Anda di sini

Rumah terbuka Aidilfitri boleh burukkan lagi isu pembaziran makanan

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Isu pembaziran makanan sepanjang Ramadan kali ini yang diketengahkan oleh operator pelupusan sisa pepejal di Lembah Klang baru-baru ini, dikhuatiri akan berterusan hingga akhir Syawal nanti menerusi penganjuran rumah terbuka bersempena dengan Aidilfitri.

Selepas hampir tiga tahun “berperang” dengan COVID-19, trend rumah terbuka Aidilfitri kali ini dijangka lebih meriah berbanding tahun lepas dengan pelbagai pihak, baik individu, komuniti perumahan, pemimpin kerajaan, agensi kerajaan atau swasta, dilihat akan mengambil peluang menganjurkan acara itu bagi mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang bangsa.

Akan tetapi, kata Naib Presiden II Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Mohammad Amar Masuri, matlamat yang murni itu berpotensi memburukkan lagi isu pembaziran makanan.

“Rakyat Malaysia sangat pemurah, terutama pada bulan Ramadan dan Syawal, apabila masing-masing berlumba-lumba memberi makan kepada orang ramai. Oleh sebab itulah selepas Ramadan, bulan Syawal berada pada tangga kedua dalam konteks pembaziran makanan.

“Berdasarkan pemerhatian, tuan rumah biasanya akan memasak lebih untuk memastikan makanan cukup untuk tetamu. Namun dalam kebanyakan kes, makanan ini tidak habis dan berisiko tinggi dibuang begitu sahaja,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, sepanjang Ramadan, Pemuda GEMA Malaysia menerusi Program MySaveFood, mengumpul lebihan makanan di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan memerlukan, bagi mengurangkan pembaziran makanan.

Namun, program itu belum dipanjangkan ke bulan Syawal disebabkan oleh kekangan petugas, jelasnya.  

PENINGKATAN PEMBAZIRAN MAKANAN

Dalam tempoh tiga minggu pertama Ramadan kali ini, MySaveFood@Ramadan 2023 berjaya “menyelamatkan” keseluruhan 18, 276.89 kilogram (kg) makanan dan minuman berbanding hanya 7,795 kg dalam tempoh sama pada tahun lepas. 

Berdasarkan satu kajian bagi mengenal pasti punca pembaziran makanan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2020, didapati 38.7 peratus responden yang ditemu bual tidak ada keinginan makan juadah yang disediakan, 31.3 peratus menyatakan makanan rosak, 21.1 peratus pula membeli terlalu banyak makanan, 8.3 peratus berkata makanan sudah melebihi tarikh luput dan 0.6 peratus makanan tidak memenuhi selera.  

Menurut operator pelupusan sisa pepejal itu lagi, secara purata, sebuah keluarga yang mempunyai empat orang ahli akan membazirkan 500 hingga 800 gram makanan setiap hari menyebabkan kerugian sebanyak RM210 sebulan dan RM2,600 setahun.

Data SWCorp juga menunjukkan secara keseluruhan, jumlah sisa pepejal yang dilupuskan sepanjang bulan Ramadan meningkat sebanyak 21 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Berdasarkan data pelupusan di 23 tapak pelupusan di tujuh buah negeri yang menerima guna Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, didapati pada 2019 jumlah sisa pepejal yang dilupuskan pada bulan Ramadan ialah sebanyak 208,143.38 tan;  2020 (208,745.51 tan); 2021 (239,988.91) dan 2022 (252,521.35 tan).

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtar berkata pembaziran makanan yang merupakan penyumbang terbesar sisa di tapak pelupusan sampah, tidak hanya berlaku pada bulan Ramadan dan Syawal tetapi pada setiap musim perayaan.

“Data yang dikeluarkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 menunjukkan Malaysia menghasilkan jumlah penjanaan sisa makanan per kapita tertinggi di Asia Tenggara  iaitu 91 kg setahun.

“Di Malaysia, sisa makanan merangkumi 44.5 peratus daripada sisa pepejal lain yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah,” katanya.

