Anda di sini

Segera tangani masalah kemudahan asas sekolah kawasan Tenom

Advertisement
RIDUAN
RIDUAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu segera menangani masalah pembangunan prasarana serta infrastruktur sekolah dalam kawasan Tenom.

Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin berkata, prasarana dan infrastruktur sekolah yang baik penting bagi mewujudkan suasana pendidikan berkualiti kepada para pelajar bagi membantu melahirkan modal insan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, sahsiah dan intelek. 

Beliau berkata, antara masalah yang perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan ialah berkaitan permohonan pembinaan sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Tomani. 

Menurutnya, tapak sekolah itu seluas 30.62 hektar milik Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah dipersetujui dan sedang menunggu proses pengesahan tapak dan harga. 

"Sekiranya harga tanah tersebut tidak memenuhi kriteria Kementerian, saya akan minta Pejabat Daerah Kecil Kemabong untuk mencari tapak lain yang sesuai. Paling penting ianya jauh daripada ancaman banjir. 

"Pembinaan SMK Kuala Tomani ini penting bagi menangani kesesakan pelajar di SMK Kemabong, selain itu, para pelajar di kawasan tersebut terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 15 sehingga 30 kilometer untuk ke SMK Kemabong," katanya semasa membahas Bajet 2023 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, semalam.

Riduan juga meminta Kementerian Pendidikan membina dewan terbuka di sekolah-sekolah di Tenom yang belum mempunyai dewan serbaguna bagi tujuan aktiviti pelajar. 

Selain itu katanya, status permohonan lapan buah sekolah di Tenom yang terlibat dengan bencana banjir besar pada tahun lalu juga memerlukan perhatian segera oleh kerajaan.

Riduan juga meminta agar permohonan penyelenggaran bangunan kayu Sekolah Kebangsaan (SK) Inubai yang mengalami kerosakan akibat banjir, SK Gumisi yang tidak selamat kerana lokasinya dikelilingi sungai besar yang menyebabkan banjir besar.

Beliau juga memohon agar pihak kementerian memberi perhatian kepada permohonan bina baharu rumah guru melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entabuan dan SK Sumambu. 

Menyentuh Program Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Sarawak, Riduan menggesa kementerian menyelesaikan isu bekalan air di SMK Chinta Mata dan SMK Kemabong yang agak menganggu sesi persekolahan kerana sering kali terputus bekalan air bersih. 

"Saya juga memohon agar jambatan gantung sedia ada di SK Melalap, SK Pangi dan SK Sumambu yang digunakan sebagai laluan pelajar untuk ke sekolah digantikan dengan jambatan konkrit agar ianya lebih selamat, berkualiti dan tahan lasak untuk kegunaan seharian.

"Contohnya, laluan utama ke SK Sumambu pada ketika ini perlu merentasi sungai menggunakan kereta, jika musim banjir guru-guru sukar melalui laluan tersebut. Begitu juga dengan Jalan ke SK Kolorok yang amat daif dan perlu dinaik taraf," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement