Anda di sini

Nuansa Kearifan Tempatan dalam “Cereka Mitos dari Paya Beketan”

Advertisement
 

Oleh: Sara Beden

Pengenalan

Cerita mitos ialah cerita yang bersifat kekudusan dan dongengan yang juga dikaitkan dengan kepercayaan masyarakat yang memilikinya. Walau bagaimanapun, cerita ini bukan dongengan semata-mata tetapi sebuah kisah misteri yang mempunyai makna dan pengertian tertentu kepada masyarakat pemiliknya. Leksikal mitos berasal daripada bahasa Greek, mythos bermaksud tale, speech. Hashim Awang (1984) menyatakan bahawa mitos ialah cerita rakyat yang mengisahkan manusia atau makhluk dan peristiwa luar biasa yang di luar logik fikiran manusia. Mitos amat sinonim dengan pemerian perlakuan Tuhan dan para dewa atau makhluk suci yang berasosiasi dengan peristiwa yang dipercayai benar oleh masyarakat berkenaan. Cerita mitos lahir ketika masyarakat berada pada tahap primitif dan wujud daripada sikap dan naluri ingin tahu manusia untuk menjawab segala kekeliruan tentang apa-apa yang dilihat dan dialami di persekitaran mereka. Cerita mitos dianggap terjadi pada suatu masa lampau dan berlatarbelakangkan dunia yang amat berbeza daripada dunia realiti serta memerlukan logik akal untuk mengintepretasikannya. Walau bagaimanapun, mitos merupakan unsur sastera yang amat dominan dalam kesusasteraan Melayu tradisional kerana aspek kehebatan, keanehan, keistimewaan, kesaktian dan keajaiban menjadi inti utama bagi pengarang sebagai strategi memancing perhatian khalayak terhadap karya mitosnya. Aspek-aspek inilah yang melambangkan kearifan tempatan dalam karya-karya mitos mahupun legenda yang menyirati pengajaran dan nilai-nilai yang berupaya mentarbiahkan masyarakat.

Sehubungan itu, Beketan (Baketan/Bukitan/Ukitan) merupakan suku kaum minoriti yang tinggal di Sarawak, Malaysia dan Kalimantan Timur, Indonesia. Suku kaum ini ditemukan di Bintulu, Sarawak, namun jumlahnya semakin berkurangan akibat daripada perkahwinan campur. Suku ini berasal dari Palin, Kalimantan dan telah berhijrah ke Sarawak melalui Lubok Antu dan terus menetap di sana sejak abad ke-19. Kewujudan suku ini boleh ditemukan di beberapa buah kawasan seperti di Saribas (Paku, Layar dan Rimbas) dan Lubok Antu yang terdapat dalam bentuk perkuburan, nama tempat dan artifak kuno (Dahiri Saini, 2022). Kaum Beketan ini kaya dengan cerita mitos yang masih diagungkan walaupun zaman sudah mengalami perubahan. Justeru, kajian ini bertujuan untuk membincangkan nuansa kearifan tempatan dalam cerpen “Cereka Mitos dari Paya Beketan”, karya Dahiri Saini yang tersiar dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo 14 November 2022. Perbincangan ini akan menggunakan konsep dan kerangka kearifan tempatan.

