Anda di sini

Jejantas pejalan kaki Tudan bakal jadi projek mesra OKU pertama di Miri

Advertisement
Lee ketika menjelaskan mengenai projek jejantas pejalan kaki Tudan kepada pemberita.
Lee ketika menjelaskan mengenai projek jejantas pejalan kaki Tudan kepada pemberita.

MIRI: Projek jejantas pejalan kaki di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan telah diluluskan dengan kos RM7.677 juta dan akan menjadi projek mesra orang kelainan upaya (OKU) pertama di Miri.

Kerja-kerja bagi projek berkenaan telahpun bermula dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan iaitu menjelang Mei 2024.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek itu telah diberikan tanggungjawab kepada Technicorps Builder Sdn Bhd sebagai kontraktor melalui tender terbuka.

"Projek tersebut akhirnya diluluskan dan telah bermula. Ia telah diminta oleh Guru Besar SK Tudan pada tahun 2016. Justeru, saya telah menekankan projek ini kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) beberapa kali sebelum akhirnya diluluskan.

Louis (lima kanan) menyerahkan plan projek jejantas pejalan kaki Tudan kepada Lee ketika tinjuan Lee ke tapak projek berkenaan pada Jumaat, sambil disaksikan yang lain.
Louis (lima kanan) menyerahkan plan projek jejantas pejalan kaki Tudan kepada Lee ketika tinjuan Lee ke tapak projek berkenaan pada Jumaat, sambil disaksikan yang lain.

"Diharapkan, ia dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan," jelasnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pada Jumaat.

Apabila siap kelak ujar ADUN Senadin itu, jejantas pejalan kaki berkenaan akan mempunyai tanjakan untuk kerusi roda bagi memudahkan pengguna OKU, selain disediakan tangga biasa.

"Ini adalah jejantas pejalan kaki mesra OKU pertama di Miri yang mempunyai tanjakan yang panjang dan oleh sebab itu juga projek ini mahal.

"Selain warga sekolah di SK Tudan, jejantas ini juga memberi manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan Tudan bagi membolehkan mereka berjalan ke kawasan membeli-belah berhampiran," katanya.

Menurut Lee, pihak sekolah berkenaan telah meminta projek jejantas terbabit memandangkan kebanyakan pelajar tinggal di kawasan seberang jalan dengan kesesakan lalu lintas.

Jejantas terbabit ujarnya, akan membolehkan ibu bapa serta penjaga menurunkan anak-anak mereka di seberang jalan tanpa perlu membuat pusingan 'U' yang panjang.

"Jadi, ibu bapa boleh berhenti di kawasan seberang jalan dan menggunakan jejantas untuk menghantar anak ke kawasan sekolah. Ini adalah pilihan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas," jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Tudan Jamilah Mail merakamkan terima kasih kepada Lee dan kerajaan atas projek dilaksanakan itu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah tetapi juga penduduk di kawasan sekitar.

"Apabila siap nanti, diharapkan kesesakan lalu lintas di sini dapat dikurangkan terutamanya pada waktu puncak.

"SK Tudan mempunyai kira-kira 1,300 pelajar dan mempunyai dua sesi persekolahan. Disebabkan itu, kesesakan lalu lintas berlaku terutamanya pada waktu sesi pertukaran tersebut," ujarnya.

Hadir sama ialah Penolong Jurutera Bahagian JKR Miri Louis Jonathan Philip dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tudan Emmanuel Clifford.
 

  • oleh
  • Advertisement