Anda di sini

Suara Orang Kecil

Advertisement
 

Oleh: Clayton Dawi

PANTANG larang bagi sesetengah orang dianggap sebagai amalan turun-temurun yang harus dipatuhi. Ada pula yang menganggap ia sebagai perkara yang khurafat. Siapa sangka melanggar pantang larang boleh mengundang musibah. 
    “Itu sumpahan kerana kamu melanggar pantang larang!” 
    Dia terdiam dek kerana bentakan suara keras itu serasa hinggap menampar jasad.
    “Bukan sumpahan. Bertahun-tahun kami menanti cahaya mata kunjung tiba. Anak ini anugerah untuk kami,” balasnya dengan tenang sambil mengusap dahi anak kecilnya dengan lembut. 
    “Macam mana dengan masa depan budak tu nanti? Ada fikir?” 
    Dia tidak menjawab. Sebaliknya memusatkan pandangan pada anak lelaki yang baring di dalam buaian dengan penuh rasa kasih sayang. Sesekali, dia mencium kening buah hati pengarang jantungnya diiringi senyuman manis yang menguntum di bibir.
    “Orang berpantang jaga diri. Jaga tingkah laku. Jaga perbuatan. Boleh pula suami kamu patahkan kaki katak untuk dijadikan umpan memancing haruan.”
    Kepercayaan pada unsur-unsur mitos dan tahyul masih menebal dalam kalangan masyarakat di kampung. Wanita mengandung kena jaga pantang larang walau apa-apa pun yang terjadi. Pantang sekali menetak daging ayam, mematahkan kaki katak, melawat orang meninggal dunia dan bercakap yang kurang enak. 
    Banyak lagi sebenarnya pantang larang berkaitan dengan wanita mengandung. Kami tidak mempercayai apa-apa yang berkaitan dengan pantang larang dan mitos. Belum ada bukti saintifik yang membuktikan bahawa kepercayaan tersebut sahih dan benar.
    Sejujurnya terkejut juga dengan keterangan doktor yang mengatakan anak ini didapati mengalami kecacatan fizikal. Ibu bapa mana yang tidak mahu anak lahir sempurna? Bohong andai tiada rasa sedih mengenangkan nasib yang akan digendong anak ini kelak. Perit untuk dikenang. Andai ini rezeki Tuhan, kami terima dengan hati terbuka.
    Sejak dikhabarkan melahirkan anak cacat, aku perasan, aku sekeluarga disisih dan dijauhi oleh masyarakat rumah panjang. Sesungguhnya aku tidak mengerti kenapa mereka bertindak sedemikian rupa. Semacam ada daging yang membusuk di dalam rumah tangga kami. Bau busuk semerbak mengitari seluruh rumah panjang hingga orang-orang memandang kami dengan pandangan yang sinis dan tajam macam mata belati. Kami dipulaukan. Mereka semua ketakutan. Seperti ada penyakit berjangkit dan wabak berbahaya yang kami sebarkan. 
    “Jangan mendekati keluarga itu, nanti anak kau juga lahir cacat.” 
    Sampai ke tahap itu persepsi dan pandangan orang-orang terhadap kami sekeluarga. Persepsi sebegitu yang boleh mematikan rasa simpati dan sifat kemanusiaan sesama manusia. Taasub kepada kepercayaan tradisional hingga menimbulkan kegusaran dan bayangan kegelapan terhadap orang lain. Ada yang percaya bulat-bulat bagai kerbau dicucuk hidung. Ada juga yang menepis dakwaan dan ketaasuban itu dengan fakta dan ketentuan Ilahi.
    Daun pintu dikuak perlahan-lahan. Roda kerusi diputar-putar ke hadapan dengan cermat dan sedikit pantas. Sesekali, Munti teringin menghirup udara segar di luar rumah. Duduk rumah lama-lama pun kadang-kadang membosankan. Tiada teman untuk diajak bicara dan bergurau kerana dia anak tunggal. 
    Ayah dan ibunya awal pagi sudah bergerak ke kebun demi mencari sesuap nasi. Boleh dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun, Munti percaya itu bukan alasan untuk menyerah pada takdir. Takdir bukan Tuhan. Takdir boleh diubah dengan usaha keras. 
    Draf cerpen terbaharu yang bertulisan tangan ditinggalkan di atas meja belajar. Belum diselesaikan sepenuhnya oleh Munti. Cerpen itu masih tersadai pada pertengahan jalan cerita. Namun, kesemua isi cerita sudah disusun rapi oleh Munti di dalam kotak fikiran sasteranya yang membuak-buak untuk berkarya meski dia tidak sempurna seperti insan lain.
    Sudah siap kelak, pastinya dia akan meminta bantuan sepupunya, Burui untuk menaip cerpen tersebut menggunakan komputer riba agar kemas dan menepati syarat Utusan Nasional untuk siaran di ruangan Sastera Kita. Setelah Munti yakin dan percaya dengan cerpen hasil nukilannya sesudah disemak dan dibaca berulang kali, barulah anak kecilnya itu diserahkan kepada Utusan Nasional untuk tahu untung nasib. Sama ada hidup lepas bebas ataupun tersadai di bakul sampah. 
    Suasana di sekitar beranda agak lengang tanpa suara orang. Tidak kedengaran hilai tawa, gurau senda dan borak penghuni rumah panjang ini. Sebelumnya, galak sengoti suasana di luar rumah panjang. Tapi, di rubing rumah panjang kelihatan seteru kanak-kanak sedang bermain catur. Mereka nampaknya fokus bermain sehingga tidak sedar akan kehadiran Munti. 
    “Munti! Munti!” Kedengaran dengan jelas suara orang memekik dari luar rumah. Gegak gempita suara itu berjaya memadam suasana sunyi pagi. 
    Munti yang kebetulan berada di ruang tamu segera memutar kerusi roda ke pintu rumah. Keasyikan menonton rancangan berita di televisyen terus pudar dan lesap. 
    “Kenapa ni Burui? Memekik macam esok sudah tiada lagi,” sahut Munti.
    “Cerpen kau … cerpen kau,” sebut Burui berulang kali tanpa penamat. Tercungap-cungap seperti ikan terdampar di tebing sungai. Nafasnya dihembus laju. Dada dielus-elus, mencari nyawa.
    “Kenapa dengan cerpen aku?”
    Beberapa minggu lepas sebuah cerpen yang pertama kali ditulis telah dihantar ke Utusan Nasional dengan harapan agar disiarkan. Munti bukan sahaja menghantar cerpen dengan harapan agar diterima tetapi dia mengirim cerpen itu dengan menyimpan dan merakam suara dirinya pada cerpen tersebut agar didengari masyarakat umum. Cerpen itu perakam suara kecilnya.
    “Nah, kau tengok akhbar Utusan Nasional hari ini di ruangan Sastera Kita! Cerpen kau tersiar. Tahniah!” Burui menghulurkan akhbar Utusan Nasional yang dibawa bersama kepada Munti dengan penuh rasa bangga dan gembira.
    Dengan pantas Munti mengambil surat khabar daripada tangan Burui. Matanya tertuju kepada ruangan yang dimaksudkan Burui. Tiba-tiba, wajahnya bersinar-sinar. Sejurus itu, terukir senyuman lebar di bibirnya. Munti sungguh gembira. 
    Mentari galak membusur bahang dengan rakus dari langit. Tiada henti-henti lagaknya menjamah tubuh bumi yang berdada bidang. Awan gemawan yang melimpas lalu, sesekali memegat seketika dek panahan matahari. Tambah pilu diusir pawana yang bergerak laju di jumantara. Seakan bersekongkol dengan sang matahari yang gah di cakerawala. 
    Munti bergerak ke beranda rumah panjang dengan bantuan kerusi roda yang didermakan oleh seorang insan berhati mulia. Gerakan kerusi roda terhenti di pagar kayu rumah panjang lima belas pintu itu. Lelaki berketurunan Bidayuh itu membuang pandangan ke kawasan lapang di hadapan rumah panjang. Kawasan lapang yang biasa dijadikan tempat untuk anak-anak rumah panjang melakukan aktiviti riadah dan bersukan. 

