Anda di sini

Pertambahan 125 tempat letak kereta kurangkan masalah parkir di Hospital Sibu

Advertisement
Ling (tiga kanan) menyampaikan kontrak kepada kontraktor Amir Padli Zainal dari Mutiara Sepakat Enterprise sambil diperhatikan Dr Nanthakumar (dua kiri) dan yang lain.
Ling (tiga kanan) menyampaikan kontrak kepada kontraktor Amir Padli Zainal dari Mutiara Sepakat Enterprise sambil diperhatikan Dr Nanthakumar (dua kiri) dan yang lain.

SIBU: Pembinaan tambahan 125 tempat letak kereta di Hospital Sibu akan membantu mengurangkan masalah tempat letak kereta di kawasan itu.

Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu berkata, projek itu datang pada masa yang sesuai kerana mereka menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai isu tempat letak kereta.

"Kadang-kadang ada pesakit yang meletakkan kereta di Jalan Permai dan dari situ mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing ke hospital untuk menghadiri janji temu mereka.

"Saya tahu kadang-kadang ia agak menyusahkan pesakit. Jadi dengan ada tambahan 125 tempat letak kereta, pastinya dapat mengurangkan masalah parkir kereta di hospital," katanya kepada pemberita semasa majlis penyerahan kontrak projek dari Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling kepada kontraktor hari ini.

Majlis ringkas itu diadakan di tapak kawasan letak kereta baharu di Hospital Sibu.

Menurut Dr Nanthakumar, hospital itu kini mempunyai sejumlah 682 tempat letak kereta.

Beliau berkata, hospital itu mempunyai 2,200 kakitangan di mana kira-kira 1,100 daripadanya bekerja mengikut syif pagi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Dianggarkan 600 kakitangan hospital sedang memandu ke tempat kerja.

"Purata bilangan kereta yang diletakkan di pekarangan Hospital Sibu pada waktu puncak adalah 1,070.

"Bagi menangani masalah kekurangan tempat letak kereta, kakitangan dan pelawat dibenarkan meletak kenderaan dua kali dan meletak kenderaan di sepanjang laluan masuk dan keluar," katanya.

Sementara itu, Ling berkata projek yang menelan belanja RM500,000 itu merupakan lanjutan daripada projek fasa pertama yang disiapkan pada Disember 2019.

Ling berkata, sebanyak 124 petak letak kereta dibina pada fasa pertama yang juga menelan belanja RM500,000.

"Projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat dan ia akan mengambil masa empat bulan untuk disiapkan," katanya.

Mengenai perkara yang sama, Ling yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa khas kesihatan Dewan Rakyat mengulangi hasratnya supaya hospital daerah Sibu dan Miri dinaik taraf kepada status hospital wilayah tidak lama lagi.

"Saya tidak dapat memberikan jawapan pasti bila ia akan menjadi kenyataan kerana kita masih menunggu rancangan Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.

"Saya fikir ia akan dilakukan secara berperingkat dan amengambil masa beberapa tahun untuk menjadi kenyataan.

"Tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih mendesak pada masa ini seperti unit jantung dan kanser dengan perkhidmatan radioterapi di kedua-dua hospital," katanya.

Advertisement