalangan pelajar sekolah menengah sebagai pelapis dan bakal peneraju dalam badan-badan penulis di Sarawak. Kegiatan awal kelab ini lebih bertumpu di kediaman Sazali Mohammad di Kampung Gita dan Saiee Driss di Jalan Dagok Timur. Kegiatan kelab ini pada awalnya dikenali sebagai Keluarga Diskusi Sastera dan kemudian Kelab Studi Bahasa dan Sastera. Kegiatannya lebih cenderung kepada kritikan karya dan bedah karya dalam kalangan ahli di samping membincangkan mata pelajaran kesusasteraan Melayu untuk pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab kelab ini tidak berdaftar, ia mengambil jalan untuk bernaung di bawah Unit Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Kampung Gita.

 

    Penubuhan DBPSAR pada tahun 1977 seolah-olah satu rahmat bagi kelab ini apabila semua kegiatan dan pergerakan mereka seboleh yang mungkin dilaksanakan seiring dengan kegiatan DBPSAR melalui kerjasama penganjuran. Mereka percaya bahawa kelab ini boleh berdiri dengan sendiri di bawah naungan DBPSAR melalui penubuhan sebuah persatuan yang dinamakan sebagai Angkatan Karya Sarawak (AKSARA). Usaha ini akhirnya membuahkan hasil apabila kelab ini berjaya menganjurkan satu siri pembacaan puisi secara terbuka (Malam Berbunga Puisi 1 dan 2) yang diterajui oleh Abdillah SM pada tahun 1977 dan 1978. Dalam diam, rupa-rupanya ramai penulis dan peminat sastera di Sarawak tertarik dengan program yang dianjurkan oleh AKSARA. Akhirnya semangat penulis-penulis dan penggiat bahasa dan sastera di Sarawak kembali berputik. Malah karya-karya mereka berjaya menembusi ruang penerbitan di Semenanjung Malaysia melalui majalah Dewan Sastera. Pada tahun 1979, akhirnya impian untuk menubuhkan sebuah persatuan menjadi kenyataan apabila tertubuhnya Angkatan Sastera Sarawak (AKS), iaitu singkatan bagi Angkatan Penulis dan Karyawan Sastera Malaysia, Sarawak. Kehadiran persatuan ini sebagai mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh PEBAS sebelum ini di Kuching. Walau bagaimanapun, kemunculan AKS menimbulkan senario politik sastera yang menjurus kepada perkembangan baharu dalam bidang bahasa dan sastera. Disusuli pula oleh lahirnya Grup Teater Karya yang memperjuangkan genre drama/teater yang diterajui oleh Abdillah SM sendiri. Manakala Rumpun Seni Drama Sarawak (RUSDA) yang diketuai oleh Adi Badiozaman Tuah juga memainkan peranan yang sama untuk mengangkat seni drama/teater di Sarawak. 
Pada masa yang sama, iaitu pada 7 Julai 1979 bertempat di Kelab Shell, Lutong, Miri (kemudian didaftarkan secara rasmi pada 4 April 1980), beberapa orang penulis dari utara Sarawak telah menubuhkan Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Pengasas utama dan orang yang paling penting dalam mengilhamkan kelahiran PUTERA ialah Jeli Bohari Biha, iaitu mantan orang kuat PEBAS suatu ketika dahulu. PUTERA ditubuhkan sebagai mewujudkan sebuah badan penulis yang bakal menjadi pusat penggemblengan tenaga dan minda bagi merancang dan melaksanakan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan di wilayah utara Sarawak. Persatuan ini begitu aktif dengan kegiatan bahasa dan sastera yang banyak dianjurkan ketika itu  bagi mengetengahkan bakat-bakat penulis di Sarawak.
Penglibatan dan bantuan DBPSAR juga merupakan kelebihan kepada persatuan penulis di negeri ini melalui kerjasama penganjuran kursus dan bengkel penulisan. Perancangan yang teratur dalam usaha pembinaan dan pengembangan sastera oleh DBPSAR telah berjaya melahirkan ramai penulis angkatan baharu ketika itu. Dengan penubuhan “Sudut Penulis” di pejabat DBPSAR dalam tahun 1980, para penulis tidak perlu lagi menggunakan balai raya kampung atau ruang tamu rumah kediaman masing-masing untuk menggerakkan kegiatan bahasa dan sastera mereka.