 

   Kerusi roda adalah kaki Munti. Pengganti kaki Munti tanpa gagal. Dengan kaki itu, Munti menempuh pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Sarawak. Dia disahkan sebagai orang kurang upaya (fizikal) oleh doktor sejak lahir. Kedua-dua kakinya tidak dapat diluruskan, tiada keupayaan untuk berjalan dan hanya bersila sepanjang masa. 
    Bohong cakap andai Munti tiada rasa teruja untuk menjalani kehidupan seperti kawan-kawan yang sempurna sifat lain. Satu perkara yang dikesalkan oleh Munti selama ini. Sampai ke hari ini, dia masih belum menemui cahaya di hujung terowong. Cahaya masih enggan memunculkan diri. Tangan dia terkapai-kapai bagai orang yang mahu lemas di lubuk sungai yang dalam tanpa dasar.
    Kelihatan penampakan beberapa anak-anak remaja sedang sibuk dan asyik bermain bola sepak di kawasan tanah lapang depan rumah panjang. Tiba-tiba terbit rasa cemburu Munti kepada mereka. Seandainya dia dilahirkan sempurna seperti mereka. Dia hanya mengeluh seraya merenung kaki sehingga bertelau-telau menggigit keselesaan diri dan menjejalkan kenyataan. Wajahnya memberengut dengan bibir yang diketap. 
    Dia menyeluk tangan ke dalam saku seluar pendek. Mencari-cari sesuatu. Tidak berapa lama dia mengeluarkan kad rona ungu anggur. Kad OKU rupanya. Ditatap dengan tajam. Mungkin kerana kepiluan dan kesedihan yang tiba-tiba menyerbu dan menendang kantung emosi sehingga air mata pecah daripada tembok mata. Tertayang jelas di lembung matanya. 
    “Betapa aku sangat berharap supaya ada laluan khas untuk orang seperti aku. Tanjakan. Aku teringin sekali mahu bergerak bebas di kawasan lapang di sana sambil menikmati panorama sekitar kampung,” gumamnya dalam hati.
    Dia teringat pernah sekali membangkitkan usul untuk membina tanjakan bagi orang kurang upaya sepertinya di rumah panjang itu. Sewaktu ngudung di bale namba suatu ketika dulu. Dia bersuara bukan sahaja bagi dirinya namun untuk orang-orang yang senasib dengannya jua. 
    “Saya memerlukan tanjakan.” 
    Munti menyuarakan masalah yang membelenggu diri di hadapan orang-orang tua. Dia membawa semangat berani. Tanpa ragu-ragu lagi. Orang-orang tua berpandangan sesama sendiri. Wajah sedikit mencuka. Dahi berkerut. Masing-masing mereka merenung Munti dengan tatapan tajam.
    “Bina tanjakan mahal. Menelan kos yang tinggi. Kita tidak cukup duit. Buat masa ini tiada keperluan untuk membina tanjakan. Bukan ramai yang OKU di sini,” balas ketua kampung tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang.
    “Keadaan belanjawan kampung kita tenat. Kita harus berjimat cermat terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang”. 
    Kedengaran suara orang menambah hujah ketua kampung. Tegas dan keras. Orang-orang tua yang pura-pura sependapat dan takut untuk digugurkan kedudukan hanya mampu mengangguk dan mengeyakan apa-apa yang diputuskan oleh ketua kampung. 
    Malangnya, barisan kepimpinan kampung sebulat suara menolak usul tersebut. Mereka berkata bahawa usul pembinaan tanjakan berkenaan memakan dana dan kos yang tinggi. Wang dana pembangunan kampung tinggal sedikit dan mustahil untuk menyediakan kemudahan asas kepada golongan OKU. 
    Remaja lelaki berkulit hitam manis itu hanya mampu memandang menekur lantai sambil menggeleng kepala. Andai diturutkan hatinya yang tengah panas membara, mahu saja dia menjerit dan melolong di situ. Memaki dan menghamun. Tetapi, benteng hormat dan patuh kepada orang tua masih menebal dan kukuh dalam diri. Seperkara yang Munti faham. Sukar untuk anjing menyalak bukit. Bukit pasti tidak bergegar dan runtuh dinding egonya.
    Kurang upaya kadangkala disebabkan oleh gaya dan cara masyarakat menanggapi orang kurang upaya. Masyarakat yang tidak mengupayakan orang kurang upaya. Bukan disebabkan oleh ketidakupayaan orang kurang upaya itu sendiri. Model sosial ketidakupayaan berkata benar! Sungguh benar!
    “Oi!”
    Suara keras itu menyapa tiba-tiba dengan hinggapan tamparan tangan di bahu. Munti cepat-cepat menyeka air mata yang mula berguguran. Segera menyembunyikan kegelisahan dan keresahan tersebut. Dia enggan sesiapa pun tahu perasaan sedih yang telah lama bersangkar dan bersarang di dalam diri. Dia melangut memandang wajah sepupunya yang bulat sambil tersenyum kecil. Senyuman yang menyimpan sejuta rasa terpendam.