Kerangka Konsep Kearifan Tempatan

Kearifan tempatan terdiri daripada dua perkataan Inggeris, iaitu “local” dan “wisdom”. “Local” bermaksud setempat dan “wisdom” bermaksud hikmah dan kebijaksanaan. Secara umumnya kearifan tempatan ditakrifkan dengan kepandaian atau kebijaksanaan tempatan yang penuh dengan hikmah, nilai-nilai baik, dipraktikkan dan diikuti oleh masyarakat (Giska, 2013 dan Muhammad Din et al., 2017). Keraf (2010) mentakrifkan kearifan tempatan sebagai kearifan tradisional yang merangkumi semua bentuk pengetahuan, keyakinan, pemahaman atau wawasan serta adat kebiasaan atau etika yang menuntun perilaku manusia dalam kehidupan ekologis. Sementara Yusriadi et al. (2018), mentakrifkan kearifan tempatan sebagai tingkah laku manusia yang positif dalam menangani alam dan persekitarannya dan diperturunkan daripada nilai-nilai agama, adat istiadat, tradisi nenek moyang atau budaya tempatan yang secara semula jadi dibina dalam komuniti untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Tingkah laku ini kemudiannya berkembang menjadi budaya dan diwarisi secara turun-temurun. Muhammad Ikhlas Rosele dan Abdul Karim Ali (2019), pula menjelaskan bahawa kearifan tempatan adalah satu terma ilmu yang dibentuk bagi menjelaskan satu keadaan, budaya dan ilmu bagi sesuatu kawasan atau masyarakat. Husni Thamrin (2013) menyebut kearifan tempatan sebagai suatu sistem yang merangkumi kehidupan sosial, politik, budaya, ekonomi dan lingkungan dalam masyarakat tempatan yang melambangkan hikmah dan kebijaksanaan yang diperoleh hasil daripada pengalaman hidup berinteraksi dengan alam. Menurut Yin (2002) pula, kearifan tempatan adalah pengetahuan yang dipraktikkan oleh sesebuah komuniti yang merupakan hasil pengalaman generasi terdahulu. Suhartini (2009) mentakrifkan kearifan tempatan dengan kearifan lingkungan yang wujud dalam setiap masyarakat. Kearifan ini dilihat berpandukan kepada nilai dan perlakuan masyarakat di sesuatu tempat dalam menjalani kehidupan seharian dan berinteraksi sesama manusia dan alam sekitar.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa konsep kearifan tempatan merujuk kepada bentuk pengetahuan, pengalaman, warisan tradisi nenek moyang, interaksi dengan alam, nilai, tingkah laku, kehidupan sosial, kepercayaan dan keanehan. Konsep ini menjadi amalan yang signifikan dan menjadi sistem hidup sesebuah masyarakat berhubung dengan alam persekitaran dan nilai-nilai tersirat daripada kearifan tersebut sehingga membentuk budaya dan adat resam serta pegangan komunitinya. Perbincangan dalam makalah ini memberikan fokus kepada kearifan tempatan dalam cerpen “Cereka Mitos dari Paya Beketan” dari perspektif warisan tradisi, interaksi dengan alam, kepercayaan dan keanehan serta pelanggaran nilai sebagaimana yang dinaratifkan oleh pengarangnya.

Warisan Tradisi

Paya (kawasan tanah bencah yang ditumbuhi pelbagai tumbuhan) merupakan artifak atau objek yang menjadi warisan tradisi kaum Beketan dan dilindungi dengan sepenuh kudrat dan nyawa, dipercayai dan mendarah daging dalam hidup mereka. Misalnya, Aje Surat, yang merupakan penduduk tertua di situ menyatakan bahawa:

             “Paya ini terbina dari salasilah yang tak mungkin dapat dilenyapkan atau ditinggalkan. Paya warisan leluhur yang akan dijaga dan dilindungi daripada segala pencerobohan.               Meskipun nyawa menjadi galang-gantinya, kami tetap takkan meninggalkan paya yang sentiasa hidup dalam tubuh kami.” Lantunan suara lirih Aje Surat mengacah-acah tanpa henti di benak Hitder.

      Berdasarkan petikan, ternyata bahawa penduduk Paya Beketan menganggap, meyakini dan mempercayai bahawa paya yang wujud di perkampungan mereka merupakan warisan leluhur daripada tinggalan nenek moyang kaum mereka secara turun-temurun sehingga mereka sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankannya. Dalam konteks ini, kita dapat meneliti bahawa dari segi nuansa lain mungkin paya ini merupakan simbol yang tidak bermakna apa-apa, namun bagi kaum Beketan, paya ini ialah leluhur, iaitu warisan nenek moyang yang kudus, suci, mulia dan memiliki keanehan serta keunikan dalam memprojeksikan seluruh kelangsungan hidup mereka sehingga tidak akan membiarkan sesiapa yang mencerobohnya. Watak Palin sendiri mengakui bahawa orang luar tidak memahami hubungan leluhur salasilah kaum Beketan dengan kewujudan paya tersebut yang amat bermakna dan berkorelasi teguh dalam sistem sosial serta ekologi kehidupan mereka.

