Anda di sini

Pejabat Kebajikan Daerah Ranau mencari empat waris kanak-kanak

Advertisement
 Kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen.
DITINGGALKAN: Kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen.

RANAU: Pejabat Kebajikan Daerah ini sedang mencari ahli keluarga dan waris empat anak yang diletakkan dibawah Perintah Jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) oleh Mahkamah Kanak-Kanak Ranau.

Penjaga di Pejabat Kebajikan Daerah Ranau, Halisah Baharudin berkata, tiga beradik dan seorang bayi berusia 11 bulan itu ditinggalkan ibu kandung mereka tanpa sebarang dokumen.

Bagi kes tiga beradik bernama Robert Mizan,10, Mary Mizan, 8 dan Ruben Mizan, 5 , mereka kini dijaga bapa saudara mereka sejak Januari 2022 di alamat Kg Sagindai Baru, Ranau.

"Bagaimanapun, penjaga tidak mempunyai hak penjagaan sah untuk menguruskan kebajikan dan persekolahan anak-anak berkenaan.

"Kanak-kanak itu juga telah ditinggalkan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Dia berkata, bapa kandung kanak-kanak itu, Mizan Maikol, meninggal dunia dalam kemalangan motosikal pada 12 September 2018 di Jalan-Tamparuli Ranau, manakala ibu kandung bernama Lia Adrian dipercayai warga Filipina dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ibu kandung telah melarikan diri dan tidak pernah memberi nafkah atau bertanya tentang anak-anak. Penjaga juga telah berusaha untuk mengesan ibu kandung tetapi tidak berjaya," katanya.

Halisah berkata, tiga beradik itu telah diletakkan dibawah OYLS melalui perintah Mahkamah Kanak-Kanak Ranau pada 28 Mac 2023.

Sementara itu, bagi bayi berusia 11 bulan bernama Auxilio Pio, penjaga telah memaklumkan kepada Halisah mengenai hal berkenaan, bahawa dia mengambil anak itu dan kini dalam jagaannya sejak 2 April 2022.

"Berdasarkan keterangan penjaga, ibu kandung itu bernama Rahimah dari Indonesia dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ibu kandung itu dipercayai datang dari Keningau. Dia telah menyerahkan kanak-kanak itu kepada penjaga kerana dia enggan menjaga bayi itu.

"Sejak itu, ibu kandung melarikan diri dan tidak dapat dihubungi penjaga. Penjaga telah berusaha mencari ibu kandung dan waris tetapi usaha itu tidak berjaya," katanya.

Tambah Halisah, kanak-kanak itu juga diletakkan di bawah OYLS, beralamat di Kg Lohan 1, Ranau melalui perintah Mahkamah Kanak-Kanak Ranau pada 28 Mac 2023.

"Oleh kerana penjaga tidak mempunyai hak penjagaan kanak-kanak, maka dia tidak dapat menguruskan hal-hal yang melibatkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak," katanya.

Sehubungan itu, Halisah menjelaskan pihaknya meminta waris atau mana-mana individu yang mengenali waris semua kanak-kanak itu untuk menghubunginya di talian 088-870509, atau datang ke Pejabat Kebajikan Daerah Ranau.

"Ini bagi memberi maklumat yang boleh membantu Jabatan mengesan ibu kandung kanak-kanak itu, selain membantu Mahkamah membuat keputusan terbaik untuk penempatan dan kebajikan kanak-kanak itu," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement