Anda di sini

Penyanyi cilik berpeluang rebut tiga slot untuk wakili Sarawak pada Bintang Kecil 2023

Advertisement
Bob bergambar bersama kakitangan RTM Sarawak yang berkampung di Miri selama dua hari bagi Pencarian Bakat Bintang Kecil 2023 dan Sape Junior 2023.
Bob bergambar bersama kakitangan RTM Sarawak yang berkampung di Miri selama dua hari bagi Pencarian Bakat Bintang Kecil 2023 dan Sape Junior 2023.

MIRI: Penyanyi cilik tempatan mempunyai peluang besar untuk menyerlahkan bakat mereka bagi merebut tiga slot untuk mewakili Sarawak pada Bintang Kecil 2023.

Pengarah RTM Sarawak Nasrul Hakim Md Noh berkata ia bermaksud tiga peserta yang terpilih akan mewakili Sarawak pada peringkat seterusnya berbanding dua slot pada pertandingan lepas.

"Jumlah peserta pada tahun ini akan bertambah dengan mereka akan bersaing dengan peserta dari negara luar, peserta Sabah dan peserta dari Semenanjung Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Pencarian Bakat Bintang Kecil 2023 dan Sape Junior 2023 di Miri pada Ahad.

Menurutnya, cabaran pada tahun ini lebih hebat kerana peserta akan bersaing dalam tempoh masa yang singkat.

Peserta Bintang Kecil yang terpilih dari Zon Sarawak, Sabah, Semenanjung dan peserta jemputan dari Kalimantan Barat (KalBar) Indonesia, Brunei dan Singapura akan berentap di Kuching untuk pertandingan peringkat kebangsaan.

"Kita juga ingin memperkenalkan dan mempelajari budaya Sarawak kepada peserta luar melalui Berambeh kerana sejak diperkenalkan 1986, Bintang Kecil adalah platform yang terbaik untuk tujuan itu," katanya.

Beliau berharap Bintang Kecil akan terus dilaksanakan dari tahun ke tahun dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak.

"Saya pasti ramai bakat-bakat kecil dari Sarawak yang boleh diketengahkan kerana Sarawak adalah luas dan mereka ini digalak hadir pada lokasi seterusnya Pencarian Bakat Bintang Kecil 2023," jelasnya.

Lokasi seterusnya ialah di Limbang dan Sri Aman pada15 April sementara di Kuching selama dua hari iaitu 15 dan 16 April ini.

Uji bakat ini bagi mencari bakat anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun menggunakan platform RTM untuk berentap pada Peringkat Debaran Sarawak pada Ogos depan, seterusnya ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada September.

Sementara itu, bagi Pencarian Bakat Bintang Kecil 2023 dan Sape Junior 2023 di Miri, seramai 12 peserta hadir mempersembahkan nyayian sementara enam peserta mencuba nasib bermain sape.

Sesi pencarian penyanyi celik itu telah dijuri oleh penyanyi popular tempatan, Bob Yusuf serta juri tempatan lain.
 

  • oleh
  • Advertisement