Anda di sini

SKM peruntuk RM5 juta bantuan pembangunan koperasi tahun ini

Advertisement
 

PASIR PUTEH: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM5 juta untuk membantu institusi masjid, surau dan pusat tahfiz mengembangkan aktiviti perniagaan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Naib Pengerusi Eksekutif Dasar dan Pembangunan SKM Amran Abd Kadir berkata peruntukan itu selaras dengan sasaran pihaknya untuk memastikan lebih 6,000 masjid termasuk surau dan institusi tahfiz mempunyai koperasi sendiri.

"Pada masa ini hanya 501 masjid dan 48 surau sudah menubuhkan koperasi yang jumlah itu masih terlalu kecil.

"Daripada jumlah itu pula, sebanyak 30 masjid di Kelantan telah menubuhkan koperasi mereka dengan keseluruhan aset bernilai lebih RM1.14 juta," katanya kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Kelantan di Masjid Sri Aman, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Amran berkata melalui koperasi pelbagai aktiviti ekonomi dapat dilakukan bagi membantu ahli kariah masjid selain keuntungannya dapat mengisi tabung kebajikan masjid.

"Antara aktiviti yang perlu diberi keutamaan berasaskan keperluan masyarakat setempat termasuk penyewaan galeri pengantin, kedai gunting rambut selain kedai runcit.

"Pihak SKM  bersedia membantu koperasi terbabit untuk mengembangkan kegiatan itu dengan pelbagai bentuk bantuan dan pinjaman kewangan," katanya. - BERNAMA

Advertisement