Anda di sini

Tiga termasuk dua beranak maut dalam kemalangan di Pontian

Advertisement
 

PONTIAN: Tiga lelaki termasuk dua beranak maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 5.7, Jalan Parit Semerah-Parit Kudus, di sini, petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata mangsa, Muhamad Shah Rizal Jamaludin, 22, dan bapanya, Jamaludin Abd Wahab, 58, serta Muhamad Nor Azlan Roz, 28, yang juga mempunyai pertalian kekeluargaan, menaiki kereta Proton Saga berwarna putih, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata seorang lagi penumpang kereta terbabit, Mohd Faizal Saari, 35, dan pemandu kereta Proton Perdana berwarna hitam Donny Tauh, 20, pula mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Pontian. 

"Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 5 petang (semalam) apabila kereta Proton Saga itu dari arah Parit Semerah menghala ke Parit Kudus dan kereta Proton Perdana itu dari arah bertentangan. 

"Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Saga iaitu Muhamad Shah Rizal gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan kereta Proton Perdana itu yang berada di laluannya, sebelum terjunam ke dalam parit yang berair, mengakibatkan kesemua mereka tersepit," katanya menerusi kenyataan malam tadi. 

Mohammad Shofee berkata akibat daripada kemalangan tersebut, Muhamad Shah Rizal, Muhamad Nor Azlan dan Jamaludin mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas. 

"Kesemua jenazah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk tindakan lanjut, manakala Mohd Faizal dan Donny menerima rawatan di hospital yang sama," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. - BERNAMA 
 

Advertisement