Anda di sini

Lebih 200 perwakilan menghadiri persidangan IRSE Malaysia 2023 

Advertisement
Lee secara simbolik melancarkan Persidangan IRSE Malaysia 2023 menggunakan bendera ‘isyarat’ yang digunakan pada masa lalu untuk operasi rel di negara ini.
Lee secara simbolik melancarkan Persidangan IRSE Malaysia 2023 menggunakan bendera ‘isyarat’ yang digunakan pada masa lalu untuk operasi rel di negara ini.

KUCHING: Persidangan Institusi Jurutera Isyarat Kereta Api (IRSE) Malaysia 2023 yang julung kali diadakan di sini mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 200 perwakilan menghadiri persidangan dua hari tersebut.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, persidangan itu merupakan platform yang ideal untuk perkongsian ilmu dan kepakaran, terutama bagi mereka terlibat dalam industri pengangkutan awam.

Sehubungan itu, Lee mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Seksyen IRSE Malaysia dan Sarawak Metro Sdn Bhd kerana menganjurkan persidangan itu di sini.

“Persidangan ini akan memberi manfaat kepada mereka yang terlibat dalam pengangkutan awam dan ia merupakan petanda baik bagi usaha Sarawak untuk memodenkan rangkaian pengangkutan awam di negeri ini,” kata Lee menerusi kenyataan dikeluarkan Sarawak Metro Sdn Bhd hari ini.

Tambah Lee, persidangan berkenaan yang diadakan di Sarawak tahun ini adalah tepat pada masanya kerana ia selari dengan langkah Sarawak untuk memasukkan teknologi baharu dalam sektor pengangkutan awam, iaitu pembangunan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Beliau turut memuji IRSE dan Metro Sarawak kerana memasukkan topik mengenai mencapai pelepasan sifar bersih untuk industri kereta api dalam persidangan tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee berkata memandangkan teknologi sentiasa berkembang, keperluan untuk mempunyai tenaga kerja yang bertauliah dan mahir, sama ada jurutera dan juruteknik juga adalah penting. 

Oleh itu, Lee menggalakkan IRSE memainkan peranannya dalam mewujudkan kumpulan tenaga kerja mahir yang boleh memenuhi permintaan industri.

“Kita berharap ini dapat mewujudkan kesedaran tentang peluang kerjaya dalam isyarat kereta api, komunikasi dan kejuruteraan sistem dalam kalangan belia.

“Kita kini mempunyai contoh sedia ada untuk belia meneruskan kerjaya mereka dalam bidang kejuruteraan isyarat dan komunikasi,” kata Lee.

Persidangan dua hari bermula hari ini (5 April) yang diadakan di Hotel Riverside Majestic di sini menyaksikan kehadiran perwakilan dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Indonesia, Hong Kong, China, Singapura, Jepun, India dan United Kingdom.

Pada majlis pelancarannya, para perwakilan turut menyaksikan perlantikan Mazli sebagai pengerusi baharu Seksyen IRSE Malaysia. 

Upacara pelantikan ditandai dengan penyerahan instrumen pejabat Pengerusi IRSE dalam bentuk kunci token isyarat. Ia digunakan dalam sistem isyarat pada masa lalu bagi menyediakan akses kepada kereta api untuk pergi di landasan antara dua stesen.

Hadir sama semasa majlis pelancaran adalah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Ir Alice Jawan Empaling; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) merangkap Pengerusi Sarawak Metro Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa dan Presiden IRSE Andy Knight.

Advertisement