Interaksi dengan Alam

Watak Delis, anak muda bermata bugar dan penuh bersemangat yang diangankan oleh Palin untuk meneruskan legasi pemilik paya suku kaumnya nanti, membentak dalam hatinya yang mengekspresikan naluri dan kekentalan jiwa Beketannya dalam memperlihatkan betapa mendalamnya interaksi kaum ini dengan paya itu. Monolognya, “Apa perlunya meninggalkan paya ini? Di sinilah kehidupan kami! Lihat di tengah paya itu, ikannya beranak-pinak, di tepiannya pelbagai tumbuhan menghijau dan boleh dimakan. Apa lagi yang diperlukan selain dari semua itu?” memberi intepretasi bahawa betapa paya tersebut mempengaruhi dan menuntun perilaku manusia dalam kehidupan ekologis sehingga hubungan antara dua organisma ini sukar dipisahkan. Interaksi ini menyerlahkan kekaguman, ketabahan dan hubungan akrab antara manusia dengan alam, tumbuh-tumbuhan dan persekitaran. Mitos ini bukan sahaja memperlihatkan kepercayaan dan keanehan malahan menunjukkan betapa kaum ini turut memiliki wisdom atau kebijaksanaan dalam menghargai dan menyanjung tinggi kurniaan Tuhan dengan cara tersendiri terhadap unsur alam atau kosmos. Komponen alam yang terdiri daripada antaranya atmosfera, hidrosfera, pedosfera, litosfera dan biosfera mengandungi berjuta-juta spesies kehidupan yang berinteraksi antara satu sama lain untuk meneruskan kelangsungan kehidupan masing-masing. Manusia adalah sebahagian daripada alam ciptaan Allah dan mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitarnya dan akan pupus jika tidak memberikan perhatian kepada kelestarian alam sekitar. Justeru, inilah kebijaksanaan tempatan dan keistimewaan kaum Beketan dalam menunjukkan penghargaan terhadap alam ciptaan Tuhan di muka bumi ini selain mereka mengangkat keistimewaan Paya Beketan sebagai leluhur kaum mereka. Paya yang memiliki pelbagai khazanah fauna dan flora ini amat disanjung dan dilindungi mereka walaupun nyawa tergadai sekali gus mencitrakan nuansa kaum ini dalam mempertahankan warisan leluhur.

 

Kepercayaan dan Keanehan

Dalam usaha memancing perhatian khalayak, pengarang menggabungkan unsur kepercayaan dan keanehan bagi mengangkat keistimewaan Paya Beketan sebagai sebuah mitos yang signifikan. Tindakan ini berupaya memperlihatkan kepercayaan animisme, menunjukkan kekaguman dan ketakjuban dalam minda masyarakat yang memilikinya serta masyarakat lain bagi mengangkat kehebatan mitos ini. Pemerihalan pengarang, “Ketika bulan sabit melengkungi puncak langit, pasti kedengaran bisikan monoton seperti memanggil dan memujuk sesiapa saja yang terpukau masuk ke dasarnya”. Begitulah yang dicerekakan dari generasi ke generasi dalam komuniti suku kaum Beketan mengkomunikasikan kepercayaan menebal masyarakat Beketan terhadap keanehan dan keistimewaan Paya Beketan. Kaum ini amat percaya bahawa ketika bulan sabit, paya ini menunjukkan keanehannya dengan mengeluarkan suara bisikan yang berupaya memanggil dan memujuk sesiapa sahaja yang terpukau masuk ke dasarnya. Hal ini memanifestasikan kepercayaan masyarakat Beketan bahawa paya ini memiliki “kuasa” untuk memukau dan mempesonakan seseorang agar masuk ke dasarnya. Perkara ini diperkukuh lagi menerusi penceritaan pengarang bahawa:

“Sesiapa yang melintasi kawasan paya tersebut akan berasa teruja dan terpesona, apatah lagi ketika musim meneran (berbunga); paya tersebut mengeluarkan semua tumbuhan yang menghijau dan berbunga amat cantik sekali dari dasarnya, dibauri keharuman pelbagai bunga yang pasti melalaikan dan mempesonakan sehingga tidak sedar mereka dibawa ke dasarnya”.

Pemerian dan pemerihalan paya ini mengkomunikasikan kepercayaan dan keanehan Paya Beketan dari kaca kehidupan dan Weltanschauung masyarakat Beketan kerana bunga-bungaan mahupun tumbuhan yang menghijau bukan sahaja   dideskripsikan memiliki keindahan, malahan berkuasa mempengaruhi, mempesona dan menarik perhatian seseorang untuk masuk ke dasar paya ini. Keanehan ini memperkukuh ciri kemitosan paya ini dalam kalangan kaum Beketan.

Kaum Beketan juga percaya bahawa paya tersebut memiliki keramat. Perkara ini dapat dihubung kait dengan pemikiran mendalam kaum ini terhadap kewujudan paya yang dianggap keramat, iaitu memiliki kemuliaan, keberkatan dan hikmah yang tinggi dalam kelangsungan hidup mereka. Tersiratnya, paya ini memiliki kekudusan dan kesucian umpama dewa atau tuhan yang memberikan impak kepada kehidupan mereka sehingga mereka menjadi amat taasub. Ciri nuansa ini dapat dikaitkan dengan pemikiran teologi kaum Beketan terhadap unsur kosmos. Kepercayaan kaum ini terhadap Paya Beketan memperlihatkan ketaasuban yang sukar digugat kerana mereka sanggup mengorbankan nyawa demi paya leluhur tersebut apabila Hitder yang dianggap Beketan kontemporari meminta Palin pindah kerana hujan yang turun tidak berhenti akan menyebabkan banjir besar. Misalnya, Palin menyatakan bahawa “Kami takkan pindah, sekalipun menjadi semah di paya ini, Hitder. Kou tahu kan, kaum Beketan bukan penakut. Paya ini keramat bagi kami dan sumpahan Beketan takkan lenyap sekalipun kami bersemadi di dalam klirieng Beketan”. Suara Palin mengintepretasikan kesetiaan, penyerahan, ketaksuban, kepasrahan dan penghormatan yang tinggi kepada kemuliaan dan kekeramatan Paya Beketan kerana sanggup mati atau menjadi semah (santapan orang halus/penunggu) dan bersemadi dalam keranda Beketan daripada pindah. Ringkasnya, inilah ideologi yang memberi gambaran kehidupan dan cara hidup yang memberi kesan kepada ciri-ciri sebuah kawasan sebagaimana yang diimplementasi kaum Beketan yang berasosiasi dengan keluhuran, ketinggian nilai-nilai dan kebenaran yang dihargai oleh masyarakat mereka sehingga digunakan sebagai panduan atau pedoman untuk membangunkan pola hubungan dan membangunkan tujuan hidup yang ingin direalisasikan oleh mereka walaupun kadang-kadang sukar diterima oleh pemikiran masyarakat lain.

Perlanggaran Nilai

Berdasarkan takrifan kearifan tempatan oleh Yusriadi et al. (2018) yang mengatakan kearifan tempatan sebagai tingkah laku manusia yang positif dalam menangani alam dan persekitarannya, ternyata tidak dipatuhi kaum ini kerana berlakunya perlanggaran nilai dalam menangani masalah alam. Watak Matupuso (Iban) yang merupakan watak antagonis cuba menyelesaikan isu Paya Beketan menerusi dendam lamanya kepada kaum tersebut. Matupuso sanggup mengorbankan Hitder yang dituduhnya sebagai penceroboh dan membuat onar di Paya Beketan demi melunas dendamnya kepada kaum Beketan. Matupuso menghasut Palin agar menjadikan Hitder sebagai semah (makanan hantu) agar penunggu di Paya Beketan tidak mengamuk atau kemaruk darah setelah kehilangan anak Palin yang bernama Delis. Penduduk Beketan, terutamanya Matupuso menghubung kait kehilangan Delis  dengan amukan dan kemarahan hantu paya apabila Hitder mengkaji kandungan asid dalam air paya dan tumbuhan di sekitarnya yang dianggapnya menceroboh. Justeru, Matupuso mengambil kesempatan untuk membalas dendamnya dengan menjadikan Hitder sebagai semah bagi memujuk hati penunggu sedangkan sebelum itu seekor jani (babi) hutan sudah menjadi semah paya itu. Matupuso menyatakan bahawa “Kou jangan menolak sumpahan Beketan! Kou sedar tak, koulah punca paya itu mengutuk kita semua”. Tuduhan dan hasutannya berjaya mempengaruhi Palin dan Kuset sehingga Hitder hampir terkorban.

Walau bagaimanapun, pengarang secara sedar tidak menghalalkan perlanggaran kemanusiaan ini berlaku sewenang-wenangnya walaupun upacara semah merupakan upacara tradisi Beketan dengan mencipta watak-watak yang rasional dalam menyelesaikan isu Paya Beketan. Watak Ratop dan Aje Surat memiliki minda rasional dengan menghentikan perbuatan kejam Matupuso. Ratop menolak tuduhan Matupuso bahawa Hitder yang menyebabkan kemarahan hantu paya dan membatalkan upacara semah pada malam tersebut. Aje Surat yang merupakan penduduk tertua di Paya Beketan menyuarakan rasionalnya dengan menyatakan “Matupuso tu memang gila! Takkan baru beberapa hari semah seekor #jani bunting sulung, paya tu mahukan semah lagi. Kecuaian mereka sendiri yang terlalu leka dan lalai sehingga terpujuk geruh paya tersebut”. Aje Surat yang turut mengagumi Paya Beketan sebagai leluhur mereka bertindak rasional dengan memberikan alasan munasabah bahawa amukan hantu paya adalah akibat kelalaian penduduk Beketan sendiri. Watak Matupuso akhirnya ditemukan mati dan timbul di tengah-tengah paya tersebut tanpa kedua-dua matanya yang dipercayai sebagai balasan atas perbuatannya. Perlanggaran nilai dalam cerita mitos ini adalah untuk memberikan pengajaran dan berfungsi sebagai kritikan sosial terhadap sikap masyarakat yang pincang dalam menangani sesuatu.

Kesimpulan

Cerita mitos ini adalah khazanah warisan budaya yang amat bernilai bagi sesuatu bangsa yang berupaya menjadi pengajaran kepada masyarakat. Cerita-cerita ini bukan hanya menjadi milik komuniti berkenaan sahaja, malah boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat di dunia ini untuk kebaikan bersama. Ringkasnya, “Cereka Mitos dari Paya Beketan” berupaya mengangkat keistimewaan yang dimiliki masyarakat Beketan dalam mengekspresikan nuansa warisan leluhur, kepercayaan, ideologi, nilai dan hubungan ekologis dalam #survival mereka.

Rujukan

Dahiri Saini. “Cereka Mitos dari Paya Beketan” dlm. Utusan Borneo, 14 November 2022.

Giska Adilah Sharfina Saputra, 2013. “Enhancing Local Wisdom Through Local Content of Elementary School in Java, Indonesia”. Proceeding of the Global Summit on Education. Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Hashim Awang, 1984. Seuntai Mutiara Klasik. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Husni Thamrin, “Kearifan Lokal dalam Pelestarian Lingkungan” dlm. E-Jurnal Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim II, 2(1) hlm. 46-58, 2013.

Keraf, A.S, 2010. Etika Lingkungan Hidup. Jakarta: Penerbit Buku Kompas.

Muhammad Din, Selmita Paranoan, Rahma Masdar, Hamonangan Siallagan dan Tarmizi Achmad, “Public Accountability Based on The Value of Local Wisdom” dlm. International Journal of Civil Engineering and Technology, 8(8) hlm. 1046-1053, 2017.

Muhammad Ikhlas Rosele dan Abdul Karim Ali, “Konsep Kearifan Tempatan Menurut Perspektif Hukum Islam” dlm. Jurnal Fiqh, Vol. 16 No. 1 hlm. 1-24, 2019.

Suhartini, 2009. “Kajian Kearifan Lokal Masyarakat dalam Pergolakan Sumberdaya Alam dan Lingkungan”. Prosiding Seminar Nasional Penelitian dan Penetapan MIPA. Universitas Negeri Yogyakarta, Yogyakarta.

Yusriadi, Y., Irmayani, I., Rosada, I., Ilsan, M., Wahyuni, W. dan Muhdiar, M., “Local Wisdom on Farming Activities and Its Benefits to Agriculture in Enrekeng District, Indonesia” dlm. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 3(5) hlm. 48-54, 2018.

Yin Cheong Cheng, 2002. “Fostering Local Knowledge and Wisdom in Globalized Education: Multiple Theories”. Proceeding The 8th International Conference on Globalization and Localization Enmenshed: Searching for a Balance in Education. Chulalongkorn University, Pulau Pinang.

 
 
 
Advertisement