    Perkembangan yang menggalakkan yang ditunjukkan oleh AKS, PUTERA dan mantan ahli PEBAS telah menarik perhatian penulis lain di Sarawak untuk membentuk persatuan sendiri di bahagian dan daerah masing-masing. Angkatan Karyawan Kawasan Tengah (ANGKAT) ditubuhkan pada tahun 1979 di Sibu. Walaupun tidak lagi wujud kerana gagal didaftarkan sebagai sebuah persatuan yang sah, namun ANGKAT pernah menerbitkan buku berjudul Pulau Kelasi terbitan Biro Karya pada tahun 1987. Seni Kreatif Saratok (SAFINA) di Saratok, Badan Anak Seni Sri Aman (BENAK) di Sri Aman, Angkatan Karyawan Limbang (AKAL) di Limbang, KIAS di Sibu, PERMATA di Mukah dan IKATAN di Kuching. 
Dalam kerancakan pertumbuhan persatuan-persatuan penulis ini, dirasakan perlu untuk menubuhkan sebuah badan yang menaungi mereka seperti yang dilakukan oleh GAPENA di Semenanjung Malaysia. Pada tahun 1982, sebuah badan yang menggabungkan persatuan penulis Sarawak ditubuhkan dengan nama Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS) bagi menyatupadukan penulis-penulis Sarawak, mempertahankan dan memperjuangkan kebajikan dan kepentingan penulis, memberikan sumbangan moral dan material secara positif kepada penulis, dan mencari ruang dan peluang untuk penulis Sarawak memajukan bakat mereka dalam bidang bahasa dan sastera. Kewujudan GPPS sebagai badan induk yang menaungi persatuan penulis di Sarawak dengan bantuan dan kerjasama yang disalurkan oleh DBPSAR telah berjaya menganjurkan kegiatan-kegiatan sastera yang bersifat kebangsaan. Pada masa yang sama, GPPS juga merancang untuk menubuhkan Gabungan Persatuan Anak Seni Kenyalang (GANEKA), iaitu sebuah persatuan yang akan menggabungkan semua persatuan anak seni di Sarawak.
    Ketika semangat untuk memartabatkan bahasa Melayu di Sarawak sedang berkobar-kobar, penulis-penulis dan pemerhati dunia sastera di Sarawak dikejutkan oleh pelancaran sebuah lagi persatuan yang menggelarkan diri mereka sebagai The Sarawak Literary Society (SLS) yang kemudiannya dikenali sebagai Persatuan Kesusasteraan Sarawak (PKS) pada tahun 1981. Penubuhan persatuan ini antara lainnya adalah untuk menyaingi kesusasteraan Melayu dengan penulisan yang lebih berat kepada karya-karya dalam bahasa Inggeris pada awalnya. Polemik demi polemik telah ditimbulkan oleh persatuan ini, terutamanya dalam bidang sastera bagi menyemarakkan lagi kegiatan sastera Melayu di Sarawak. Beberapa tahun selepas itu, PKS memperkenalkan “Bahasa Melayu Wing” yang bertujuan untuk menimbulkan dan mewujudkan kesedaran dan penghargaan terhadap kesusasteraan dan sejarah warisan di Sarawak, dan untuk menggalakkan perkembangan bakat kesusasteraan dalam kalangan generasi hari ini. PKS dianggotai oleh pegawai kanan kerajaan dengan presidennya Yang Berhormat Datuk Amar Abang Haji Yusuf Puteh. Dengan wujudnya PKS ini, masa depan kesusasteraan di Sarawak semakin terjamin.
    Namun menjelang tahun 2000, semua persatuan yang pernah didaftarkan sekitar tahun 1970-an menyusuli nasib yang sama dengan PEBAS, termasuklah GPPS. Antara kejayaan besar GPPS ialah penganjuran Hari Puisi Nasional ke-9 di Sematan, Sarawak pada tahun 1984, dan menerbitkan banyak buku hasil karya penulis Sarawak. Sayangnya GPPS hanya dapat bertahan sehingga pertengahan dekad 1990-an.
    Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Begitulah resam dunia berpersatuan. Sehingga kini, beberapa buah persatuan penulis baharu telah muncul. Kebangkitan beberapa buah persatuan penulis di Sarawak sebenarnya merupakan satu perkembangan yang sihat dalam dunia kebahasaan dan kesusasteraan, dan bukannya satu gambaran perpecahan. Ada persatuan yang dianggap baharu mampu bertahan lebih daripada 10 tahun sehingga kini seperti Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) yang diterajui oleh Ja’afar Haji Hamdan. Malah PEKASA berjaya melebarkan sayapnya dengan tertubuhnya cawangan di Sri Aman, Sarikei dan Sibu seperti yang pernah dilakukan oleh PEBAS suatu ketika dahulu. 
Penubuhan PEKASA merupakan kesinambungan daripada persatuan-persatuan penulis yang pernah wujud di Sarawak sebelum ini. Timbul kesedaran beberapa orang karyawan tentang perlunya kegiatan dan gerakan secara kolektif dalam hal-hal penting yang melibatkan penulis, penulisan dan kesusasteraan. Maka pada 27 Mei 2004 di Balai Budaya DBPSAR, telah diadakan pertemuan dalam kalangan karyawan yang sebulat suara bersetuju menubuhkan PEKASA sebagai penjelmaan cita-cita dan sikap penulis Sarawak. 
Hanya pada 21 Julai 2005 (ditubuhkan pada tahun 2004), PEKASA akhirnya merealisasikan impiannya menjadi sebuah entiti tersendiri apabila didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 sebagai sebuah persatuan penulis yang sah. Keanggotaan PEKASA bukan hanya dalam kalangan penulis malah merangkumi karyawan filem atau drama, penyair, budayawan, ilmuwan, aktivis bahasa dan sastera, pendidik dan masyarakat awam yang meminati bidang bahasa dan sastera.
Dalam perkembangan yang lain, PUTERA dilihat sebagai sebuah persatuan yang cukup berpengalaman dan berjaya mengharungi pahit manis dunia sastera di Sarawak. Lebih menarik, PUTERA (tahun 1980) masih lagi bertahan sehingga ke saat ini. Saban tahun mereka berusaha menganjurkan kegiatan sastera sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Semangat ini turut dikongsi oleh persatuan lain seperti Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) yang diterajui oleh Awang Zaidel Awang Jamil, Medan Teater Sarawak (MANTERA) yang diterajui oleh Abdillah Untong, Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA) yang diketuai oleh Benyamin Matussin, Kelab Penggiat Sastera Sarikei (KEPESSA) yang diketuai oleh Radzemah Bolhassan dan Warisan Budaya Mukah (WARISMU) di Mukah.
Sejujurnya, kita harus menerima bahawa PUTERA merupakan sebuah persatuan yang cukup berjaya di Sarawak. PEKASA dan persatuan penulis yang lain cukup menghormati perjuangan mereka, bahkan menganggapnya sebagai ‘abang sulung’ dalam persatuan. PEKASA dan persatuan penulis yang lain hanya adik bongsu yang masih mencari jejak-jejak kelangsungan itu sejak penubuhannya. Tidak dinafikan, persatuan penulis yang lain mengadaptasi usaha dan perjuangan daripada mereka. Kebetulan PUTERA dan PEKASA menjadi kerabat GAPENA, jadi tidak ada masalah untuk "bersatu" dalam sebarang kegiatan.
Persatuan penulis di Sarawak wujud bukan untuk menyaingi PUTERA tetapi berhasrat mewujudkan ikatan dalam kalangan karyawan di Sarawak. Persatuan hanya menjadi medan untuk karyawan bertukar-tukar fikiran, merencanakan kegiatan yang bernas dan bertindak mengikut lunas yang sewajarnya. Bahkan PUTERA mampu bersama-sama dengan pihak lain dalam mengadakan apa-apa juga kegiatan selagi kegiatan tersebut menjurus ke arah kepentingan bersama, khususnya untuk sastera dan bahasa Melayu di Sarawak.
Semahunya, persatuan-persatuan penulis yang masih lagi wujud janganlah dilihat sebagai bayangan persatuan yang ada sebelum ini seperti ANSSAR, PEBAS dan GPPS, tetapi hendaklah dipandang sebagai ruang untuk memulakan sesuatu yang baharu dan lebih bermakna. Jangan jadikan kegagalan dahulu sebagai dorongan untuk membuktikan bahawa persatuan penulis kini turut juga gagal dalam usahanya. Sebaliknya persatuan-persatuan penulis inilah sebagai citra bahasa dan sastera bagi mengembalikan zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Justeru itu, sewajarnya sering diingat, sikap istiqamah para penulis dan sasterawan dalam membangunkan negara bangsa dan menuju sebuah negara maju yang beracuankan jati diri sendiri haruslah dikekalkan kerana penglibatan secara sinergi antara pihak kerajaan, swasta, persatuan penulis dan golongan penulis bakal membentuk sebuah negara maju yang tinggi kemanusiaannya dan kuat akar jati dirinya.

 
 
Advertisement