Anda di sini

JIM Sabah tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen Permit Masuk

Advertisement
 SH Sitti Saleha menunjukkan Permit Masuk serta dokumen dipercayai palsu yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
RAMPAS: SH Sitti Saleha menunjukkan Permit Masuk serta dokumen dipercayai palsu yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen Permit Masuk dalam beberapa siri serbuan melalui Operasi Bersepadu Serkap 29 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata bertindak dengan maklumat risikan dan pemantauan selama sebulan, pihaknya melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan Lama kira-kira jam 10.30 malam.

“Hasil serbuan berjaya mengesan tiga lelaki dan dua wanita berumur 24 hingga 52 tahun yang memiliki Permit Masuk dipercayai palsu.

“Pasukan serbuan turut berjaya merampas 28 keping Permit Masuk, 16 keping surat arahan pembayaran Permit Masuk dan 15 keping resit pembayaran Permit Masuk, 28 keping borang permohonan IMM13, resit pembayaran MyKad serta cabutan daftar kad pengenalan yang kesemuanya dipercayai palsu selain wang tunai RM2,268, komputer riba, telefon bimbit dan stampad,” katanya semasa sidang media di Pejabat Imigresen Sabah di sini semalam.

Beliau berkata serbuan kali kedua membawa kepada penangkapan seorang wanita berumur 59 tahun di kawasan Riverside Sembulan kira-kira jam 1 petang 30 Mac lalu.

Katanya hasil pemeriksaan terhadap suspek wanita itu berjaya menemukan 18 keping resit pembayaran MyKad yang turut dipercayai palsu dan wang tunai sebanyak RM744.

"Susulan penangkapan terbabit membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Kuala Manggatal dan menemukan lapan resit rasmi pembayaran JIM, lapan surat arahan pembayaran permit masuk yang dipercayai palsu.

“Pasukan serbuan turut merampas 15 borang permohonan kad pengenalan lengkap dengan gambar dan cap jari serta dua keping borang permohonan kad pengenalan.

"Wanita terbabit juga dipercayai antara dalang dalam sindiket ini dan JIM Sabah masih mengesan seorang lagi dalang yang disyaki berada di luar Sabah," katanya.

Menurutnya modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menawarkan bayaran secara berperingkat bagi memperoleh permit masuk kepada warga asing.

"Sindiket ini dipercayai menawarkan permit masuk kepada warga asing secara berperingkat bermula dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM800.

"Sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak April tahun lalu dan berjaya mengaut keuntungan sekitar RM60,000 hingga RM100,000," katanya.

SH Sitti Saleha berkata kes disiasat mengikut Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu katanya JIM akan terus komited mempergiatkan operasi itu dari masa ke masa dalam usaha membanteras kegiatan menyalahi undang-undang dan peraturan Imigresen.

"Imigresen Malaysia juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta tindakan tegas termasuk memastikan hukuman berat akan dikenakan pada mereka yang terlibat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement