Anda di sini

Festival Muzik, Tarian Rakyat Dataran Tinggi pada 27-29 April

Advertisement
Dennis (dua kiri) ditemui pemberita menerangkan tentang festival berkenaan petang tadi.
Dennis (dua kiri) ditemui pemberita menerangkan tentang festival berkenaan petang tadi.

MIRI: Festival Muzik dan Tarian Rakyat Dataran Tinggi Sarawak Long Bedian kembali lagi pada 27 hingga 29 April ini. 

Aktiviti kali kelima ini akan diadakan di Dewan Serba Guna Kampung Long Bedian, Apoh, Tutoh, Baram.

Ia diadakan bermula 2003, diteruskan pada 2012, 2016 dan 2018. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan yang juga penasihat festival itu, Dennis Ngau berkata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah akan hadir merasmikan festival tersebut pada 29 April ini dan dijadualkan tiba jam 10 pagi.

"Pada kali terakhir festival diadakan pada 2018 kehadiran adalah sangat menggalakkan. Kita mahu membuat lebih baik pada tahun ini," katanya. 

Festival adalah bagi menghidupkan semula dan memperkenalkan penggunaan alat-alat muzik dan tarian tradisional pelbagai suku kaum di Sarawak. 

Selain menggalakkan penduduk tempatan dan pelancong datang ke daerah kecil Long Bedian, festival turut menarik perhatian dan minat golongan muda untuk mempelajari, menghayati dan bermain alat-alat muzik dan tarian tradisional. 

Dennis berkata, penganjuran festival melibatkan kerjasama Pejabat Daerah Telang Usan, Pejabat Daerah Kecil Long Bedian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Bedian.

Ia juga melibatkan rakan kongsi dan strategik iaitu Kementerian Pelancongan, Pusat Khidmat DUN Telang Usan, Pejabat Residen Bahagian Miri, Lembaga Pelancongan Sarawak, Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM), Majlis Kraf Sarawak, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Telang Usan, Persatuan Sosial dan Kebajikan Malaysia Long Bedian dan Persatuan Belayen Bedian. 

Menurut Dennis, pengangkutan utama ke Long Bedian menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Miri ke Long Lama dan ke Long Bedian mengambil masa perjalanan lebih tiga jam.

Untuk ke Long Bedian dari Long Lama, pemandu melalui jalan konkrit dan balak. 
 

  • oleh
  • Advertisement