KESAN ALAM SEKITAR

Mengulas tentang perkara itu, Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut  Pengajian Sosial, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata jika keadaan tersebut berterusan, Malaysia mungkin berdepan masalah penyediaan tapak pelupusan.

Menurutnya, hal ini disebabkan jangka hayat tapak sedia ada semakin kritikal dengan Johor dan Melaka menghadapi situasi paling serius akibat peningkatan sisa makanan yang mencecah lebih 16,000 tan sehari. 

Tapak pelupusan di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang di Mersing, Johor misalnya, sudah menjangkau usia lebih 25 tahun dan dijangka mampu bertahan selama tiga tahun sahaja lagi. 

Situasi sama turut berlaku di tapak pelupusan sampah Sungai Udang, Melaka, sementara  jangka hayat tapak di Bukit Tagar, Selangor pula dijangka boleh bertahan selama 50 tahun lagi.

Menurut Haliza, isu sisa makanan bukan sahaja menekan tapak pelupusan sampah tetapi turut meningkatkan ancaman kepada alam sekitar menerusi pelepasan gas metana, iaitu sejenis gas rumah hijau yang memberikan kesan lebih teruk terhadap pemanasan bumi berbanding karbon dioksida,

 “Tapak pelupusan menghasilkan gas metana rumah hijau yang 21 kali lebih kuat daripada karbon dioksida, dan  tujuh peratus gas rumah hijau yang terhasil di seluruh dunia adalah disebabkan oleh sisa makanan.

“Situasi berkenaan mengancam alam sekitar, menyebabkan pencemaran, meningkatkan suhu dunia, mitigasi perubahan iklim dan mengganggu pola cuaca seperti hujan yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan bencana seperti banjir,” katanya.

Ujar beliau, kempen menerusi media tradisional dan media sosial semata-mata tidak cukup bagi menangani isu tersebut, sebaliknya pihak berwajib dan berkepentingan perlu turun padang dan menjalankan program dengan lebih agresif.

KENAL PASTI LOKASI AGIHAN  MAKANAN

Dalam pada itu, Mohammad Amar ketika mengulas lanjut tentang risiko pembaziran makanan semasa acara rumah terbuka, menyarankan agar penganjur merancang menu serta jumlah tetamu selain menyajikan makanan yang telah siap dibungkus agar senang dibawa pulang. 

Selain itu, penganjur juga disaran membungkus lebihan makanan untuk diagihkan di kawasan yang telah dikenal pasti.

Pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara Dr Mohd Ali Muhamad Don pula menegaskan kepentingan mengenal pasti lokasi agihan makanan supaya tidak berlaku lambakan makanan kepada golongan yang disasarkan.

Katanya, jika diteliti, sumbangan makanan biasanya ditumpukan di lokaliti tertentu seperti kawasan bandar dan kejiranan terpilih yang menjadi tumpuan golongan seperti gelandangan, menyebabkan berlaku lambakan makanan yang akhirnya turut terbuang begitu sahaja.

“Bagi menangani isu pembaziran, saya berpendapat adalah sebaiknya penyumbang menyelidik dahulu keperluan makanan di sesuatu tempat agar tidak berlaku pertindihan (dengan program serupa pihak lain) selain memastikan lebih ramai yang mendapat manfaat daripada sumbangan tersebut.

“Kawasan kampung dan pedalaman dilihat seolah-olah terpinggir dari segi agihan bantuan makanan ketika Ramadan, sedangkan ada antara mereka yang masih lagi hidup di bawah paras garis kemiskinan,” katanya.

Beliau turut menegur sikap sebahagian umat Islam sendiri yang lebih suka bersedekah makanan sepanjang Ramadan bagi meraih ganjaran pahala berganda, sedangkan ada amal ibadat lain yang boleh dilakukan.

“Ruang bersedekah itu luas, contohnya terdapat sekolah dan madrasah tahfiz yang memerlukan dana untuk pembangunan dan operasi bagi pendidikan ummah, jadi rebutlah peluang tersebut pada Ramadan ini,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement