Anda di sini

Rakyat Sabah diajak bersatu tunjuk solidariti sokong ESSCOM

Advertisement
ZAKI
ZAKI

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diminta bersatu menunjukkan solidariti dan menyatakan sokongan terhadap peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam mengekal dan meningkatkan tahap keselamatan serta menjaga kedaulatan khususnya di bahagian pantai timur Sabah.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) Mohd Zaki Harry Susanto berkata ucapan terima kasih adalah hadiah terbaik bagi menghargai sumbangan ESSCOM sempena ulang tahun ke -10 pada 1 April ini.

Menurutnya penubuhan ESSCOM pada 1 April 2013 adalah langkah tepat kerajaan dalam memastikan kedaulatan negara serta kesejahteraan hidup masyarakat khasnya di Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara. 

Beliau berkata pujian juga harus diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak atas keberanian membuat keputusan drastik dan pantas untuk menubuhkan ESSCOM walaupun menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai satu pembaziran.

“Kewujudan ESSCOM terbukti berupaya mengekang jenayah rentas sempadan sekaligus mengawal anasir negatif di kawasan pesisir Pantai Timur Sabah. 

“Selama satu dekad, ESSCOM memainkan peranan yang amat penting malah sejak lima tahun kebelakangan ini, tiada lagi kes penculikan atau culik untuk wang tebusan (KFR) sekaligus mencerminkan keupayaan sebenar dan kejayaan ESSCOM.

"Kita bagaimanapun mengharapkan tumpuan ESSCOM bukan hanya kepada ancaman di kawasan sempadan negara dengan Filipina tetapi juga perlu fokus kepada sempadan laut serta darat dengan Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu Zaki mencadangkan 

 agar satu batalion baharu PGA atau tentera ditubuhkan di Kalabakan sebagai persediaan awal kepada limpahan aktiviti rentas sempadan susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan.

"Mungkin juga kita boleh mewujudkan Pasukan Kawalan Sempadan yang bertindak mengawal sempadan negara dengan Indonesia di Sabah sepertimana peranan yang pernah dilaksanakan oleh 'Border Scout' di pedalaman Sabah sebelum ini.

"Pasukan itu nanti boleh menggunakan keanggotaan dari dalam kalangan anak tempatan sekaligus membuka ruang kepada mereka untuk menabur bakti di negeri sendiri," katanya.

Zaki yang juga bekas pegawai kanan polis berkata  rakyat Sabah kini semakin yakin dengan keupayaan ESSCOM dan berharap agensi penyelaras itu terus beroperasi di Sabah.

“Selain sifar kes penculikan sejak enam tahun yang lepas, kes pendatang tanpa izin (PTI) yang cuba menyelinap ke tanah besar Sabah juga berkurangan hasil kawalan ketat ESSCOM termasuk pelaksanaan perintah berkurung di perairan pantai timur pada waktu malam setiap hari. 

“Kita berharap titik akhir perintah berkurung tersebut akan dilanjutkan sehingga ke kawasan Kalabakan,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun ke-10 ini beliau turut menghargai jasa bakti semua petugas dan bekas pegawai ESSCOM termasuk yang datang dari semenanjung dan Sarawak yang bertungkus lumus menjayakan misi murni kerajaan persekutuan bagi memastikan lebih tiga juta penduduk Sabah hidup selamat, aman damai dan harmoni.

Selepas insiden Tanduo, ESSCOM diberikan tanggungjawab melindungi keselamatan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan termasuk di kawasan perbatasan dan perairan Pantai Timur Sabah.

Penduduk dan masyarakat berada di dalam wilayah berkenaan dikenali sebagai komuniti ESSZONE.

ESSZONE meliputi 10 daerah di Pantai Timur Sabah, iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

  • oleh
  • Advertisement