Anda di sini

TEKUN salur RM8.3 bilion pembiayaan mikro sejak 1998 hingga Mac tahun ini: Saraswathy

Advertisement
Saraswathy (tengah) bergambar bersama para penerima bantuan Usahawan Tekun pada majlis Perasmian Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak 2023 @ Jualan Ambang Aidilfitri Daerah Muallim di Majlis Daerah Tanjong Malim hari ini. - Gambar Bernama
Saraswathy (tengah) bergambar bersama para penerima bantuan Usahawan Tekun pada majlis Perasmian Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak 2023 @ Jualan Ambang Aidilfitri Daerah Muallim di Majlis Daerah Tanjong Malim hari ini. - Gambar Bernama

TANJUNG MALIM: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pinjaman mikro sebanyak RM8. 3 bilion sejak penubuhannya sehingga Mac tahun ini. 

Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) Saraswathy Kandasami berkata pembiayaan itu memanfaatkan 752,177 ushawan melalui 170 cawangannya di seluruh negara. 

"Kerajaan terus komited membantu usahawan negara memgembangkan perniagaan mereka, melalui Tekun bukan hanya pinjaman kewangan disediakan malah juga khidmat nasihat dan jaringan perniagaan," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak 2023@Jualan Ambang Aidilfitri Daerah Mualim di sini hari ini. 

Katanya Tekun Nasional yang ditubuhkan pada 1998 menyediakan pembiayaan daripada RM1,000 sehingga RM200,000 kepada usahawan yang sedang mengembangkan perniagaan mereka. 

Saraswathy berkata untuk Perak pula, Tekun menyalurkan pembiayaan mikro kepada RM546 juta termasuk Skim Pembiayaan Usahawan Masyarkat India (SPUMI) sebanyak RM52. 8 juta telah disalurkan kepada 3,932 usahawan masyarakat India. 

Selain Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), satu lagi agensi di bawah KUSKOP setakat ini telah membantu lebih 300,000 ahlinya yang terdiri daripada usahawan wanita melalui tujuh skim pinjaman serendah RM5,000 sehingga RM30, 000.

Sementara itu, Sarawathy berkata selain modal, kekurangan pengalaman dan tidak nasihat yang tepat juga menjadi antara cabaran usahawan negara ini. 

Justeru KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (Insken) antaranya menyediakan program-program bimbingan dan pembangunan kapasiti keusahawanan bagi meningkatkan hasil jualan produk mereka. 

Malah katanya, bimbingan usahawan juga meliputi trend terkini perniagaan seperti pendigitalan, dropship, e-dagang, bekerja bebas dan perniagaan secara dalam talian. 

"Secara mudahnya, khidmat bimbingan disediakan daripada asas perniagaan hinggalah kepada khidmat bimbingan pemasaran domestik dan pasaran ke luar negara," katanya. - Bernama 

Advertisement