Anda di sini

Pesta Lun Bawang pada 1 hingga 3 Jun di Lawas

Advertisement
Jude (depan) menyertai salah satu persembahan kebudayaan dalam pesta tersebut tahun lepas.
Jude (depan) menyertai salah satu persembahan kebudayaan dalam pesta tersebut tahun lepas.

MIRI: Pesta tahunan Irau Aco Lun Bawang atau Pesta Lun Bawang bakal diadakan pada 1 hingga 3 Jun depan di Lawas. 

Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Dolphina Balang berkata pesta yang memasuki tahun ke-36 penganjurannya kali ini dijangka menarik kira-kira 3,000 peserta dan 15,000 pengunjung. 

“Irau Aco Lun Bawang telah menjadi acara ikonik di Lawas dimana ia bukan sahaja disambut oleh kaum Lun Bawang tetapi juga oleh penduduk tempatan di seluruh bahagian Utara Sarawak. 

“Kami meneruskan usaha baik tahun ini dengan menjemput saudara-saudara kita dari Brunei, Sabah dan Kalimantan untuk menjadikannya satu lagi acara yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan media. 

Pesta itu yang meraikan kekayaan budaya dan warisan Lun Bawang, akan menyaksikan pelbagai program kebudayaan dan acara sukan diadakan. 

Finalis Ruran Ulung 2022 sedang melakukan salah satu aktiviti dalam pertandingan tersebut.
Finalis Ruran Ulung 2022 sedang melakukan salah satu aktiviti dalam pertandingan tersebut.

Pertandingan bola sepak, bola tampar, badminton, zumba, tarik tali dan sumpitan lelaki dan wanita juga akan diadakan bagi memeriahkan lagi acara tersebut. 

“Kami berharap festival ini akan meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi di bahagian Utara,” tambah Dolphina. 

Tema pesta tahun ini ialah ‘Budaya Mengilhamkan Perpaduan’ dan acara ini disokong oleh Sarawak Tourism Board (STB), Pejabat Residen Limbang, Pejabat Daerah Lawas dan Kumpulan Pasukan Petugas Pelancongan Limbang. 

Finalis Padan Liu Burung 2022 segak bergaya dalam busana tradisional masing-masing.
Finalis Padan Liu Burung 2022 segak bergaya dalam busana tradisional masing-masing.

Irau Aco Lun Bawang tidak akan lengkap tanpa pertandingan Ruran Ulung dan Padan Liu Burung dalam mencari wanita tercantik dan pahlawan lelaki Lun Bawang. 

Pemenang Ruran Ulung tahun lepas ialah Kelly Raywyn Cahill dari Kuala Lumpur, manakala Jhonson Elson dari Lawas memenangi Padan Liu Burung.

Mereka akan hadir untuk menobatkan pengganti masing-masing, di mana hadiah wang tunai bernilai RM20,000 menjadi rebutan tahun ini. 

Wanita-wanita Lun Bawang melakukan persembahan kebudayaan.
Wanita-wanita Lun Bawang melakukan persembahan kebudayaan.

Individu berketurunan Lun Bawang yang berminat dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ini dan diminta mendaftar sebelum 30 April.

Sebarang maklumat lanjut mengenai pesta ini boleh menghubungi pengerusi penganjurnya Jude Benjamin Lisa di talian 017-8773871 atau ikuti Facebook dan Instagram ‘Irau Aco Lun Bawang’. 
 

  • oleh
  • Advertisement