    “Ada orang mahu berjumpa,” tutur Burui.
    “Siapa?”
    Munti terpempan seketika. Mulut membungkam. Dia diselubungi kehairanan. Mata Burui yang agak sepet ditatap dengan penuh fokus. Lelaki berambut hitam dan agak kerinting itu mengayuh kerusi roda Munti mengarah ke bale namba yang terletak di sebelah kiri rumah panjang.
    Bale namba ialah rumah bagi orang-orang tua dan masyarakat rumah panjang di sini untuk bermesyuarat, menjalankan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Rumah adat yang unik dan berbentuk bulat dengan ketinggian 20 kaki, punya serambi, ruang dalaman yang luas, berdinding kayu papan dan beratap rumbia. 
    Di tengah-tengah bale namba digantung tengkorak manusia hasil daripada amalan berburu kepala sewaktu ketika dahulu. Budaya menyimpan tengkorak kepala manusia ini diwarisi daripada nenek moyang secara turun-temurun. Ia lambang kemegahan dan kepahlawanan orang-orang tua rumah panjang. Simbol kemegahan dan kebanggaan, bukan seperti yang didakwa oleh pengkaji-pengkaji Barat sebagai bahan pameran di galeri semata-mata. 
    Remaja lelaki berambut hitam ikal mayang memasuki pintu masuk utama bale namba dengan penuh rasa debar. Jantung terasa berdegup kencang seperti gong yang dipalu dengan kuat berulang kali. Rasa takut pula bergemeretap menguasai diri. Sekali-sekala menggigil tubuh meskipun suhu bilik tidak sejuk menggigit seperti di kawasan pergunungan. 
    “Dia sudah sampai.”
    Kedengaran jelas suara garau itu berkumandang di bale namba. Bale namba memerangkap gema suara ketua kampung dengan baik, usah dipakai pembesar suara. Bentuk bale namba yang bulat menjadi alat pemantul suara yang bagus. Munti dapat meneka dengan hanya mendengar suara sahaja. Munti masih berteka- teki. Mengapa dirinya dipanggil ke situ. Soalan-soalan menyerang kepala otak sehingga berat dan sakit terasa seperti ribuan jarum peniti yang mencucuk-cucuk dengan ganas.
    Kerusi roda diberhentikan. Roda dikunci agar tidak bergerak. Seperti yang diduga, kelihatan jelas sosok tubuh ketua kampung duduk bersila di atas pangkin kayu belian yang mengitari rumah adat. 
    Turut kelihatan dua wajah asing yang belum pernah dia lihat sebelumnya. Bukan orang rumah panjang. Kenapa orang luar memasuki rumah panjang? Atas urusan apa mereka ke sini?
    “Munti, orang-orang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat mahu bercakap sesuatu.” 
    Munti tercengang. Dia lantas memandang ke pojok sebelah kanan bale namba, tepatnya sebelah ketua kampung, kelihatan dua orang sosok wanita. Seorang terlihat mengenakan tudung rona biru laut dan seorang lain berambut panjang mengurai. Masing-masing dalam lingkungan umur 20-an.
    “Saya Aida dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Cerpen kamu yang membawa kami kemari. Pengarah tersentuh dan memandang berat isu yang kamu tulis dalam cerpen itu.” Wanita bertudung dengan lesung pipit di pipi memulakan bicara seraya menguntumkan senyuman manis.
    “Kenapa dengan cerpen saya?” sahut Munti.
    Puan Aida memandang wajah ketua kampung sejenak. Mengangguk kepala. Setelah itu, wanita yang mengenakan baju kurung moden itu menoleh rakannya. Mereka berdua seperti berbisik-bisik.
    “Kami dan ketua kampung sudah berbincang tadi. Ketua kampung bersetuju untuk membina tanjakan. Kami di Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membantu ketua kampung untuk membawa isu ini kepada pengetahuan pihak atasan dan Yang Berhormat di kawasan sini,” jelasnya.
    Apa? Dia seakan mahu menjerit. Namun semacam ada hambatan yang menghalangnya berbuat demikian. Adakah ini mimpi? Mimpi pada siang hari. Seseorang tolong bangunkan aku daripada mimpi ini, gumamnya dalam hati. 
    Kuasa cerpen! Bukan sekadar cerpen omong kosong. Tetapi, cerpen berisi dan sarat dengan isu dan suara orang kecil yang kadang-kadang tersisih dan disisih dalam lingkungan masyarakat umum. 
    “Cerpen adalah perakam suara orang kecil,” desis Munti.
    
Glosari
bale namba    rumah mesyuarat orang-orang tua
ngudung    mesyuarat

 
 


        

Advertisement